Sepi kadang-kadang hadir paling kuat saat seseorang memilih untuk terus bertahan sendirian. Itulah rasa yang terus melekat pada Spider-Man: Brand New Day, filem baharu yang membawa Peter Parker ke fasa hidup yang jauh lebih dewasa, sunyi dan getir. Selepas kejayaan besar Spider-Man: No Way Home, naskhah ini membuka lembaran lain buat adiwira ikonik itu. Bukan lagi sebagai remaja yang masih mencari arah, tetapi sebagai lelaki muda yang menanggung akibat daripada pilihan paling besar dalam hidupnya.
Empat tahun selepas peristiwa No Way Home, Peter kini hidup sepenuhnya sendirian. Dia memilih untuk memadam dirinya daripada hidup dan ingatan orang-orang yang pernah paling dekat di hati. New York yang terus dilindunginya juga tidak lagi mengenali siapa Peter Parker. Yang tinggal hanyalah Spider-Man, berjuang sepenuh waktu menjaga kota yang terus bergerak tanpa menyebut namanya.

Namun pengorbanan itu datang dengan harga yang semakin berat. Tekanan yang terus menghimpit mula mencetuskan evolusi fizikal yang mengejutkan, sesuatu yang bukan sahaja menggugat keseimbangannya, tetapi turut mengancam kewujudannya sendiri. Pada saat yang sama, satu corak jenayah baharu mula muncul, membawa Peter berdepan antara ancaman paling besar yang pernah menghampirinya.
Diarahkan oleh Destin Daniel Cretton dengan skrip tulisan Chris McKenna dan Erik Sommers, filem ini digerakkan oleh barisan pelakon yang cukup kuat termasuk Tom Holland, Zendaya, Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo. Susunan nama ini sendiri sudah cukup memberi bayangan bahawa Brand New Day mahu tampil sebagai sebuah babak yang lebih besar, lebih padat dan lebih emosional.
Secara peribadi, yang membuat filem ini terasa menarik ialah hakikat bahawa “babak baharu” Peter lahir daripada kehilangan. Tiada kemewahan untuk memulakan semula dengan hati yang utuh. Sebaliknya, dia melangkah ke fasa baharu dengan beban yang belum benar-benar sembuh. Dan mungkin kerana itulah Spider-Man: Brand New Day terasa seperti kisah yang lebih manusiawi—tentang seorang adiwira yang masih terus menyelamatkan dunia, walaupun hidupnya sendiri sedang retak perlahan-lahan.