
oleh: zizi hashim
Dentuman papan kekunci komputer malam itu terasa lebih menakutkan daripada bunyi peluru. Skrin demi skrin memaparkan fail sulit negara yang mula bocor satu persatu, sementara wajah para pegawai SPRM dipenuhi kegusaran yang perlahan-lahan berubah menjadi panik. Sejak minit awal Konspirasi bermula, saya sudah dapat rasa filem ini tidak mahu menjadi sekadar naskhah aksi biasa tentang pegawai penguat kuasa yang berlari sambil memegang pistol. Ia cuba membuka satu ruang yang jarang disentuh sinema tempatan iaitu dunia gelap politik, pengkhianatan dan perang siber yang bergerak diam-diam tanpa belas kasihan.
Sejujurnya, sebelum menonton filem ini, saya juga sama seperti ramai orang lain. Tanggapan saya terhadap SPRM mungkin terlalu sederhana. Saya fikir tugas mereka cuma menyiasat fail, mengambil kenyataan saksi dan duduk di pejabat memeriksa transaksi mencurigakan. Tetapi Konspirasi perlahan-lahan mengubah persepsi itu. Ghaz Abu Bakar membawa penonton masuk ke sisi yang lebih tegang dan rumit, memperlihatkan bagaimana ancaman rasuah dan manipulasi kuasa sebenarnya mampu menggoncang kestabilan negara dari dalam.


Naskhah ini bergerak dengan dua jalur utama yang saling bertaut. Pertama tentang serangan siber yang membocorkan identiti pemberi maklumat kerajaan, dan kedua mengenai gerakan politik yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui bantuan pihak asing. Dua dunia ini bercampur menjadi satu pusaran konspirasi yang membuatkan suasana filem sentiasa terasa mencurigakan. Setiap watak seperti menyimpan sesuatu. Setiap perbualan pula terasa seperti perang psikologi kecil yang boleh berubah menjadi malapetaka pada bila-bila masa sahaja.
Watak-watak dalam filem ini juga menjadi nadi yang menghidupkan ketegangan tersebut. Dato’ Adi Putra membawa karisma yang cukup kuat sebagai pegawai yang terperangkap antara amanah dan tekanan kuasa. Sorot matanya sentiasa kelihatan letih, seolah-olah terlalu lama bergelumang dengan dunia yang penuh pembohongan. Hisyam Hamid pula memberi tenaga berbeza: lebih keras, lebih agresif, tetapi masih menyimpan sisi manusia yang rapuh. Alicia Amin dan Shiqin Kamal pula berjaya menambahkan warna kepada penceritaan, menjadikan filem ini tidak terlalu maskulin walaupun dipenuhi dunia penguatkuasaan dan politik.


Apa yang saya suka, Konspirasi tidak terlalu sibuk mahu kelihatan “cool”. Filem ini memilih untuk bermain dengan saspens dan paranoia. Ada ketika saya mulai bermain teka-teki siapa sebenarnya tali barut dalam organisasi itu, tetapi filem ini tetap berjaya membuat saya ragu-ragu terhadap hampir semua orang. Walaupun sesetengah plot twist boleh dijangka lebih awal, cara ia dibina masih membuatkan saya terus mahu tahu apa yang akan berlaku selepas itu.
Satira politik yang diselitkan juga terasa berani untuk filem tempatan. Dialog-dialog tertentu jelas menyindir kerakusan kuasa dan budaya korup yang sudah terlalu lama menjadi bisik-bisik masyarakat. Menariknya, sindiran itu tidak dibuat terlalu lantang, sebaliknya disampaikan melalui situasi dan permainan karakter. Barangkali sebab itu filem ini terasa lebih dekat dan lebih realistik.


Namun Konspirasi tetap mempunyai beberapa cela yang sukar dielakkan. Penggunaan CGI dan AI untuk beberapa adegan aksi, terutama babak Jet Ski, sedikit mengganggu immersion. Saya boleh nampak usaha besar produksi untuk menjadikan filem ini tampak moden dan berskala antarabangsa, tetapi ada beberapa visual yang terasa kurang kemas. Mujur kelemahan itu tidak terlalu mencacatkan keseluruhan pengalaman menonton.
Babak aksi pula tidak terlalu melimpah dengan pertarungan tangan kosong seperti filem aksi tipikal. Sebaliknya, filem ini lebih banyak bermain dengan ketegangan operasi, serangan bersenjata dan konflik strategi. Ada yang mungkin mengharapkan aksi lebih ganas atau koreografi lebih liar, tetapi kalau menurut saya, kekuatan sebenar Konspirasi terletak pada rasa cemas yang dibina sepanjang cerita berjalan dalam durasi 2 jam itu. Paling saya suka adalah bagaimana filem ini membuat saya tertanya-tanya tentang satu perkara mudah: sejauh mana kita sebenarnya boleh percaya kepada orang yang kononnya melindungi negara?
Dalam dunia Konspirasi, musuh tidak semestinya datang dari luar. Kadang-kadang mereka duduk paling dekat, memakai sut kemas dan berbicara tentang integriti sambil menyembunyikan niat yang paling kotor. Saat kredit akhir mula bergerak, saya tidak keluar panggung dengan rasa puas kerana aksi semata-mata. Sebaliknya saya keluar dengan kepala yang masih berserabut memikirkan manipulasi kuasa, ketamakan manusia dan permainan politik yang terasa terlalu dekat dengan realiti hari ini.
Konspirasi mungkin tidak sempurna, tetapi ia punya keberanian untuk membawa tema yang jarang disentuh sinema tempatan. Dan keberanian itu sendiri sudah cukup membuatkan filem ini layak diberikan perhatian. Jika anda sudah lama rindu untuk melihat Dato’ Adi Putra kembali memimpin layar dengan aura serius dan karisma tajam, inilah filem yang patut masuk dalam senarai wajib tonton bulan Mei ini. Mulai 21 Mei 2026, bersedia masuk ke dunia penuh manipulasi, rasuah politik dan konspirasi yang perlahan-lahan memerangkap semua orang. Jangan terlalu cepat percaya sesiapa. Dalam dunia KONSPIRASI, kawan dan pengkhianat kadang-kadang berdiri pada sisi yang sama.