Tirai pertama Talk To My Manager (TTMM) yang disiarkan pada 24 Ogos lalu di Astro Ria (saluran 104, jam 9 malam) ternyata mengikat perhatian khalayak. Program baharu ini tampil dengan konsep unik — legasi seni keluarga, memperlihatkan bagaimana anak-anak menjadi wajah di pentas manakala ibu atau bapa bertindak sebagai pengurus, pengarah dan penguat di balik layar.
Kombinasi peserta yang diumumkan benar-benar mencuri tumpuan. Penonton diperkenalkan dengan pasangan ibu-anak seperti Siti Saerah - Amad, Sharifah Shahirah - Audrra, Sharifah Zarina - Athalia, Liza Hanim - Marsya dan Ina Naim - Hadie, serta pasangan bapa-anak iaitu Ameng - Ammar, Shuib - Thalita, dan Aziz M. Osman - Ara Aziz. Kehadiran mereka memberi wajah segar pada pentas hiburan, seolah memperlihatkan warisan seni sedang diteruskan oleh generasi baharu.
Namun bukan sahaja barisan peserta yang menjadi bahan bualan. Segmen Post Mortem TTMM yang disiarkan sejurus tamat program utama, jam 11 malam, ternyata mencuri tumpuan ramai apabila Dato Alif Syukri dan puteranya, Ammar Ahyan atau lebih dikenali sebagai Ammayan, dipertanggungjawabkan sebagai hos.
Gaya kontra mereka mencetuskan hiburan tersendiri. Alif dengan sikap spontan, riuh dan penuh kejutan, manakala Ammayan pula serius, teliti dan sedikit kaku. Perbezaan karakter ini mencetuskan kelucuan yang semula jadi, hingga ramai netizen mengaku terhibur dengan gandingan sulung dua beranak tersebut. “Lawak post mortem Talk To My Manager part Datuk Syafinaz. Tiba-tiba Ammayan ucap assalamualaikum kat Datuk Syafinaz masa tengah komen. Pecah perut betul,” tulis pemilik akaun @seyka.loy yang tidak mampu menahan gelak.
Bukan itu sahaja, saat Liza Hanim berseloroh agar dipanggil “aunty”, Ammayan tetap berpegang pada teks pengacara yang menyebut “puan” mencipta suasana canggung yang menjadi bahan ketawa ramai. Gelagat dua beranak ini mengingatkan penonton kepada siaran langsung jualan produk mereka di TikTok yang pernah menjadi fenomena.
Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, menegaskan pemilihan Alif dan Ammayan bukan kebetulan. “Kami fikir gandingan mereka amat sesuai dengan roh Post Mortem TTMM. Aura mereka berbeza tetapi saling melengkapi, Alif yang kecoh, Ammayan pula terkawal. Nilai kekeluargaan dan keakraban mereka yang bersahaja membuatkan penonton rasa dekat dan terhibur.”
TTMM sendiri bukanlah sebuah program hiburan tipikal. Ia lebih daripada sekadar pentas pertunjukan; program ini membuka ruang kepada bakat baharu untuk diuji dalam konteks sebenar dunia seni, dengan sokongan ibu atau bapa sebagai pengurus. Interaksi itu sendiri menjadi cermin bagaimana seni, kasih sayang dan cabaran bercampur dalam perjalanan keluarga.
Episod pertama diadili sepenuhnya oleh juri tetap, dengan sistem pemarkahan 100% berpaksikan penilaian profesional. Barisan juri yang digandingkan terdiri daripada nama-nama berpengaruh seperti Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal, manakala program utama dipandu oleh pengacara legenda, Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil).Bermula minggu ini, penonton diberi peluang untuk turut sama menentukan nasib peserta dengan mengundi di portal rasmi Astro Gempak. Format ini dijangka menjadikan perjalanan TTMM lebih interaktif, melibatkan peminat secara langsung dalam perkembangan peserta kegemaran mereka.
Program ini dijadualkan berlangsung selama 7 minggu, dengan konsert utama disiarkan secara langsung setiap Ahad jam 9 malam dari Auditorium MBSA Shah Alam, serta boleh distrim secara On Demand melalui aplikasi Astro GO dan sooka. Segmen Post Mortem TTMM pula kekal sebagai pelengkap sempurna, ruang untuk menyoroti kembali detik-detik menarik dengan gaya santai, penuh gelak tawa, tetapi tetap berisi.“
Meski September penuh dengan program hiburan, kami yakin TTMM dan Post Mortem akan jadi fenomena sendiri. Gabungan peserta, juri, dan hos semuanya punya daya tarik tersendiri,” kata Norzeha dengan penuh optimis. Dan benar, minggu pertama TTMM membuktikan sesuatu: hiburan yang berpaksikan keluarga mampu mencuit hati, mengajar, dan dalam masa sama menghibur. Tambahan pula dengan gelagat dua beranak Alif dan Ammayan, Post Mortem TTMM sudah pun dianggap ramai sebagai acara wajib tonton setiap Ahad malam.