Debar gelanggang itu masih belum berhenti. Setiap tumbukan, luka dan kemarahan yang tercurah di layar perak kini berubah menjadi satu gelombang besar yang terus menggoncang pawagam seluruh negara. Dalam saat ramai mula meragui kekuatan filem aksi tempatan, Tarung: Unforgiven muncul seperti sebuah amarah yang tidak boleh lagi dipandang kecil. Hanya dalam tempoh 11 hari tayangan, filem arahan Razaisyam Rashid itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM15.7 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling hangat diperkatakan ketika ini.
Lebih menarik, Tarung: Unforgiven terus mendominasi carta Top 10 GSC di tangga pertama sejak hari pertama tayangan sehingga kini. Sesuatu yang membuktikan bahawa penonton Malaysia masih dahagakan filem aksi tempatan yang benar-benar memiliki jiwa dan identiti tersendiri. Namun kejayaan filem ini tidak lahir sekadar daripada aksi brutal dan pertarungan semata-mata. Sebaliknya, kekuatan sebenar Tarung: Unforgiven hadir melalui emosi manusia yang terasa dekat dengan realiti: tentang maruah, perjuangan hidup dan manusia yang terpaksa bertarung demi terus berdiri dalam dunia yang keras.


Menurut Razaisyam Rashid selaku pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutif filem tersebut, sambutan luar biasa daripada penonton menjadi sesuatu yang sangat bermakna buat seluruh pasukan produksi. “Kutipan RM15.7 juta ini bukan sekadar angka, tetapi satu isyarat jelas bahawa penonton Malaysia bersedia dan terbuka untuk menyokong karya tempatan yang berani, jujur dan berkualiti,” katanya.
Beliau turut berharap momentum besar yang sedang diraih filem tersebut mampu membuka lebih banyak ruang untuk genre aksi tempatan berkembang ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang. Nada sama turut dikongsi pelakon utama merangkap penerbit eksekutif, Aedy Ashraf yang menyifatkan sokongan penonton sebagai tenaga paling besar sepanjang perjalanan filem ini. “Melihat reaksi di pawagam serta perbualan yang tercetus di media sosial memberikan kami tenaga dan semangat yang sangat besar sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.


Dibarisi pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf dan Sharifah Sakinah, filem ini turut diperkuat dengan kehadiran petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri yang membuat setiap babak aksi terasa lebih mentah dan realistik. Fenomena Tarung: Unforgiven juga semakin membesar di media sosial apabila ramai penonton mula berkongsi reaksi, ulasan dan babak kegemaran mereka sehingga menjadikan filem ini bukan lagi sekadar tayangan pawagam biasa, tetapi sebuah gelombang budaya pop tempatan yang hidup dalam perbualan harian peminat filem Malaysia.
Bagi meneruskan momentum tersebut, siri jelajah rasmi Tarung: Unforgiven bakal diteruskan di Utara pada 22 hingga 24 Mei ini untuk memberi peluang kepada peminat bertemu sendiri barisan pelakon filem tersebut. Dan mungkin dalam dunia filem tempatan hari ini, TARUNG bukan lagi sekadar kisah tentang pertarungan di gelanggang… tetapi simbol bahawa karya aksi Malaysia juga mampu berdiri megah dan menang di rumah sendiri.
