
oleh: zizi hashim
Hamparan jalan raya pada waktu malam selalu mempunyai bahasa yang tersendiri. Cahaya lampu hadapan memotong kegelapan yang seakan tidak bertepi. Garisan putih di atas tar menjadi satu-satunya petunjuk bahawa kita masih berada di laluan yang betul. Selebihnya hanyalah ruang hitam yang menyimpan seribu kemungkinan. Barangkali sebab itulah Passenger terasa begitu dekat dengan ketakutan paling purba dalam diri manusia. Ketakutan terhadap sesuatu yang sedang menunggu di hujung gelap yang tidak dapat kita lihat.
Seawal babak pembukaannya, filem arahan André Øvredal ini sudah memberi petanda bahawa perjalanan ini tidak akan membawa penonton ke tempat yang selesa. Tiada tempoh panjang untuk berkenalan dengan watak atau dunia mereka. Sebaliknya, filem terus melemparkan kita ke tengah suasana yang ganjil, sunyi dan mengundang rasa tidak tenteram.


Kisahnya mengikuti Tyler dan Maddie, pasangan kekasih yang memilih kehidupan van life demi mencari kebebasan daripada rutin dunia biasa. Mereka hidup dalam sebuah van Mercedes yang telah diubah suai menjadi rumah bergerak. Ada sesuatu yang romantis tentang idea itu. Bangun setiap pagi di tempat berbeza, mengejar matahari terbenam di lokasi yang tidak pernah dikenali dan hidup hanya berbekalkan apa yang mampu dibawa bersama. Namun seperti banyak impian lain, kebebasan juga mempunyai harga yang tersembunyi.
Selepas menyaksikan satu kemalangan jalan raya yang mengerikan, Tyler dan Maddie mula menyedari mereka tidak meninggalkan lokasi tragedi itu sendirian. Sesuatu telah ikut bersama mereka. Sesuatu yang tidak mempunyai belas kasihan. Sesuatu yang hanya dikenali sebagai Passenger. Apa yang saya suka tentang filem ini ialah cara ia membina ketegangan secara beransur-ansur. Ia tidak tergesa-gesa menunjukkan semua kadnya sejak awal. Sebaliknya, rasa cemas itu tumbuh perlahan seperti racun yang menyerap masuk ke dalam darah.


Setiap kali Tyler dan Maddie berhenti di kawasan rehat, stesen minyak atau jalan sunyi yang kelihatan kosong, saya sendiri mula berasa tidak selesa. Ada sesuatu yang sentiasa terasa salah. Dan itulah kekuatan terbesar Passenger. Filem ini memahami bahawa ketakutan tidak semestinya datang daripada makhluk yang melompat keluar dari kegelapan. Kadangkala yang lebih mengganggu ialah jangkaan bahawa sesuatu akan muncul, tetapi kita tidak tahu bila.
André Øvredal mengendalikan permainan psikologi itu dengan sangat baik. Sebagai pengarah yang pernah menghasilkan karya seperti Trollhunter dan Scary Stories to Tell in the Dark, beliau jelas memahami bagaimana memanipulasi ruang kosong, bayang-bayang dan kesunyian untuk mencipta rasa gentar. Banyak adegan dalam filem ini bergantung kepada saspens dan jumpscare. Menariknya, sebahagian besar daripadanya terasa wajar dan bukan sekadar cubaan murahan untuk mengejutkan penonton. Ada momen tertentu yang membuat saya benar-benar melompat dari tempat duduk, bukan kerana bunyi yang terlalu kuat, tetapi kerana cara adegan itu dibina dengan penuh kesabaran sebelum meledak pada saat yang tepat.


Reka bunyinya juga memainkan peranan besar. Bunyi hon kereta dari jauh. Pintu yang tertutup sendiri. Sistem elektronik yang tiba-tiba berfungsi tanpa sebab. Geseran angin yang kedengaran terlalu kuat ketika malam semakin larut. Semua bunyi itu terasa biasa. Dan mungkin kerana itulah ia menjadi lebih menyeramkan. Jacob Scipio dan Lou Llobell pula memberikan persembahan yang sangat meyakinkan sebagai Tyler dan Maddie. Hubungan mereka terasa organik. Ada kasih sayang, ada keletihan, ada konflik kecil yang biasanya muncul apabila dua manusia terlalu lama berkongsi ruang yang sama.
Saya suka bagaimana filem ini memberi ruang kepada hubungan mereka berkembang di tengah-tengah kekacauan yang berlaku. Walaupun skrip tidak menggali watak mereka sedalam yang saya harapkan, kedua-dua pelakon berjaya membuat saya peduli terhadap nasib mereka. Ada satu lapisan menarik tentang pasangan ini. Mereka bukan sekadar mangsa yang cuba melarikan diri daripada ancaman ghaib. Mereka juga dua manusia yang sedang mencari arah hidup sendiri. Kehidupan nomad yang pada mulanya kelihatan romantik perlahan-lahan menampakkan sisi yang lebih rapuh dan meletihkan. Kehadiran sekumpulan nomad lain sepanjang perjalanan turut memperluaskan dunia filem ini. Mereka memberi sedikit warna dan perspektif berbeza tentang kehidupan di jalanan, sekali gus menjadikan dunia Passenger terasa lebih hidup.


Dari sudut visual, filem ini memang cantik. Sinematografi Federico Verardi berjaya menjadikan lebuh raya malam sebagai karakter tersendiri. Lampu neon stesen minyak, jalan raya yang seakan tidak berpenghujung, kawasan parkir kosong dan hutan gelap di tepi jalan semuanya dirakam dengan begitu atmosferik. Saya juga sangat menyukai penggunaan teknologi moden sebagai sebahagian daripada elemen seram filem ini. Kamera luaran van, monitor undur, rakaman digital dan imej yang terdistorsi digunakan dengan kreatif untuk mencipta ilusi dan rasa tidak pasti.
Salah satu babak di kawasan parkir misalnya benar-benar membuat saya menahan nafas. Cara filem memanipulasi ruang dan perspektif dalam adegan itu sangat mengkagumkan. Muzik oleh Christopher Young pula menjadi pelengkap sempurna kepada pengalaman ini. Skor yang dihasilkan terasa gelisah, menghantui dan sentiasa membuatkan saya berasa sesuatu yang buruk sedang menunggu di hadapan. Kalau ada kelemahan, mungkin terletak pada watak antagonisnya sendiri. Ironinya, atmosfera filem ini jauh lebih menakutkan daripada makhluk yang diburu sepanjang cerita. Semakin lama makhluk itu ditunjukkan dengan jelas, semakin sedikit misteri yang tinggal.
Apa yang benar-benar membuat Passenger berkesan ialah rasa cemas yang tidak pernah berhenti. Setiap kali van itu bergerak ke hadapan, saya turut berasa seolah-olah sedang dikejar sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Menjelang penghujung cerita, saya sedar bahawa filem ini sebenarnya lebih daripada sekadar kisah makhluk ghaib mengejar mangsanya. Ia juga berbicara tentang rasa bersalah, ketidakpastian masa depan dan usaha dua manusia untuk terus bertahan ketika dunia mereka mula runtuh perlahan-lahan.
Passenger mungkin tidak mencipta semula formula filem seram moden, tetapi ia melaksanakannya dengan penuh keyakinan. Ketegangannya konsisten. Atmosferanya kuat. Saspensnya sentiasa hidup. Dan yang paling penting, ia berjaya membuat saya memandang jalan raya malam dengan sedikit rasa curiga selepas keluar dari pawagam. Sejak malam itu, satu nasihat daripada filem ini masih terngiang-ngiang dalam kepala saya. "Kalau gelap sudah mula menelan jalan raya di hadapan... Teruskan memandu. Jangan berhenti." Mulai ditayangkan di pawagam Malaysia tanggal 21 Mei 2026 dalam durasi 1 jam 24 minit. Jom!