oleh: zizi hashim
13 May
13May

Ada manuskrip yang tidak sepatutnya disentuh. Ada rahsia yang sebaik sahaja dibuka, perlahan-lahan mula menghancurkan manusia yang membacanya. Dari dunia penuh manipulasi, obsesi dan permainan psikologi itulah Verity hadir sebagai antara thriller paling dinanti tahun 2026. Sebuah kisah yang bukan sekadar tentang misteri, tetapi tentang bagaimana manusia boleh tenggelam dalam batas antara realiti dan kegilaan. 

Diadaptasi daripada novel sensasi karya Colleen Hoover, filem ini bakal menemui penonton Malaysia bermula 1 Oktober 2026 menerusi Amazon MGM Studios. Namun sejak pengumuman awalnya lagi, Verity sudah mula mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat thriller psikologi dan pengikut setia novel asalnya. 

Kisahnya berpusat kepada Lowen Ashleigh, seorang penulis yang sedang bergelut dengan kehidupan dan kariernya sebelum menerima tawaran yang kelihatan seperti peluang terbesar dalam hidupnya iaitu menjadi ghostwriter kepada penulis terkenal Verity Crawford. Namun sebaik sahaja Lowen berpindah ke kediaman terpencil keluarga Crawford, suasana perlahan-lahan berubah menjadi semakin tidak selesa. Rumah besar itu bukan sekadar menyimpan manuskrip lama, tetapi juga rahsia gelap yang terasa hidup di setiap sudut ruangnya.

Ketika menyelongkar bahan tulisan Verity, Lowen menemui nota autobiografi mengerikan yang mengandungi pelbagai pengakuan mengejutkan tentang kehidupan Verity dan suaminya, Jeremy. Dari situ, sempadan antara kebenaran dan manipulasi mula menjadi kabur. Apa yang membuat Verity terasa lebih menyeramkan bukanlah elemen seram tradisional, tetapi bagaimana filem ini bermain dengan minda manusia. Setiap halaman manuskrip yang dibaca Lowen terasa seperti membuka pintu kepada sesuatu yang semakin sukar dikawal: obsesi, tarikan emosi dan ketakutan yang perlahan-lahan menghancurkan kewarasannya sendiri.

Diarahkan oleh Michael Showalter dengan skrip tulisan Nick Antosca, filem ini membawa kombinasi atmosfera thriller psikologi moden bersama emosi yang lebih intim dan disturbing. Menguatkan lagi dunia penuh misteri tersebut ialah kehadiran Anne Hathaway sebagai Verity Crawford, seorang penulis terkenal yang misterius dan sukar dibaca emosinya. Bersama beliau ialah Dakota Johnson yang membawa watak Lowen Ashleigh serta Josh Hartnett sebagai Jeremy Crawford.

Gabungan tiga pelakon tersebut sudah cukup membuat ramai percaya bahawa Verity bakal menjadi antara filem thriller paling intens dan emosional tahun depan. Turut membintangi filem ini ialah Ismael Cruz Cordova dan Brady Wagner yang melengkapkan dunia penuh rahsia dan tekanan psikologi tersebut. Menariknya, Anne Hathaway sendiri turut terlibat sebagai penerbit bersama filem ini bersama Colleen Hoover dan beberapa nama besar lain termasuk Stacey Sher serta Michael Showalter sendiri.

Sejak novel asalnya diterbitkan, “Verity” sering dianggap antara karya Colleen Hoover paling gelap dan kontroversial kerana keberaniannya menyentuh sisi obsesif hubungan manusia, manipulasi emosi dan permainan psikologi yang tidak memberi ruang penonton untuk benar-benar rasa selamat. Dan mungkin itulah yang membuat filem ini terasa begitu dinanti, kerana dalam dunia Verity, ketakutan sebenar bukan datang daripada hantu… tetapi daripada manusia yang terlalu pandai menyembunyikan siapa diri mereka sebenarnya.

Comments
* The email will not be published on the website.