Getar baharu muncul daripada satu nama yang sudah sekian lama bersemayam dalam sejarah hip hop tanah air, Cat Farish. Namun kali ini beliau hadir bukan sebagai dirinya yang lama, tetapi melalui alter ego bernama Si Penghulu. Di bawah perwatakan segar ini, lahirlah single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah sebuah karya yang menggabungkan hip hop, afrobeat, dan denyut bahasa rakyat Perak menjadi satu himpunan bunyi yang lain daripada yang lain.
Lagu yang ditulis bersama Illegal ini melalui proses rakaman di Platinum Studio, Damansara Perdana, sebelum dilancarkan dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd sebagai penerbit dan pengedar rasmi. Ia hadir dengan hak cipta lagu serta lirik yang terpelihara di bawah naungan syarikat sama, seakan menandakan bahawa projek ini tidak lahir secara kebetulan, melainkan melalui perjalanan yang penuh teliti dan kesungguhan.
Jandanyer Yeah Yeah terbit sebagai sebuah penghormatan, bukan hanya hiburan kosong. Ia ditujukan kepada para wanita yang pernah memegang gelaran janda, tetapi enggan tunduk kepada stereotaip. Dengan nada bersahaja bercampur jenaka berlapik, Si Penghulu menukilkan tentang wanita yang kembali jadi rebutan, bukan kerana paras semata, melainkan kerana keyakinan yang makin mekar selepas perpisahan. “Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar Cat Farish, dalam nada separuh nakal namun sarat penghargaan.
Figura Si Penghulu tidak wujud tiba-tiba. Ia mula tercetus sewaktu Cat Farish berkolaborasi dalam lagu Ok ciptaan Malique, sebelum berkembang menjadi satu wadah ekspresi yang unik. Dengan lenggok loghat Perak yang pekat, disulam gaya rakyat moden, Si Penghulu membawa suara masyarakat dalam bahasa yang dekat di telinga namun tetap segar untuk pentas urban. Ia adalah percantuman antara hip hop dan nadi rakyat yang seringkali dianggap berasingan.Lebih istimewa, projek ini mendapat dorongan daripada isteri beliau, Shikin Maembong, yang hadir bukan sekadar sebagai pasangan hidup, tetapi juga inspirasi yang menguatkan perjalanan kreatif ini.
Walau rakaman dimuktamadkan baru-baru ini, idea asal Jandanyer Yeah Yeah telah berputik sejak lebih 2 tahun lalu. Lirik, intonasi, dan penyampaian mengambil masa untuk benar-benar 'mengena', seolah-olah Cat Farish menunggu saat yang paling tepat untuk melepaskan karya ini ke dunia. “Lagu dah ada lama, tapi lirik dan penyampaian tu yang ambil masa nak ‘kena’,” jelas beliau.
Kini, dengan pelancaran rasmi, Si Penghulu berdiri sebagai hip hoper Kampung Sri Kintadi di bawah panji Luncai Emas, membuka halaman baharu untuk genre rakyat urban yang kian berkembang di persada muzik tempatan. Tanggal pelancaran Single Jandanyer Yeah Yeah diterbit pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital rasmi serta YouTube Luncai Emas. Dengan gabungan tenaga Cat Farish dan sokongan Syikin Maembong, diharapkan karya ini bukan sekadar menjadi buah mulut, tetapi juga suara baharu yang menyatukan jenaka, budaya, dan kekuatan jiwa wanita dalam satu naskhah muzik yang penuh warna.