oleh: zizi hashim
13 Apr
13Apr

Dentuman emosi dan letupan aksi akhirnya menemukan bentuknya. Sebuah dunia yang keras, penuh luka, dan tidak pernah memberi ruang untuk berpatah balik. Pelancaran trailer rasmi TARUNG: Unforgiven menandakan langkah seterusnya bagi filem yang sejak awal sudah mencuri perhatian. Selepas “first look” mencetuskan perbualan hangat, trailer berdurasi 1 minit 45 saat ini membuka lebih banyak ruang: memperlihatkan konflik, pertarungan dan dunia MARGA yang sarat dengan kuasa dan pengkhianatan.

Dunia MARGA bukan sekadar latar, ia adalah gelanggang di mana kekuasaan dipertaruhkan. Perebutan takhta organisasi elit ini menjadi titik mula kepada perjalanan yang penuh ketegangan, diperkukuhkan dengan pertembungan dua watak utama iaitu Hatta lakonan Mierul Aiman dan Isa yang dibawakan oleh Aedy Ashraf.

Setiap gerak tubuh dalam treler itu terasa berat, seolah-olah membawa beban masa lalu yang belum selesai. Koreografi aksi yang disusun rapi, digabungkan dengan visual yang realistik, menjadikan setiap adegan bukan sekadar tontonan, tetapi pengalaman yang menekan emosi. Di sebalik aksi, terselit tema yang lebih mendalam: tentang penebusan, tentang kesilapan yang tidak boleh dipadam, dan harga yang perlu dibayar untuk setiap pilihan.

Filem arahan Razaisyam Rashid ini turut menghimpunkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel dan ramai lagi, membentuk sebuah dunia yang padat dengan karakter dan konflik. Menurut Razaisyam, trailer ini hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang telah dibina, sebuah dunia yang hanya dapat dirasai sepenuhnya di pawagam, di mana penonton akan benar-benar “masuk” ke dalam perjalanan cerita.

Bagi Aedy Ashraf pula, keterlibatannya dalam keseluruhan proses produksi hingga ke pemasaran menjadi pengalaman yang sangat bermakna, apatah lagi apabila teaser filem ini telah mencatat lebih satu juta tontonan dalam tempoh singkat. Satu bukti awal terhadap keterujaan penonton. Pelancaran trailer ini berlangsung dalam suasana Rumah Terbuka Hari Raya di Banglo 289, Kuala Lumpur menghimpunkan penggiat industri, pelakon dan media dalam satu perayaan yang penuh makna.

Tidak terhenti pada layar, TARUNG: Unforgiven turut memperluaskan pengaruhnya melalui pelbagai inisiatif kreatif termasuk tayangan awal bermula 6 Mei serta siri jelajah ke seluruh negara bermula 8 Mei, membawa pengalaman filem ini lebih dekat kepada peminat. Kolaborasi strategik bersama Wetix membuka peluang kepada penonton untuk mendapatkan tiket dan pakej eksklusif, lengkap dengan merchandise khas seperti kemeja-T, bandana dan collectible card.

Manakala sentuhan luar jangka hadir melalui kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh yang memperkenalkan “Kunafa Tarung” gabungan rasa pedas dan keju leleh yang diinspirasikan daripada semangat pertarungan filem ini. Dari sudut muzik, filem ini turut diperkaya dengan dua lagu tema iaitu "Test" oleh kumpulan Distorted dan "Terbang" oleh Noh Salleh, yang membawa lapisan emosi tambahan kepada perjalanan cerita.

Mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam, TARUNG: Unforgiven membawa penonton menyelami perjalanan seorang lelaki yang terpaksa kembali ke gelanggang haram demi menyelamatkan keluarganya, tanpa menyedari bahawa musuh paling sukar untuk ditewaskan adalah masa lalunya sendiri.

Dan mungkin, di antara setiap tumbukan dan luka yang terbuka, terselit satu persoalan: adakah setiap kesalahan benar-benar boleh ditebus? TARUNG: Unforgiven bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 7 Mei 2026.

Comments
* The email will not be published on the website.