
oleh: zizi hashim
Degup pertama yang mengiringi babak latihan Firdaus malam itu terus buat saya tahu satu perkara: filem ini datang dengan api yang lain macam. Jujur saya cakap, saya masuk panggung tanpa ekspektasi yang terlalu tinggi. Bagi saya, Official Trailer filem ini biasa-biasa saja. Malah saya fikir mungkin ini cuma lagi satu filem aksi tempatan yang bergantung pada badan sasa, tumbukan keras dan dialog macho semata-mata. Tetapi rupanya saya silap besar.The Furious: Pertaruhan Maruah antara filem yang perlahan-lahan menyelinap masuk ke dada, kemudian menghentam emosi tanpa amaran. Dan semakin lama saya tonton, semakin saya rasa filem ini benar-benar ada jiwa.
Bukan mudah untuk buat filem boxing terasa hidup. Banyak filem aksi tempatan kadang-kadang terlalu sibuk mahu nampak gagah sehingga lupa memberi nyawa kepada karakter. Tetapi The Furious berjaya buat saya peduli terhadap manusia-manusia dalam cerita ini. Itu yang membuat pengalaman menonton jadi lebih menggetarkan. Watak Firdaus lakonan Zul Ariffin terasa sangat kuat. Dia bukan hero sempurna. Dia bukan lelaki yang sentiasa tahu apa keputusan terbaik. Firdaus ialah lelaki yang hidup di bawah bayang-bayang seorang legenda bernama “The Furious”, sambil memikul tekanan keluarga, maruah dan rasa kecewa terhadap dirinya sendiri.


Dan Zul memang gila dalam filem ini. Saya berani cakap ini antara performance terbaik dia setakat ini. Cara dia berjalan masuk gelanggang, cara dia memandang lawan, cara dia diam ketika emosi sedang hancur: semuanya terasa semulajadi. Tubuh dia memang dibina untuk karakter peninju itu, tetapi yang paling menjadi ialah sisi rapuh yang dia sembunyikan sepanjang cerita. Hubungan Firdaus dengan Hakim lakonan Sky Iskandar pula antara benda paling saya suka dalam filem ini. Kemistri mereka terasa sangat realistik. Hubungan adik-beradik yang keras, penuh ego tetapi tetap saling sayang walau jarang diluah.
Babak tikam lidah adik-beradik itu buat saya menangis. Sangat relatable! Terasa bagaikan menonton abang dan adik saya sendiri bertengkar di hadapan mata. Dialog yang sangat powerful! Zul Ariffin cakap itu dialog dia sendiri, tiada dalam skrip. Kagum saya dibuatnya. Ada satu rasa yang susah hendak dijelaskan bila tengok mereka bergaduh, bertumbuk dan akhirnya tetap kembali berdiri untuk keluarga. Jenis hubungan yang kasar di luar, tetapi diam-diam rela hancur demi keluarga. Itu yang buat filem ini terasa lebih manusiawi.


Saya tahu ramai akan datang ke pawagam sebab mahu tengok aksi boxing. Dan percayalah, filem ini memang deliver habis. Koreografi fight dia padu. Bunyi tumbukan terasa berat. Pergerakan kamera masa fight pula sangat cantik sehingga saya rasa seperti duduk betul-betul tepi gelanggang. Final fight dia memang antara babak paling memukau yang saya tengok dalam filem aksi tempatan sejak kebelakangan ini. Satu panggung boleh dengar bersorak masa pihak lawan masuk. Entry fighter semua ada style masing-masing. Setiap hayunan tangan, titisan peluh, nafas berat dan darah yang memercik dirakam dengan sangat intens. Koreografi dia cantik tetapi masih terasa ganas dan realistik.
Dan music score dia? Memang sedap giler! Ada momen tertentu yang terasa epik sehingga buat bulu roma saya naik sendiri. Apa yang paling saya suka, filem ini tidak meleret dengan drama kosong. Semua konflik bergerak dengan kemas. Emosi dia sampai. Aksi dia puas. Tempo dia pun laju dan tidak membosankan. Hampir dua jam saya langsung tidak rasa penat menonton. Saya juga suka bagaimana pengarah Heng Aik Siong tidak cuba terlalu “over” mahu jadi filem Hollywood. Sebaliknya dia fokus menjadikan dunia boxing ini terasa dekat dengan emosi keluarga Asia: tentang ayah, maruah dan anak-anak lelaki yang terlalu lama hidup dengan tekanan untuk menjadi kuat. Dan mungkin sebab itu filem ini terasa lebih menyengat.


Bukan sekadar menjual aksi tinju semata-mata, tetapi The Furious berjaya membina atmosfera yang membuat satu panggung terasa hidup bersama sorakan penonton. Ada saat saya sendiri terlupa sedang menonton filem tempatan kerana visual dan sinematografinya terasa begitu sinematik, kemas, malah memiliki aura produksi antarabangsa. Cara kamera bergerak ketika babak pertarungan benar-benar memukau. Setiap hayunan tangan, titisan peluh, nafas berat dan darah yang menitis dirakam dengan sudut yang begitu intens sehingga penonton terasa seperti berdiri betul-betul di tepi gelanggang.
Penggunaan close-up ketika emosi Firdaus mula pecah perlahan-lahan memberi impak besar terhadap perjalanan watak itu sendiri. Kamera tidak sekadar merakam aksi, tetapi seperti membawa penonton masuk ke dalam jiwa seorang petinju yang sedang bertarung dengan maruah, trauma dan bayang nama besar “The Furious” yang sentiasa menghantuinya. Palet warna filem ini juga memberi identiti tersendiri. Tone gelap, lampu neon yang samar, suasana gym yang kasar dan lorong-lorong kota yang muram menjadikan dunia The Furious terasa keras tetapi manusiawi. Ada keindahan aneh dalam visualnya, seolah-olah setiap bingkai mempunyai luka yang belum sembuh. Malah babak latihan dan final fight disusun dengan ritma yang sangat cantik. Tidak terlalu berserabut, tetapi cukup agresif untuk membuat adrenaline naik perlahan-lahan.


Barisan pelakon lain juga memberikan tenaga yang sangat solid. Sky Iskandar bermain dengan emosi yang cukup meyakinkan. Ikmal Amry, Marissa Yasmin, Sandra Lim, Zamarul Hisham dan pemain lain masing-masing memberi warna tersendiri kepada perjalanan cerita ini. Tiada karakter yang terasa sekadar tempelan. Semua punya fungsi terhadap emosi Firdaus dan konflik keluarga yang menjadi teras filem ini. Aura filem ini sangat kuat sejak awal. Pengarah Heng Aik Siong tidak membuang masa terlalu lama untuk membawa penonton masuk ke dunia boxing yang kasar, penuh tekanan dan sarat luka batin.
Sebagai antara filem boxing pertama Malaysia yang benar-benar menjadikan dunia tinju sebagai tunjang utama penceritaan, saya rasa The Furious berjaya memberi identiti tersendiri kepada genre ini. Meski ada sedikit pengaruh filem itu filem ini, tetapi jantung The Furious tetap miliknya sendiri. Malah secara peribadi, saya sangat menikmati filem ini. Rasa keterujaan itu melekat lebih lama dalam kepala saya selepas keluar panggung.
Tetapi saya tak mahu membandingkan dengan mana-mana filem lain sebab setiap naskhah ada identiti sendiri. Cuma saya boleh cakap satu benda, The Furious berjaya buat aku kembali rasa teruja menonton filem aksi tempatan. Jenis filem yang buat crowd tepuk tangan. Jenis filem yang buat orang keluar panggung sambil cakap, “weh best gila kot movie ni.” Dan jenis filem yang buat saya rasa sayang kalau orang terlepas tengok dekat panggung wayang. Sebab filem seperti ini memang patut diraikan. Patut ditonton ramai-ramai. Patut diberi peluang sebesar-besarnya.
Akhir sekali, The Furious: Pertaruhan Maruah bukan cuma tentang boxing. Ia tentang lelaki-lelaki yang cuba berdamai dengan luka lama. Tentang keluarga yang tetap bertahan walaupun retak. Tentang maruah yang terlalu mahal untuk dilepaskan. Dan tentang manusia yang terus bangkit walaupun dunia berkali-kali menjatuhkan mereka. Highly recommended. Bermula 28 Mei 2026, pergi tengok sendiri di pawagam. Memang puas hati!