oleh: zizi hashim
07 May
07May

Aura seorang ustaz selalunya dibayangkan serius, tenang dan penuh batas yang sukar disentuh humor. Namun Zahiril Adzim hadir memecahkan bayangan itu menerusi karakter paling tidak dijangka dalam perjalanan lakonannya sebagai seorang ustaz santai, bersahaja dan penuh seloroh bernama Ustaz Takdir. Menerusi drama Bapa Mentuaku Mafia, Zahiril membawa sisi berbeza yang bukan sahaja mencuit hati, tetapi perlahan-lahan menyentuh emosi tentang kehidupan, cinta dan manusia yang sedang mencari jalan pulang.

Selepas menerima respons positif menerusi watak Amir Daniel dalam filem Libang Libu, kali ini Zahiril mempertaruhkan karakter yang jauh berbeza di bawah arahan Afiza Asram. Watak Ustaz Takdir bukan sekadar seorang agamawan biasa, tetapi figura muda yang cuba mendekati masyarakat dengan cara lebih santai dan dekat dengan generasi hari ini.

Menurut Zahiril sendiri, karakter tersebut antara watak paling menarik yang pernah dibawakannya. “Saya membawakan karakter sebagai Ustaz Takdir. Cerita dan karakter ini lawak. Tetapi sebenarnya saya orang yang serius. Dalam hidup saya, saya tidak pernah buat lawak,” selorohnya. 

Dalam nada bergurau, pelakon itu mengakui watak tersebut memberi ruang untuk dirinya tampil lebih ringan dan menghiburkan berbanding kebanyakan karakter yang pernah dibawanya sebelum ini. “Karakter ini sangat menarik dan saya sangat teruja untuk membawakan watak ini. Satu karakter ustaz yang santai serta easy going serta kelakar,” katanya lagi.

Apa yang menjadikan Ustaz Takdir terasa lebih dekat dengan penonton adalah pendekatan wataknya yang tidak klise. Zahiril menjelaskan bahawa persepsi masyarakat terhadap golongan ustaz kini semakin berubah, terutama apabila ramai pendakwah muda memilih pendekatan lebih santai untuk mendekati anak muda. “Kita bayangkan ustaz berpewatakan begini tetapi sebenarnya lain. Tidak salah pun. Malah zaman ini, ustaz muda sekarang membawakan karakter yang lebih dekat dengan anak muda. Bagi menarik perhatian anak muda, ustaz kena perwatakan begitu,” jelasnya.

Malah dalam seloroh yang mencuri perhatian, Zahiril sempat mengaitkan dirinya dengan jalan cerita drama tersebut. “Saya harap saya dapat bawa watak Ustaz ni dengan baik sebab bapa mentua saya pun mafia,” katanya sambil ketawa. Drama Bapa Mentuaku Mafia turut menemukan Zahiril bersama Siti Hariessa yang memegang watak Melissa, selain dibantu barisan pelakon seperti Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Sekhon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan.

Dalam masa yang sama, Zahiril turut sempat berseloroh apabila ditanya tentang sifat melatahnya di dunia sebenar. “Saya tidak melatah. Itu semua hanyalah hikayat rakyat. Dongeng. Jangan percaya. Walau ada bukti nyata kukuh, itu tetap dongeng,” ujarnya tenang.

Drama ini mula ditayangkan di Astro Ria bermula 13 Mei 2026, setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam. Di sebalik humor dan selorohnya, Bapa Mentuaku Mafia sebenarnya membawa naratif yang lebih besar tentang manusia dan perubahan hidup. Ustaz Takdir digambarkan sebagai seorang ustaz muda bertauliah yang tinggal bersama ibunya selepas kehilangan ayah ketika zaman sekolah. Pada awalnya, dia setia terhadap cintanya kepada Murni, namun kehidupannya berubah apabila ketua mafia Zack memaksanya berkahwin dengan anaknya, Melissa. 

Takdir akhirnya terperangkap dalam dunia mafia yang penuh kuasa, rahsia dan konflik kesetiaan. Dalam masa yang sama, dia memikul tanggungjawab besar untuk membantu mengubah kehidupan Zack dan keluarganya. Perjalanan tersebut dipenuhi humor, cinta, konflik dan momen-momen keinsafan yang membuat drama ini terasa lebih hangat dan manusiawi.

Yang membuat drama ini menarik bukan sekadar premis “ustaz kahwin anak mafia”, tetapi bagaimana ia cuba menunjukkan bahawa manusia tidak semestinya berubah melalui hukuman atau kekerasan. Kadangkala, sedikit kasih sayang, humor dan keikhlasan sudah cukup untuk membuka jalan kepada perubahan.

Comments
* The email will not be published on the website.