Langkahnya tenang di pentas fesyen, tetapi jiwanya berkocak seperti lautan dalam musim ribut. Dalina, wanita dengan citarasa seni yang halus dan naluri keibuan yang mendalam, mendapati dirinya terdampar di wilayah paling rumit dalam hidup seorang perempuan iaitu terpaksa memilih antara cinta pertama yang tak pernah mati, atau suami yang semakin menjauh dalam diam.
Setia Itu Mahal, drama terbaru arahan Jamal Khan, mengetengahkan sisi kelam dalam percaturan emosi yang jarang dirungkai tanpa bias. Kasih sayang yang sah, bertembung dengan getar cinta lama yang tidak padam meski disembunyikan. Mulai 28 Julai ini, slot Akasia TV3 akan menjadi medan bagi penonton menyelami dilema wanita yang tidak sempurna tetapi tulus. Bolehkah setia bertahan bila hati yang sepi mula merindukan sesuatu yang lama hilang?
Dengan gandingan pelakon yang mencuri pandang terdiri dari Anna Jobling, Zahiril Adzim, Redza Rosli dan Rita Nadira, naskhah 28 episod terbitan Wiranusa Corporation ini mengisahkan Dalina, seorang pereka fesyen berjaya, yang selama ini hidup rapi di sisi Dr Hakim, suami penyayang yang kian larut dalam tuntutan kerjayanya sebagai pakar perubatan.
Namun tenang tak selalu bererti damai. Kehadiran semula Tengku Farid, cinta pertama yang kini suami kepada wanita berpengaruh, Tengku Natasya, mengoyak semula dinding yang telah lama Dalina bina. Bukan sengaja dia membuka ruang, tetapi luka lama tahu bagaimana merayu dalam sunyi. Saat perhatian suami makin menipis, Dalina mula tertanya, adakah cinta boleh datang semula, atau ia sekadar bayang dalam keliru?
Ketegangan memuncak ketika anak mereka, Alia, jatuh sakit. Dr Hakim sukar dihubungi, dan Dalina terpaksa meminta bantuan daripada lelaki yang pernah dia tinggalkan. Dari satu panggilan kecemasan, terbit satu gelombang rasa yang menuntut jawapan: setia itu masih pilihan, atau hanya beban? Menurut Anna Jobling, karektor Dalina adalah pantulan realiti ramai wanita. Tidak lemah, tidak juga sempurna.
“Dia cuba menjadi isteri dan ibu yang baik, tetapi manusia tetap punya had dan ruang yang kosong dalam hati,” ujar Anna. “Dalina bukan mangsa, dia tak pernah cuba jadi begitu. Tapi bila cinta lama datang tanpa undangan, dia mula goyah… dan dari situ, kita nampak betapa mahalnya harga kesetiaan.”
Setia Itu Mahal bakal bersiaran mulai 28 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim secara percuma di iQIYI bermula jam 8.00 malam, atau tonton lebih awal jika anda pengguna VIP. Bermula sejak 2020, iQIYI terus memperkukuh kedudukan sebagai platform penstriman Asia No. 1 di Malaysia, dengan peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda dalam tempoh dua tahun. Dengan sistem tontonan fleksibel, episod baru boleh ditonton secara percuma selepas 48 jam tayangan, hanya di aplikasi iQIYI.