
oleh: zizi hashim
Bayang-bayang masa lalu kadangkala tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya menunggu saat yang tepat untuk kembali menuntut sesuatu yang pernah ditinggalkan. Perasaan itulah yang menemani saya sepanjang menonton Polong, sebuah filem seram tempatan yang pada mulanya saya sangka sekadar mahu menumpang sensasi kisah Mona Fandey. Namun semakin cerita bergerak, semakin jelas bahawa filem ini sebenarnya sedang melakukan sesuatu yang jauh lebih berani. Ia mengambil ilham daripada satu tragedi yang pernah menggemparkan negara, lalu membentuk sebuah kisah baharu yang berdiri dengan identitinya sendiri.
"Matiku hanya sekali, hidupku selama-lamanya"
"Mati meninggalkan yang hidup, hidup bersama yang mati"
Tagline ini pun sudah cukup menyeramkan. Hasil arahan sutradara Zulkarnain Azhar, nama yang selama ini lebih sinonim dengan filem aksi dan ketenteraan seperti J-Revolusi, Daulat dan Air Force The Movie, menjadikan Polong percubaan sulung beliau dalam genre seram. Dan sejujurnya, percubaan pertama ini terasa begitu meyakinkan sehingga membuatkan saya tertanya-tanya mengapa beliau tidak memasuki wilayah seram lebih awal lagi.


Kisahnya berpusat kepada Fatima lakonan Mimi Lana, seorang wartawan penyiasat yang sedang menelusuri jejak Maria Hadi, wanita misteri yang terkenal dengan amalan ilmu hitam dan pengaruhnya yang luar biasa terhadap orang sekeliling. Watak Maria jelas mengingatkan kita kepada figura Mona Fandey, tetapi filem ini tidak pernah mendakwa dirinya sebagai adaptasi sebenar. Fatima bersama suaminya, Mamat lakonan Fad Anuar, sedang berdepan kesulitan hidup masing-masing. Namun apa yang bermula sebagai satu penyiasatan biasa perlahan-lahan berubah menjadi mimpi ngeri apabila makhluk polong yang pernah dibela Maria terlepas daripada kawalan dan mula menghantui kehidupan mereka.
Apa yang saya suka, filem ini tidak terlalu obses mahu mengulang fakta sejarah atau membedah kes sebenar yang menginspirasikannya. Sebaliknya, ia membina dunianya sendiri. Dunia yang dipenuhi manusia-manusia kelabu. Tiada siapa benar-benar suci. Tiada siapa bebas daripada kesilapan. Semua watak membawa dosa masing-masing dan dosa-dosa itulah yang akhirnya menjadi pintu kepada malapetaka. Perkara paling mengejutkan bagi saya ialah bagaimana Polong berjaya membuat saya lebih sebak daripada takut.

Ya, filem ini memang menyeramkan. Atmosferanya tebal. Ketegangannya sentiasa berada pada paras yang tidak selesa. Ada beberapa babak yang membuat saya menahan nafas. Ada jumpscare yang benar-benar menjadi. Ada juga adegan yang membuat seluruh panggung terdiam beberapa saat selepas ia berakhir. Namun jauh di sebalik semua gangguan mistik itu, tersembunyi kisah tentang seorang ibu dan anak. Tentang manusia yang cuba bertaubat selepas terlalu jauh tersesat. Tentang penyesalan yang datang ketika masa semakin suntuk. Dan tentang bagaimana dosa yang tidak diselesaikan akan terus menghantui sehingga ke penghujung hayat.
Watak Maria Hadi yang dibawakan June Lojong menjadi nadi kepada semua emosi itu. Saya benar-benar kagum dengan lakonannya. Ada sesuatu yang sangat memukau tentang cara dia menghidupkan karakter ini. Sekejap dia tampil sebagai wanita yang anggun dan penuh karisma. Sekejap kemudian dia menjadi ibu yang menyimpan luka. Pada masa lain, dia berubah menjadi sosok yang cukup menggerunkan hingga membuat bulu roma meremang. Menakutkan, tetapi dalam masa yang sama sukar untuk tidak diperhatikan setiap kali muncul di layar.


Nadiya Nissa juga memberi impak besar menerusi watak Marissa, anak kepada Maria. Menariknya, sebahagian besar emosinya disampaikan hanya melalui pandangan mata. Walaupun wajahnya sering terlindung, kemarahan, kesedihan dan konflik batin yang dipikul watak itu tetap dapat dirasai. Kehadirannya menambah lapisan emosi yang menjadikan cerita ini jauh lebih kompleks daripada sekadar kisah hantu membalas dendam. Mimi Lana pula tampil cemerlang sebagai Fatima. Wataknya menjadi jambatan antara penonton dan segala misteri yang sedang terbongkar. Saya suka bagaimana dia memainkan rasa takut, rasa ingin tahu dan rasa bersalah secara seimbang. Setiap keputusan yang dibuat Fatima terasa mempunyai akibat yang nyata.
Dari sudut teknikal, Polong benar-benar mengkagumkan. Penataan seni oleh Rabani Sujak berjaya menghidupkan suasana tahun 2001 dengan begitu autentik. Setiap lokasi, pakaian, warna dan prop terasa seperti mesin masa yang membawa kita kembali ke era tersebut. Ada nostalgia yang halus tetapi sangat berkesan. Sinematografi oleh Saifuddin Musa pula memberikan identiti visual yang sangat kuat. Kamera bergerak dengan penuh keyakinan, menangkap setiap lorong suram, rumah usang dan ruang sempit dengan cara yang membuatkan rasa tidak selesa sentiasa hadir. Saya juga sangat menyukai bagaimana filem ini menggunakan kesunyian.


Ketika kebanyakan filem seram memilih bunyi yang kuat untuk menakutkan penonton, Polong melakukan sebaliknya. Ada beberapa momen apabila semua bunyi tiba-tiba lenyap tepat ketika rasa cemas mencapai kemuncaknya. Teknik itu menghasilkan impak yang jauh lebih berkesan daripada jeritan atau dentuman muzik yang berlebihan. Penataan bunyinya pula sangat cemerlang. Setiap bisikan, derapan kaki dan nafas yang kedengaran dalam gelap menjadi sebahagian daripada pengalaman seram itu sendiri. Kalau ada satu perkara yang sedikit mengganggu saya, mungkin efek bunyi kejutan setiapkali hantu keluar. Saya rasa tak perlu kerana tanpa itu semua penonton memang sudah terkejut.
Aspek colour grading pula kadangkala terlalu gelap sehingga beberapa babak siang terasa sedikit suram. Namun ia tidaklah cukup besar untuk merosakkan pengalaman keseluruhan. Apa yang membuatkan Polong begitu istimewa ialah keberaniannya untuk menjadi lebih daripada filem seram biasa. Ia menggabungkan unsur thriller psikologi, drama keluarga, tragedi manusia dan falsafah tentang dosa serta akibat. Setiap kematian, setiap gangguan dan setiap kejadian mistik mempunyai makna yang lebih mendalam daripada sekadar mahu mengejutkan penonton.
Menjelang penghujung cerita, saya sedar bahawa makhluk paling menakutkan dalam filem ini mungkin bukan polong itu sendiri. Sebaliknya, ia adalah manusia yang membiarkan ketamakan, dendam dan dosa menguasai hidup mereka. Polong berjaya membuktikan bahawa filem seram tempatan masih mampu berkembang ke wilayah yang lebih matang dan berani. Ia mempunyai arahan yang penuh cita rasa, lakonan yang mantap, visual yang mengganggu serta emosi yang berbekas lama selepas kredit penutup muncul.
Ngeri, menyedihkan, mengganggu dan tragis dalam waktu yang sama. Sebuah pengalaman sinematik yang sukar dilupakan. Bersedia untuk terkejut. Bersedia untuk meremang. Bersedia untuk merasai sesuatu yang lebih menyakitkan daripada ketakutan. Oh ya, saya suka stail POV ala Weapons yang agak unik. Senyuman Maria Hadi berjaya buat saya rasa takut. Dari mula sampai tamat tayangan rasa gerun, filem Polong ini bermula tayangan di pawagam Malasia pada 28 Mei 2026, percayalah... anda semua memang wajib tonton!