Gelombang yang tercetus daripada sesebuah drama lazimnya berakhir sebaik episod terakhir ditayangkan. Namun ada juga naskhah yang meninggalkan kesan lebih mendalam apabila kisah yang dipaparkan mula membuka ruang kepada perbincangan tentang realiti kehidupan. Itulah yang sedang berlaku kepada Viu Original Bidadari Tanpa Syurga, apabila watak Azlan lakonan Dato' Aaron Aziz bukan sekadar mencetuskan kemarahan penonton, malah membuka perdebatan besar mengenai narcissistic abuse, gaslighting dan penyalahgunaan agama dalam sesebuah hubungan.
Perbincangan itu tercetus selepas satu hantaran di Threads oleh pengguna @leaazman bertajuk "This is what we called narcissist guys" menjadi tular. Hantaran yang memaparkan babak daripada drama tersebut meraih puluhan ribu tanda suka serta ribuan komen dan perkongsian, sekaligus mengubah ruang media sosial menjadi platform untuk orang ramai berkongsi pengalaman sebenar berdepan hubungan toksik.

Apa yang menarik, kebanyakan perbincangan tidak lagi tertumpu kepada jalan cerita semata-mata. Sebaliknya, ramai mula mengupas bagaimana seorang individu yang mempunyai sifat narsisistik mampu memanipulasi pasangan melalui rasa bersalah, memainkan emosi serta menggunakan agama sebagai alat untuk mengawal orang lain. Antara komen yang paling mendapat perhatian datang daripada pengguna @97amirahnajihah, yang menyifatkan isu sebenar bukan terletak pada peranan suami atau isteri, tetapi bagaimana seorang narcissist akan menggunakan apa sahaja yang boleh dijadikan senjata apabila gagal mendapatkan apa yang diinginkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa individu sebegini bijak menyembunyikan keburukan di sebalik imej yang kelihatan baik, sebelum akhirnya memainkan watak mangsa apabila berdepan tentangan. Pandangan itu dipersetujui ramai netizen yang menyifatkan watak Azlan berjaya menggambarkan corak tingkah laku seorang narcissist yang sentiasa mahu dilihat paling betul dan paling layak dihormati.


Satu lagi isu yang hangat diperkatakan ialah bagaimana agama digunakan sebagai medium manipulasi dalam hubungan. Beberapa pengguna Threads berpendapat watak Azlan memperlihatkan kecenderungan menggunakan hujah agama bagi membuatkan pasangan sentiasa berasa bersalah dan tunduk kepada kehendaknya. Ada yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai bentuk penunggang agama, manakala sebahagian lagi meluahkan rasa kurang senang apabila ajaran agama hanya dijadikan alasan apabila menguntungkan sebelah pihak. Perbincangan turut berkembang kepada isu gaslighting, iaitu manipulasi psikologi yang menyebabkan mangsa sentiasa meragui diri sendiri.
Ramai pengguna mengakui pernah berdepan individu yang mempunyai corak tingkah laku hampir sama dengan Azlan. Ada yang berkongsi pengalaman melalui perkahwinan yang toksik selama bertahun-tahun, manakala sebahagian lagi meluahkan rasa syukur kerana berjaya keluar daripada hubungan yang memudaratkan emosi mereka.
Lebih menyentuh hati, ramai penonton mengakui watak tersebut membuka mata mereka terhadap tanda-tanda awal hubungan yang tidak sihat. Ada yang meluahkan rasa takut sekiranya bertemu pasangan seperti Azlan dalam kehidupan sebenar, manakala yang lain menyifatkan drama ini sebagai peringatan bahawa manipulasi emosi sering berlaku secara perlahan sehingga sukar disedari mangsanya. Kejayaan Bidadari Tanpa Syurga terletak pada keberaniannya mengangkat isu yang dekat dengan masyarakat tanpa bersifat menghakimi.
Melalui lakonan meyakinkan Dato' Aaron Aziz sebagai Azlan dan Nadiya Nisaa sebagai Farhah, drama ini bukan sahaja menghiburkan, malah membuka ruang kepada dialog yang lebih luas mengenai kesihatan emosi, penyalahgunaan kuasa dalam hubungan serta kepentingan mengenali tanda-tanda narcissistic abuse sebelum keadaan menjadi lebih serius.


Hakikatnya, tidak semua luka meninggalkan parut yang dapat dilihat. Ada yang tersembunyi di sebalik kata-kata, rasa bersalah dan manipulasi yang berpanjangan. Dan apabila sebuah drama mampu membuatkan ribuan orang berani berkongsi pengalaman yang selama ini dipendam, mungkin ia sudah melangkaui fungsi hiburan. Ia menjadi cermin kepada realiti yang selama ini terlalu ramai memilih untuk diam.