Dentuman tumbukan, tubuh yang jatuh bangun di gelanggang dan manusia yang bertarung bukan sekadar dengan musuh… tetapi dengan luka hidup mereka sendiri. Dalam dunia filem tempatan yang lama mendambakan sebuah naskhah aksi benar-benar kuat dari segi emosi dan sinematik, Tarung: Unforgiven kini muncul sebagai fenomena yang tidak lagi boleh dipandang kecil.
Hanya beberapa hari selepas mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei lalu, filem terbitan ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu berjaya mencatat kutipan luar biasa sebanyak RM10.5 juta. Lebih mengejutkan, Tarung: Unforgiven kini menduduki tangga pertama carta Top 10 Movie GSC, mengetepikan beberapa judul antarabangsa berskala besar yang turut sedang ditayangkan ketika ini.

Pencapaian tersebut seakan menjadi bukti bahawa penonton Malaysia sebenarnya masih dahagakan filem aksi tempatan yang bukan sekadar penuh tumbukan dan ledakan, tetapi mempunyai jiwa dan emosi yang terasa dekat dengan realiti manusia. Sejak minggu pertama tayangan, aura Tarung: Unforgiven sudah mula terasa menerusi siri jelajah promosi di sekitar Klang Valley yang dibanjiri ribuan peminat di setiap lokasi. Sorakan penonton, sesi bergambar dan reaksi spontan selepas tayangan memperlihatkan bagaimana filem ini perlahan-lahan berubah menjadi fenomena budaya pop tempatan yang semakin membesar dari hari ke hari.
Menurut pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutifnya, Razaisyam Rashid, sambutan yang diterima benar-benar di luar jangkaan pasukan produksi. “Saya sangat terharu dengan sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap TARUNG: Unforgiven. Dari hari pertama tayangan, kami dah dapat rasa kehangatan dan semangat dari penonton untuk filem ini,” katanya. Beliau turut berharap kejayaan filem tersebut mampu menjadi pembuka jalan kepada perkembangan lebih besar untuk genre aksi tempatan. “Harapan saya, semoga TARUNG dapat jadi pemangkin baru untuk filem aksi tempatan pergi lebih jauh, lebih besar dan lebih berani,” tambahnya lagi.


Nada sama turut dikongsi pelakon utama merangkap penerbit eksekutif, Aedy Ashraf yang mengakui kejayaan tersebut membawa makna besar buat seluruh pasukan produksi. “Kami hasilkan filem ini dengan penuh dedikasi, pengorbanan dan jiwa. Bila tengok reaksi penonton di pawagam, video TikTok dan semua respon positif setiap hari, itu kepuasan terbesar untuk kami,” ujarnya.
Apa yang membuat Tarung: Unforgiven terasa lebih kuat di mata penonton adalah bagaimana filem ini berjaya mengimbangi aksi brutal dengan sisi manusiawi karakter-karakternya. Di media sosial, ramai memuji koreografi pertarungan yang realistik, emosi karakter yang terasa dekat serta visual sinematik yang memberi pengalaman lebih besar di layar perak.


Barisan pelakonnya juga menjadi antara kekuatan utama filem ini. Selain Aedy Ashraf dan Mierul Aiman, filem ini turut dibintangi Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah serta ramai lagi termasuk petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri. Gabungan pelakon dan petarung sebenar itu membuat setiap babak aksi terasa lebih mentah, keras dan meyakinkan: seperti dunia pertarungan yang benar-benar hidup di depan mata penonton.
Kini, selepas mencetuskan gelombang besar di pawagam tempatan, Tarung: Unforgiven dilihat bukan lagi sekadar sebuah filem aksi biasa. Ia sudah berubah menjadi simbol bahawa filem tempatan masih mampu berdiri gagah, bertarung dan menang di gelanggang sendiri.
