
oleh: zizi hashim
Tirai filem dibuka dengan bunyi riuh sorakan. Mengejutkan saya dalam cara yang paling indah, sejak awal lagi saya terus hanyut. Dan tanpa sedar, kredit penutup sudah mula muncul, begitu pantas sehingga tak terasa masa berlalu. Jujurnya, saya rasa saya boleh duduk dan menonton sejam lagi tanpa rasa jemu langsung. Michael mengajak saya dan penonton menyelami sesuatu yang lebih dalam, lebih peribadi. Kita diberi peluang merasai jiwanya, kepekaannya, dan dunia emosi yang tersembunyi di sebalik figura global itu.
Saya ikut serta menyanyi, ketawa dan menari. Melihat Jaafar menjelma menjadi Michael... saya hampir menangis. Apa saja emosi yang terlintas, semuanya hadir, kerana Jaafar benar-benar menghidupkan kembali Michael. Kalau ada satu hal yang ingin saya ucapkan kepadanya, hanya satu kata yang paling jujur — terima kasih. Terima kasih Jaafar, kerana menghadirkan kembali sosok itu, seolah-olah waktu tidak pernah merampasnya daripada dunia.


Filem ini sarat rasa. Ia bukan sekadar bagus, ia hidup. Tontonlah tanpa prasangka. Tanpa perlu tahu apa-apa. Biarkan ia menyapa anda seperti kenangan lama yang tiba-tiba pulang. Dan anda akan melihat sendiri bagaimana magisnya Jaafar boleh berubah menjadi Michael. Naskhah ini terasa utuh sebagai biopik. Muziknya memikat, visualnya megah, dan setiap babak punya denyutnya sendiri. Pengalaman menontonnya seperti menaiki sebuah gelombang emosi yang tidak pernah benar-benar reda. Ia bukan sekadar filem, ia seperti dokumentasi perasaan, sebuah pengalaman yang mengalir deras.
Ada sesuatu yang berbeza pada cara filem ini dilahirkan. Daripada mencari seseorang untuk meniru Michael, mereka kembali kepada darahnya sendiri. Jaafar Jackson, anak saudara kepada legenda itu. Tanpa latar lakonan besar, tetapi membawa sesuatu yang tidak mampu dipalsukan. Ia terletak pada wajahnya. Pada cara dia berdiri. Pada ritma yang seakan-akan bernafas dalam tulangnya. Ini bukan tentang mencari pelakon terbaik. Ini tentang menemukan gema terdekat kepada sesuatu yang tidak pernah sepatutnya ditiru. Dan anehnya… ia menjadi. Bukan dalam bentuk yang terlalu sempurna atau terlatih, tetapi dalam naluri yang mentah dan jujur, sehingga satu titik anda berhenti menilai, dan mula benar-benar melihat.


Suara itu. Gerakan itu. Setiap langkah tari yang tajam dan ikonik: semuanya hadir dengan keakraban yang ganjil, membuatkan saya terpaku tanpa sedar. Filem ini bergerak seperti sebuah konsert yang enggan berhenti, menarik saya kembali ke era 60-an, saat keluarga Jackson mula menyalakan percikan bakat menjadi cahaya yang membakar dunia. Babak awal itu terasa kuat, hampir tiga puluh minit yang membina asas dengan begitu hidup.
Juliano Krue Valdi sebagai Michael kecil hadir dengan kelembutan yang menyentuh. Bukan sekadar melakonkan, tetapi seakan memahami jiwa itu sebelum dunia meragutnya. Colman Domingo sebagai ayah pula tidak melunakkan apa-apa. Dia membawa ketegangan itu dengan jujur, keras, dan kadang-kadang sukar untuk ditatap. Ada sesuatu pada ekspresinya yang terasa terlalu nyata, seolah-olah kita mengintip sisi manusia yang tidak pernah dimaksudkan untuk difahami sepenuhnya.


Nia Long sebagai Katherine membawa kehangatan yang membumi, memperlihatkan kasih yang membentuk dunia batin Michael. Dinamika mereka terasa jujur, lembut, dan penuh jiwa. Menarik juga bagaimana filem ini mengangkat sosok-sosok bapa dalam hidup Michael. Pengaruh Berry Gordy, Quincy Jones, dan Bill Bray terasa seperti tiang yang menahan runtuh, membawa bimbingan, perlindungan, dan kestabilan yang selama ini dicari. Ia menambah satu lagi lapisan emosi dalam perjalanan hidupnya. Perincian kecil turut berbicara dengan halus. Vitiligo digambarkan dengan penuh rasa hormat: hadir secara natural, tanpa dipaksa, seakan sebahagian daripada hidup yang tidak perlu dijelaskan panjang.
Filem ini juga tidak melupakan sisi kemanusiaan Michael. Lawatan ke hospital, hubungan dengan anak-anak kecil, detik-detik itu menyentuh dengan cara yang sunyi, mengingatkan kita bahawa belas kasihan adalah sebahagian daripada dirinya, setara dengan bakat yang mengangkat namanya. Babak kemalangan iklan Pepsi tahun 1984 turut meninggalkan kesan. Ia dihidupkan dengan intensiti dan rasa hormat, menangkap kejutan dan luka yang berpanjangan. Sebagai peminat, tentu kita ingin lebih. Nama seperti Diana Ross dan Elizabeth Taylor, yang penting dalam hidupnya, terasa ingin disentuh lebih jauh. Namun filem ini memilih jalannya sendiri. Dan entah bagaimana, ia berhasil.


Ini bukan sekadar filem yang baru saja saya tonton. Ini pengalaman. Sesuatu yang bising, hidup, dan sedikit menggoncang namun dalam cara yang paling indah. Bayangkan, dengan harga tiket biasa, saya seperti melangkah ke mesin waktu, duduk di barisan hadapan, menyaksikan Raja Pop kembali bernafas… 17 tahun selepas dunia menyangka segalanya telah selesai. Kalau menurut saya, ini antara biopik terbaik yang pernah lahir. Reaksi dingin sesetengah pengkritik terasa asing, seolah-olah mereka tidak benar-benar melihat apa yang dipersembahkan. Saya membesar dengan muzik Michael. Namun saya bukan peminat yang membuta tuli. Dan satu-satunya yang mampu saya katakan ialah saya benar-benar terpesona.
Penceritaan yang ringkas, tersusun, setiap fasa hidupnya dibina dengan teliti di bawah pengarahan sutradara Antoine Fuqua yang penuh rasa. Dan Jaafar, dia bukan sekadar pelakon. Dia bintang. Setanding, bahkan berdiri sebaris dengan bayang legenda yang diwakilinya. Apa yang dia lakukan di depan kamera… di atas pentas… sukar dipercayai. Anda boleh merasakan latihan, disiplin, pengorbanan: semuanya mengalir dalam setiap gerak. Yang saya lihat hanyalah Michael. Dan melalui Jaafar, saya mengenali sisi baru dirinya. Sisi yang membuat saya jatuh cinta sekali lagi.
Sebuah persembahan yang layak diangkat setinggi mungkin. Dan segala itu disokong oleh barisan lakonan yang memikat, memberi getar yang membuat bulu roma berdiri, menghidupkan kembali aura seorang legenda yang tidak pernah benar-benar pergi. Kalau tanya saya, ini jenis filem yang wajib ditonton di layar besar. Impak visual, muzik, dan suasana benar-benar hidup dalam ruang pawagam. Jangan biarkan penilaian luar menentukan rasa anda. Filem ini layak mendapat perhatian penuh dan setiap detik yang anda habiskan bersamanya, akan terasa berbaloi.
Michael mulai ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 23 April 2026 dalam durasi 2 jam 7 minit. Meski banyak yang mencemuh filem ini, cubalah pada satu titik, kita berhenti memikirkan apa yang kurang. Kita lepaskan ekspektasi, lalu menerima apa yang hadir di depan mata. Yang tersisa adalah sebuah permulaan yang kuat. Sepintas pandang tentang lahirnya legenda. Sebuah karya yang tidak cuba merangkum segalanya, tetapi mengajak kita merasakan sesuatu yang nyata. Dan saya… benar-benar merasakannya.