oleh: zizi hashim
17 Dec
17Dec

Muncul pada saat khalayak tempatan semakin dahagakan naratif jenayah yang berlapis, Bad Cop bukan hanya mengejar sensasi tetapi turut menggali sisi kemanusiaan. Adaptasi Malaysia ini hadir sebagai satu taruhan berani dalam landskap siri tempatan, menjejak akar ceritanya daripada siri popular Jerman 2017 yang kemudian menempa kejayaan di India, sebelum kini diberi nafas baharu dengan acuan lokal yang lebih dekat dengan realiti penonton tempatan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn Bhd dan diterajui oleh Telltale Studios Sdn Bhd, Bad Cop berdiri sebagai siri premium Astro Originals yang menyasarkan penceritaan lebih matang, berdisiplin dan relevan dengan realiti masyarakat hari ini. Penerbit Eksekutif Raja Jastina Raja Arshad memimpin produksi ini bersama barisan penerbit berpengalaman termasuk Fadzlie Musthafa dan Khaled Novel, manakala perancangan produksi diselaraskan oleh Atiqah Laili.

Siri ini diarahkan oleh Jason Chong, pengarah yang sebelum ini dikenali dengan sentuhan visual kemas dan ritma penceritaan terkawal, sementara Kavivarmen Vigneswaran bertindak sebagai showrunner serta penulis lakon layar utama bersama Hadi M Nor, Mira Mustaffa, Zuli Ismail dan Lingges Baskaran. Cerita asal diambil daripada format RTL Television, namun disesuaikan dengan konteks tempatan tanpa mengorbankan ketegangan asalnya.

Meletakkan Aiman Hakim Ridza pada posisi yang mencabar, membawakan dua watak berlawanan sebagai Emir Khalid dan Imar Khalid. Seorang penjenayah dan seorang inspektor polis, dipisahkan masa lalu, disatukan kembali oleh tragedi. Pertemuan itu tidak memberi ruang untuk nostalgia; sebaliknya memaksa sebuah keputusan drastik apabila Imar ditembak dan menyerahkan identiti polisnya kepada Emir demi meloloskan diri, berserta satu janji yang harus ditunaikan.

Dari titik itu, Bad Cop bergerak sebagai drama jenayah berstruktur case-of-the-week sepanjang 8 episod berdurasi 45 minit setiap satu, namun tidak terperangkap dalam formula kosong. Setiap kes baharu membuka pintu kepada isu sosial yang jarang dibicarakan secara terus: penipuan identiti, tekanan maskuliniti moden, penderaan rumah tangga, hingga marginalisasi komuniti luar bandar. Konflik bukan hanya berlaku di medan siasatan, tetapi meresap ke dalam jiwa watak-wataknya.

Premis ini membuka ruang kepada konflik dalaman yang berpanjangan tentang identiti yang dipinjam, moral yang digadai, serta garis halus antara kebenaran dan kepalsuan. Emir bukan sahaja perlu menyamar sebagai seorang pegawai polis, tetapi juga berdepan dengan sistem, rakan setugas, dan kes-kes jenayah yang menguji batas kemanusiaannya. Pendekatan ini menjadikan siri ini bukan hanya berkisar konflik keluarga, tetapi turut membuka perbincangan lebih luas tentang struktur sosial dan realiti yang sering disenyapkan.

Barisan pelakon sokongan menguatkan lagi naratif ini. Siti Saleha membawakan watak Hana Fuad, disusuli Harvinth Skin sebagai Abhi Selvam, Razib Salimin sebagai Khalid, Tony Eusoff sebagai Tony Redza, Whulandary Herman sebagai Ivy, Melissa Campbell sebagai Jia Vern dan Alvin Wong sebagai Dr. Stanley. Setiap watak membawa spektrum emosi dan konflik tersendiri, manakala kemunculan pelakon jemputan popular di setiap episod menambah elemen kejutan dan kepelbagaian.

Dari sudut teknikal, Bad Cop menampilkan pasukan produksi yang kukuh. Kurt Nadjmee bertanggungjawab sebagai Pengarah Fotografi, menghasilkan visual yang tegas dan sinematik. Reka seni diketuai oleh Tam Khalid, manakala kesan visual disempurnakan oleh Bolt Studios. Reka bunyi pula digarap oleh Astro Studios, dengan penampilan watak diperkemaskan melalui sentuhan Jessie Yow selaku pereka busana dan Kyla Onn sebagai penata tatarias.

Penggambaran berlangsung sepenuhnya di sekitar Lembah Klang selama 46 hari, menggunakan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sebagai medium dialog, mencerminkan realiti urban dan kepelbagaian latar masyarakat. Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Bad Cop diterbitkan sebagai kesinambungan komitmen Astro Originals dalam menawarkan kandungan premium berimpak tinggi, selepas kejayaan siri Liar pada 2023. Beliau menyatakan keyakinan bahawa kisah kepolisan yang dekat dengan penonton tempatan, digabungkan dengan elemen lokal yang autentik, mampu menetapkan penanda aras baharu bagi siri premium Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi strategik, Bad Cop turut disokong oleh Goodday Charge, selari dengan tema “Integriti Diri” yang menjadi teras penceritaan. Sokongan ini melengkapkan rangkaian 5 judul Astro Originals premium sepanjang 2025 yang masing-masing mengangkat kekuatan dalaman manusia melalui genre berbeza.

Bad Cop mula ditayangkan pada 19 Disember 2025, dengan dua episod pertama boleh ditonton di OnDemand dan sooka bermula jam 12.00 tengah malam setiap Jumaat. Siaran televisyen pula menyusul di Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat jam 9 malam, serta Astro Ria (Saluran 104) setiap Sabtu jam 10.30 malam. Lebih daripada sekadar adaptasi, Bad Cop berdiri sebagai refleksi tentang pilihan, janji dan harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih untuk hidup dalam bayang-bayang identiti orang lain.

Comments
* The email will not be published on the website.