oleh: zizi hashim
25 May
25May

Dunia hiburan seringkali memperlihatkan sisi yang gemerlapan. Lampu kamera yang tidak pernah padam, sorakan peminat yang sentiasa mengiringi dan kehidupan yang kelihatan sempurna dari luar sering membuatkan ramai terlupa bahawa di sebalik semua itu, seorang selebriti tetap manusia biasa yang memiliki rasa takut, kecewa dan keinginan untuk dicintai seperti orang lain. Daripada premis itulah lahirnya Kata Hati, sebuah naskhah romantik komedi yang tampil membawa nafas segar kepada landskap perfileman tempatan.

Selepas sekian lama pawagam dibanjiri filem aksi dan seram, karya arahan Nadiah Hamzah ini hadir sebagai sebuah kisah yang ringan, manis dan dekat dengan pengalaman kehidupan moden. Baru-baru ini, pihak media berpeluang menyaksikan tayangan khas filem tersebut sebelum ia menemui penonton umum pada 4 Jun 2026. Sepanjang sesi tayangan, Kata Hati berjaya mengundang pelbagai reaksi daripada para hadirin, daripada ketawa spontan menerusi dialog-dialog bersahaja hinggalah kepada momen-momen emosional yang menyentuh sisi paling manusiawi dalam diri penonton.

Diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd., filem ini bukan sekadar mengangkat kisah cinta biasa. Menurut penerbitnya, Muhammad Bahir, idea penghasilan Kata Hati lahir daripada pemerhatian terhadap kehidupan sebenar selebriti yang sering dilihat berbeza di hadapan kamera berbanding kehidupan mereka di luar sorotan media. “Kami tertarik melihat perbezaan antara persona yang dipaparkan di hadapan umum dengan realiti kehidupan sebenar seorang selebriti. Dari situ lahir keinginan untuk menghasilkan sebuah cerita yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memperlihatkan sisi manusiawi yang jarang diperkatakan,” jelasnya.

Naskhah ini mengisahkan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang pelakon muda yang sedang menikmati kemuncak populariti. Kariernya berkembang pesat, lebih-lebih lagi selepas membintangi sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail lakonan Fazziq Muqris. Namun kehidupan yang kelihatan sempurna itu mula retak apabila satu insiden memalukan menjadi tular pada malam pencalonan sebuah anugerah berprestij. 

Di tengah kekalutan tersebut, Ayra dipertemukan dengan Imran Firdaus, watak yang dibawakan oleh Yusof Hashim, seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak terpesona dengan status selebriti mahupun kemewahan dunia glamor. Pertemuan yang pada awalnya tampak biasa akhirnya membuka lembaran baharu dalam kehidupan kedua-duanya apabila Imran diminta menjadi pemandu peribadi Ayra atas cadangan Maya, kakak dan pengurus Ayra yang dilakonkan oleh Scha Alyahya. Daripada situlah bermulanya sebuah hubungan yang tidak dijangka.

Di sebalik perbezaan latar belakang, status sosial dan cara hidup, kedua-duanya mula menemukan sesuatu yang semakin jarang ditemui dalam dunia yang dipenuhi persepsi dan penilaian iaitu kejujuran. Selain trio utama, filem ini turut diperkuatkan dengan kehadiran Taqim Zaki, Norreen Iman, Razib Salimin, Nina Kho dan Naylaa Julianne. Lebih menarik, penonton juga bakal disajikan dengan kemunculan istimewa beberapa nama besar industri seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Aziz M. Osman, Bella Rahim, Ceddy Ang dan Shweta Sekhon. 

Menurut penerbit eksekutif Juliana Foo, Kata Hati hadir sebagai sebuah “modern fairy tale” yang menggabungkan elemen romantik, humor dan emosi dalam sebuah kisah yang mudah dihayati oleh semua lapisan penonton. Beliau percaya masih ramai penonton yang merindui filem cinta yang ringan tetapi mampu meninggalkan kesan mendalam selepas keluar dari pawagam.

Bagi Nadiah Hamzah pula, selepas menghasilkan karya yang lebih berat seperti Motif, beliau mahu mencipta sebuah filem yang boleh membuatkan penonton tersenyum, ketawa dan pada masa sama menyentuh emosi mereka.“Kata Hati adalah tentang kemanisan bercinta, tentang manusia biasa yang mencari kebahagiaan dan tentang keberanian untuk mendengar suara hati sendiri,” ujarnya. 

Berdasarkan reaksi yang diterima sepanjang tayangan media, Kata Hati berpotensi menjadi antara filem romantik tempatan yang mampu menarik perhatian penonton tahun ini. Ia bukan sekadar sebuah kisah cinta antara selebriti dan pemandu e-hailing, tetapi sebuah cerita tentang mencari keikhlasan dalam dunia yang sering menilai manusia berdasarkan apa yang terlihat di permukaan. Dan kadangkala, di tengah hiruk-pikuk kehidupan yang terlalu bising, jawapan yang paling jujur sebenarnya datang daripada satu tempat yang paling sederhana iaitu kata hati.

Comments
* The email will not be published on the website.