Lebih Aneh Namun Lebih Manusiawi, How's That? '28 Years Later: The Bone Temple' Bloody Brilliant!

oleh: zizi hashim

Sejujurnya, saya sempat merasa ragu-ragu ketika masuk ke panggung untuk menonton 28 Years Later: The Bone Temple. Filem sebelumnya 28 Years Later (2025) karya Danny Boyle memang berani, namun juga memecah penonton. Meski ada yang memujinya sebagai kebangkitan dari waralaba zombie yang dimulakan oleh 28 Days Later ini, namun ada juga yang menganggapnya terlalu muram dan melelahkan, serta buat sakit kepala kerana banyak gambar yang goyang dan tidak stabil. Saya sendiri berada di tengah-tengah, antara disturbing tetapi cukup memorable. Saya masih tidak suka filem zombi, masih benci terlalu banyak darah. Justeru, saya menurunkan ekspektasi dan cuba menikmati filem ini apa adanya.

Ternyata, keputusan itu sangat tepat. The Bone Temple bukan hanya kelanjutan cerita, tetapi lompatan gila yang membuat saya terpaku dari awal hingga akhir. Melanjutkan sebuah sekuel dari filem yang OK adalah tugas berat. Tugas sutradara Nia DaCosta sangatlah berat, The Bone Temple terasa jauh lebih fokus. DaCosta sukses melakukan tugasnya dengan baik kerana filem ini adalah salah satu sekuel yang paling memuaskan. Langsung tidak seperti filem sebelumnya, Danny Boyle mengajak sinematografer Anthony Dod Mantle menghasilkan gambar-gambar yang memikat.

Sejenak menonton 28 Years Later: The Bone Temple, saya terasa seperti dibawa merentas satu dunia yang retak, namun masih menyimpan percikan harapan yang tidak mahu padam. Nia DaCosta menyambung legasi filem terdahulu dengan keberanian estetika yang jauh lebih liar, lebih berani, dan lebih manusiawi. Spike, kini terperangkap bersama gerombolan Sir Lord Jimmy Crystal, bergerak dalam lorong-lorong dunia yang semakin meruncing, seolah-olah seluruh peradaban sedang menghembuskan nafas terakhir.

Dr. Kelson pula mengemudi naratif dengan getar emosi yang tidak pernah menyimpang daripada inti kemanusiaan. Pertemuannya dengan Samson, si “alpha infected” yang menggugat teori asal Rage virus, menimbulkan renungan mendalam: sejauh mana empati masih layak bertahan di dalam dunia yang mengagungkan keganasan? Detik-detik di Bone Temple memunculkan rasa ngeri yang ganjil, namun pada masa sama melahirkan belaian halus, suatu keintiman yang jarang ditemui dalam genre serangan wabak.

Yang paling terasa di filem kali ini adalah perubahan nada. The Bone Temple lebih liar, lebih aneh, namun pada masa yang sama juga, lebih manusiawi. Jika filem sebelumnya cenderung menekan dengan suasana suram, The Bone Temple justeru berani menyelitkan humor gelap di tengah kekacauan. DaCosta mencampurkan humor anarki, keganasan fizikal dan falsafah kebertahanan dengan begitu teratur sehingga segala kegilaan terasa harmoni.  Anehnya, pendekatan ini bekerja dengan sangat baik dan membuat filem terasa hidup.

Jimmy Crystal, dengan karisma psikotik yang mencemaskan, menguasai layar seperti bayangan yang tidak pernah reda. Setiap gerak Jack O’Connell terasa seperti ancaman yang menari, tidak perlu teriak-teriak, pun sudah meresap ngeri. Penampilannya benar-benar di luar kawalan dan tak terkendali, dalam erti kata terbaik. Jimmy adalah sosok sadis, karismatik, lucu, sekaligus mengerikan. Yang membuatnya menarik, Jimmy bukan sekadar penjahat satu dimensi. Trauma masa lalunya terasa menempel di setiap dialog dan tindakannya. Dia seperti anak kecil yang rapuh, terjebak dalam tubuh pemimpin kultus yang brutal. Kegilaannya bahkan lebih sadis dari ancaman infeksi.

Kontra sangat dengan kelembutan Ralph Fiennes sebagai Dr. Kelson menjadikan inti filem ini lebih meresap, lebih bermakna, lebih memilukan kalau menurut saya. Jika Jimmy adalah wajah kegilaan, maka Dr. Ian Kelson adalah jantung emosional filem ini. Ralph Fiennes kembali membuktikan kelasnya sebagai pelakon cemerlang. Peranannya terasa tenang, hangat dan penuh empati, bahkan ketika dunia di sekelilingnya hancur. Interaksi Kelson dengan Samson, "alpha infected" yang dipegang oleh Chi Lewis-Parry, menjadi babak kegemaran saya.

Hubungan Kelson–Samson menjadi pusat graviti emosi filem ini. Ada sesuatu yang lembut, nyaris puitis, dalam cara mereka berinteraksi. Kemanusiaan yang enggan mati. Harapan kecil yang menentang malapetaka. Dalam dunia berdarah dan berkecai, momen-momen ini menjadi sauh rohani yang membuat saya terus terpaku. Sepatutnya menakutkan, namun banyak adegan antara mereka berdua justeru terasa lembut dan terkadang lucu, sehingga membuat saya tersenyum. Filem ini berani mengajukan pertanyaan besar: apakah empati masih mungkin hidup di dunia yang dikuasai kekerasan?

Penggayaan visual Sean Bobbitt memperkukuh seluruh atmosferanya: kota reput, ruang sendu, cahaya yang seakan penat melimpah pada dunia yang hampir menyerah. Adegan sunyi di Bone Temple terasa seperti doa tanpa suara, dibingkai dengan komposisi yang memiliki aura kudus. Dunia benar-benar terasa mati. Lokasinya lembap dan terlalu sunyi.

Paling saya suka? Momen Dr. Kelson menyamar sebagai entiti neraka di hadapan Jimmy dan pengikutnya. Sewaktu Iron Maiden melantunkan The Number of the Beast pada babak klimaks sewaktu Kelson memanipulasi Jimmy, goosebumps terok! Momen yang direncanakan dengan kecermatan luar biasa: perkahwinan antara intensiti, keangkuhan dan tragedi. Ritma gitar yang meledak, vokal Bruce Dickinson yang menderu, dan langkah perlahan Kelson yang penuh kalkulasi mencipta satu gabungan yang mustahil dilupakan.

Bukan sekadar babak dramatik, ia pengalaman sensori yang menjerut dada. Seolah seluruh Bone Temple menerima roh baharu. Seolah dunia runtuh sambil muzik klasik heavy metal itu memacu adrenalin tanpa belas. Saya rasa kagum dengan ekstasi sinematik yang sukar dijelaskan. Kelson berjaya memanipulasi Jimmy hanya dengan aura “makhluk gelap” yang dipentaskan begitu elegan, memusingkan minda tanpa perlu kekerasan. Itu detik yang membuat saya berbisik sendiri, ini genius! Ini kecemerlangan sinema yang tak berulang.

Dengan durasi 110 minit, 28 Years Later: The Bone Temple adalah sebuah sekuel yang memuaskan meskipun ia hadir bukan tanpa kekurangan. Konklusinya terasa kurang meriah apa lagi kalau mengingat semua hal gila yang dilakukan oleh geng "Jimmies"-padahal set-up-nya sudah meyakinkan. Tetapi senjata akhir 28 Years Later: The Bone Temple memang bukan di klimaks, melainkan di penghujungnya. Pancingan untuk lanjutannya sangat meyakinkan. Tentu saja, kemunculan singkat Cillian Murphy di ending jelas menjadi umpan kuat untuk kelanjutan cerita  dan saya sudah tidak sabar untuk masuk ke dunia ini lagi.

Jika Spike membawa kita berlari, Jimmy membuat kita menggigil, dan Samson mengajar kita memahami semula makna jiwa, 28 Years Later: The Bone Temple mengikat semuanya dengan kejujuran yang meruntun. Sebuah karya yang berani, gila, bertenaga dan penuh kejutan. Kalau menurut saya, ia naskhah yang menggoncang minda dan mengusik hati serentak. Tayangan bermula pada 15 Januari 2026 di seluruh pawagam Malaysia. How's that? Anda tanya saya? Saya jawab: Bloody brilliant! Pergi tonton sekarang!