oleh: zizi hashim
05 Feb
05Feb

Lorong keimanan kerap tampak terang dari kejauhan, namun menjadi berliku tatkala kuasa mulai menyusup ke ruang batin manusia. Viu mempersembahkan Viu Original Walid (Heaven’s Reign), sebuah thriller agama yang menguak garis rapuh antara pengabdian tulus dan tipu daya yang berselindung di balik wajah santun. Menyusul sambutan besar Bidaah pada tahun lalu, siri 12 episod ini hadir sebagai pertaruhan naratif yang lebih muram, lebih mendesak, dan lebih berani memeriksa psikologi ketaatan.

Terbitan Rumah Karya Citra mempertemukan kembali Erma Fatima selaku pencipta serta penulis skrip dengan Pali Yahya di kerusi pengarah, duo yang terkenal melalui kemampuan menganyam polemik keagamaan dengan denyut dramatik yang menggigit. Kerangka penceritaan disusun rapi, membenamkan penonton ke dalam labirin konflik di mana iman sering kali dijadikan mata wang kuasa.

Kisah berpusat pada Walid (Faizal Hussein), bekas pemimpin ajaran sesat Jihad Ummah yang terlepas daripada buruan pihak berkuasa. Pelariannya ke kawasan pergunungan menjadi medan baharu untuk menumbuhkan kembali pengaruh. Pakatan awal dengan Habiburrahman (Aqasha), pendakwah berkarisma yang menyembunyikan agenda gelap, segera menjelma pertarungan senyap. Dua sosok beradu taktik demi menguasai kepercayaan, kesetiaan, dan legitimasi kuasa.

Di tengah pusaran tersebut berdiri Ummi Hafizah (Marisa Yasmin), bekas isteri Walid yang mengikat tekad memulihkan makna iman yang telah dipesongkan. Jejaknya bersilang dengan Ustaz Fateh (Dato’ A. Tamimi Siregar), mentor lama Walid yang pulang dari Kaherah dengan harapan terakhir untuk menarik muridnya keluar dari lorong kesesatan. Perjalanan mereka saling berpotongan, menyingkap garis tipis antara ketaatan dan penipuan, lalu memuncak pada konfrontasi ego, taubat, dan penebusan.

Deretan pelakon Malaysia dan Indonesia memperkaya spektrum emosi terdiri dari Faizal Hussein, Aqasha, Dato’ A. Tamimi Siregar, Olla Ramlan sebagai Raras Kartika, Marisa Yasmin sebagai Ummi Hafizah, serta Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul. Pertemuan bakat lintas pasaran ini menebalkan tekstur budaya dan memperluas horizon empati, menjadikan penceritaan terasa intim namun berskala serantau.

Tambahan pula, gema watak Walid yang pernah meledak menerusi Bidaah masih berdesir hingga kini. Keberkesanan lakonan Faizal Hussein sebagai figura penuh manipulasi itu bukan sahaja mengundang pujian penonton, malah mencetus reaksi luar jangkaan di media sosial. Faizal atau nama penuhnya Mohd Faizal Hussein berkongsi, ramai peminat khususnya dari Indonesia mengirim mesej peribadi, ada yang berseloroh mahu menjadi isterinya, ada juga yang menganggap dirinya benar-benar Walid.

Impak watak tersebut turut melonjakkan jumlah pengikut akaun media sosialnya, termasuk milik anak-anak, satu petanda betapa kuatnya resonansi karakter yang dibawanya. Biarpun demikian, Faizal menegaskan setiap tawaran watak termasuk adegan romantis dirujuk terlebih dahulu kepada isterinya, Suhaila Sulaiman, yang memahami tuntutan kerjaya seni dan memberi kepercayaan penuh kepadanya.

Erma Fatima selaku penulis skrip menegaskan, penceritaan Walid digarap dengan niat memperingatkan, bukan memuja sisi gelap. “Kisah ini bukan glorifikasi ajaran sesat, tetapi amaran tentang bagaimana iman boleh dimanipulasi apabila manusia tunduk pada ego dan kuasa. Kami mahu penonton berfikir, bukan sekadar terhibur,” ujarnya. Kata Erma, penelitian watak dan konflik dibuat berlapik agar ketegangan lahir daripada kemanusiaan yang goyah, bukan sensasi murahan.

Vanidah Imran mengakui lebih berhati-hati dalam mengawal ekspresi dan gerak tubuh selepas menerima kecaman hebat menerusi drama Bidaah sebelum ini. Pelakon itu memilih profesionalisme sebagai kompas; segala pertikaian diserahkan kepada suntingan, sementara batas peribadi tetap dijaga. Bagi Vanidah, pemisahan antara watak dan realiti wajar difahami penonton yang matang. Kritik diterima sebagai sebahagian risiko berkarya, walau meninggalkan rasa terkilan apabila isu lalu ditularkan pada waktu yang sensitif.

Suasana sesi pratonton eksklusif Walid bersama media pada 4 Februari 2026 di Saloma, Kuala Lumpur pula terasa sarat debaran dan rasa ingin tahu. Di ruang yang disimbah cahaya hangat, perbincangan seputar garis sensitif penceritaan menjadi topik utama menandakan karya ini sedar akan tanggungjawab sosial yang dipikulnya

Sinergi kepakaran kreatif, sumber produksi, dan perspektif penceritaan dua pasaran mengukuhkan komitmen Viu terhadap kandungan berkualiti yang dekat di hati penonton tempatan serta berpotensi menembusi khalayak global. Walid ditayangkan eksklusif di Viu bermula Khamis, 26 Februari 2026, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Comments
* The email will not be published on the website.