oleh: zizi hashim
03 Aug
03Aug

Ledakan luar biasa yang tercetus sebaik sahaja Spider-Man: Brand New Day menghuni pawagam membuktikan bahawa aura adiwira paling digemari dunia itu masih belum pudar. Malah, filem terbaharu terbitan Sony Pictures ini bukan sekadar memenuhi jangkaan peminat, sebaliknya mencipta sejarah baharu apabila merekodkan pembukaan hujung minggu terbesar pernah dicapai Sony Pictures Malaysia.

Sejak mula ditayangkan pada 30 Julai, Spider-Man: Brand New Day terus menguasai carta box office tempatan dengan kutipan mencecah RM30 juta hanya dalam tempoh empat hari. Angka tersebut sekali gus meletakkan filem ini sebagai antara pembukaan paling berjaya tahun ini, dengan lebih sejuta rakyat Malaysia membanjiri pawagam sepanjang hujung minggu untuk menyaksikan babak terbaharu perjalanan Peter Parker di layar perak.

Kejayaan luar biasa itu bukan sekadar diterjemahkan melalui angka jualan tiket. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, Brand New Day berkembang menjadi sebuah fenomena budaya pop yang menyatukan peminat tegar Spider-Man serta penonton umum. Ramai menggelarnya sebagai "The Event of the Year", membuktikan keterujaan luar biasa terhadap filem yang membuka lembaran baharu kehidupan Peter Parker selepas dunia melupakan identitinya.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan tayangan, Sony Pictures Entertainment Malaysia turut menganjurkan pelbagai aktiviti promosi berskala besar. Antaranya termasuk perhimpunan peminat Spider-Man Day di beberapa pawagam terpilih, selain persembahan drone dan bunga api yang menerangi ruang langit bandar bagi meraikan ketibaan filem tersebut. Menurut Pengarah Urusan Sony Pictures Entertainment Malaysia, Simon Foo, syarikat itu mahu memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada para penonton.

"Dengan keterujaan luar biasa terhadap filem ini, kami mahu memainkan peranan dalam meningkatkan pengalaman menonton menerusi pelbagai inisiatif seperti perhimpunan Spider-Man di pawagam terpilih sempena Spider-Man Day, selain persembahan dron dan bunga api yang menerangi bandar. Kami amat gembira melihat semua orang berkongsi keterujaan yang sama seperti kami."

Penerimaan positif terhadap filem ini turut disokong oleh skor 98 peratus di Rotten Tomatoes, sekaligus menjadikannya filem Spider-Man dalam era Marvel Cinematic Universe (MCU) dengan penilaian penonton tertinggi setakat ini. Pencapaian tersebut memperlihatkan bagaimana Brand New Day bukan sahaja berjaya dari sudut komersial, malah turut memenangi hati peminat dan pengkritik.

Media tempatan turut melontarkan pujian terhadap filem arahan yang menggabungkan aksi berskala besar dengan penceritaan yang lebih emosional. Goggler menyifatkannya sebagai "filem Spider-Man terbaik dalam era Tom Holland serta paling manusiawi dan menyentuh emosi." Sementara itu, SAYS Seismik memuji gabungan aksi mendebarkan dan elemen emosi yang kuat, manakala Buro Malaysia menganggap persembahan Tom Holland sebagai yang paling mantap sepanjang beliau memegang watak adiwira tersebut.

Di sebalik segala rekod yang berjaya dipecahkan, kekuatan sebenar Spider-Man: Brand New Day terletak pada keberaniannya membawa penonton kembali menyelami sisi paling rapuh seorang wira. Ia bukan sekadar kisah menyelamatkan dunia, tetapi tentang kehilangan, harapan dan keberanian untuk terus bangkit walaupun seluruh dunia sudah melupakan siapa diri kita. Barangkali itulah sebabnya filem ini bukan sekadar mencipta rekod box office, tetapi juga meninggalkan kesan yang terus hidup lama selepas kredit penutup berakhir.

Comments
* The email will not be published on the website.