Eksplorasi Tentang Dosa Masa Lalu, 'Kafir: Gerbang Sukma' Belum Selesai Balas Dendam

oleh: zizi hashim

Langit kampung itu terasa lebih muram daripada yang saya ingat, seolah-olah setiap hela nafas menyimpan sesuatu yang belum selesai. Perjalanan kembali ke rumah lama dalam Kafir: Gerbang Sukma bukan sekadar pulang menjenguk orang tua, tetapi seperti membuka pintu yang pernah ditutup rapat bertahun-tahun lamanya. Lapan tahun selepas tragedi hitam yang menimpa keluarga Sri, kehidupan yang cuba dibina kembali runtuh perlahan-lahan, diam-diam, tapi pasti.

Sri, yang dibawakan dengan penuh luka oleh Putri Ayudya, hadir sebagai seorang ibu yang kelihatan kuat di permukaan, namun retak di dalam. Bersama anak-anaknya, Andi (Rangga Azof), Dina (Nadya Arina), serta menantunya Rina (Asha Assuncao), kepulangan mereka ke kampung selepas menerima khabar nenek sakit tenat adalah satu keputusan yang tidak dapat dielakkan. Namun setiap langkah menuju rumah itu seperti membawa mereka semakin dekat dengan sesuatu yang gelap, sesuatu yang pernah mereka tinggalkan.

Perilaku aneh datuk dan nenek, dilakonkan dengan intens oleh Arswendy Benin Swara dan Mutia Datau, menjadi bayangan awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Dari percakapan yang terputus-putus, hingga ritual yang diam-diam diperhatikan dalam gelap, suasana yang dibina terasa semakin menyesakkan. Desa yang sunyi, rumah lama yang seakan bernafas sendiri, dan bisikan angin yang membawa rasa tidak tenteram: semuanya disusun rapi oleh pengarahan sutradara Azhar Kinoi Lubis.

Cerita bergerak dengan tempo yang perlahan pada awalnya, memberi ruang untuk kita menyerap trauma lama yang masih melekat dalam diri Sri. Kilas balik yang diselitkan membantu menyambung benang merah dari filem pertama, memberi konteks kepada penonton yang mungkin sudah lama meninggalkan dunia Kafir. Namun perlahan itu juga kadangkala terasa seperti menahan sesuatu yang ingin meledak, sehingga akhirnya, rahsia lama mula terungkai satu demi satu.

Apa yang membuatkan filem ini terasa lebih dalam ialah beban dosa yang dipikul Sri. Keputusan masa lalu mengamalkan ilmu hitam demi cinta tidak pernah benar-benar berakhir. Ia hanya menunggu waktu untuk menuntut balas. Elemen ini menjadikan nuansa seram dalam filem ini tidak sekadar datang dari entiti ghaib, tetapi juga dari rasa bersalah yang menghantui jiwa. Ada momen yang membuat saya tertanya-tanya: adakah semua ini gangguan luar, atau sekadar bayangan daripada penyesalan yang tidak pernah sembuh?

Dari segi visual, filem ini tidak menahan diri. Babak berdarah, imej bangkai haiwan, serta adegan ritual yang berani memberikan kesan jijik yang nyata. Ia mungkin bukan jenis seram yang bergantung kepada kejutan mendadak, tetapi lebih kepada rasa tidak selesa yang merayap perlahan. Bunyi bisikan, pencahayaan redup, serta latar desa yang suram membantu membina atmosfera yang pekat dan mengganggu. Memang banyak betul babak mandi darah yang sangat brutal dan sadis. Tidak ada belas kasihan langsung!

Namun, tidak semua berjalan sempurna. Beberapa bahagian terasa berulang dan bergerak lambat, terutama ketika misteri sudah mula dapat diteka lebih awal. Plot investigasi juga tidak sekuat filem pertama, dan pengungkapan dalang di sebalik kejadian terasa agak mudah. Walaupun begitu, babak akhir tetap memberi kepuasan. Sebuah penamat yang menyentuh tentang penebusan dan harga yang perlu dibayar untuk setiap kesalahan.

Lakonan menjadi antara kekuatan terbesar. Putri Ayudya benar-benar membawa emosi seorang ibu yang tersepit antara cinta dan dosa. Nadya Arina dan Rangga Azof pula melengkapkan dinamika keluarga yang terasa nyata, sementara watak-watak sampingan memberi warna kepada dunia yang semakin gelap ini. Akhirnya, Kafir: Gerbang Sukma terasa seperti peringatan bahawa setiap perbuatan, sekecil mana pun, akan meninggalkan jejak. Ilmu hitam, kepercayaan karut, dan keputusan yang lahir dari keputusasaan bukan sahaja merosakkan, tetapi mampu menghancurkan generasi seterusnya.

Filem ini mungkin tidak sempurna dari segi ritma, tetapi ia tetap berjaya menghadirkan pengalaman seram yang berlapis: emosi, psikologi, dan fizikal. Sebuah kisah tentang keluarga, penyesalan, dan sesuatu yang tidak pernah benar-benar pergi. ia cuma menunggu waktu untuk kembali membalas dendam.

Saya suka sinematografinya yang cukup memikat dalam cara yang menyeramkan. Pencahayaan redup, sudut kamera sempit, dan komposisi visual yang seakan “memerangkap” penonton dalam ruang yang sama dengan watak. Setiap bayang, kabus, dan lorong gelap terasa hidup, seolah-olah memerhati dari jauh. Ditambah pula dengan rekaan bunyi yang tajam: bisikan halus, deru angin, dan gema langkah kaki, semuanya menyatu menjadi pengalaman yang mencengkam hingga ke tulang.

Menariknya, bagi yang belum sempat menonton filem pertama, jangan risau. Kafir: Gerbang Sukma masih boleh dinikmati sebagai sebuah kisah tersendiri. Kilas balik dan petunjuk naratif disusun dengan cukup jelas untuk membantu penonton memahami latar tragedi lama, tanpa membuatkan cerita terasa berat atau mengelirukan.

Mulai 23 April 2026, bersedialah untuk menyelami kegelapan yang lebih pekat menerusi Kafir: Gerbang Sukma di pawagam seluruh Malaysia. Kisah yang bermula dengan sebuah kepulangan, berubah menjadi perjalanan menelusuri dosa silam, rahsia keluarga, dan balasan yang tak terelakkan. Setiap langkah menuju rumah lama, setiap bisikan dalam sunyi, setiap ritual yang tersembunyi, semuanya membawa satu amaran yang sama: apa yang pernah dipanggil, tak akan mudah dilepaskan.

Rasakan sendiri ketegangan yang merayap perlahan, emosi yang menyesakkan, dan seram yang tidak sekadar mengejutkan… tetapi menghantui selepas lampu panggung menyala. Kalau berani, jangan datang sendiri. Temui takdir yang menunggu di sebalik gerbang itu.