Getar dunia muzik tanah air kembali menemukan nadinya melalui lahirnya sebuah balada berjudul “Redam”, sebuah karya duet yang mempertemukan dua suara dari ufuk berbeza, penyanyi bersuara lunak dari Sabah, Jaclyn Chia, dan rapper dengan lontaran lirik jujur, Yunk G. Seumpama dua arus yang bertemu di muara, “Redam” bukan hadir dengan gegaran kosong, tetapi mengalir sebagai balada introspektif yang menyulam rapuh dan tegar, luka dan pengharapan. Ia dibingkai dengan elemen akustik lembut, lalu diselangi rap berani yang membuka ruang kepada pendengar untuk menelusuri kedalaman batin yang sering tersembunyi di sebalik senyuman manusia.
Jaclyn, dengan suara yang seakan menyimpan rahsia, menggambarkan lagu ini sebagai cerminan paling peribadi dalam hidupnya. “Ia seperti menulis surat untuk diri sendiri yang patah, tetapi tetap berusaha untuk bertahan. ‘Redam’ adalah bahasa hati saya yang tidak mampu saya ucapkan dengan kata-kata,” luahnya penuh lirih. Sebelum ini, nama Jaclyn pernah terpahat dalam pentas tradisi apabila membawakan lagu “Joget Mengikut Rasa”, ciptaan Shaifulhan dengan lirik oleh S. Amin Shahab, juga di bawah label Luncai Emas. Malah, kemenangan sebagai Juara RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024 menjadi bukti bakatnya tidak hadir sekadar sekejap, tetapi terus menapak dalam pelbagai warna muzik.
“Redam” sendiri hadir dengan sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui dana kreatif MyCreative Ventures, sebuah tanda bahawa karya asli anak tempatan tetap wajar diberi ruang untuk bernafas dan berdiri megah di tengah arus industri yang semakin mencabar. Lagu ini dicipta oleh Shaiffulhan Saidin, dengan lirik ditulis oleh D’Laila, diterbitkan di bawah naungan Zirbad Music Production, dan diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.
Menurut Shaiffulhan, komposer yang telah sekian lama menyulam melodi, “Suara indah Jaclyn Chia apabila digandingkan dengan rap padu Yunk G membentuk satu lanskap muzik yang menyentuh jiwa. Ia bagaikan melodi yang meredam luka, namun tetap memberi cahaya kepada pendengar.” Beliau sendiri merupakan komposer eksklusif Luncai Emas yang lahir daripada Bengkel Hakcipta anjuran Luncai Emas, menambah lagi lapisan makna pada kelahiran lagu ini.
Di sisi lain, Yunk G atau nama sebenarnya AG Sri Iskandar Bahrin membawa dimensi yang berbeda. Dikenali dengan rap yang tegas, tanpa berselindung, Yunk G memilih untuk menjadikan “Redam” sebagai medan kejujuran. “Saya percaya muzik harus bercakap terus ke jiwa. Dalam ‘Redam’, saya mahu mewakili suara mereka yang sering menyembunyikan luka kerana takut dilihat lemah. Lagu ini adalah ruang untuk kita mengaku bahawa kesakitan itu nyata, tetapi kita tidak bersendirian.”
Nama Yunk G bukan asing, baik di Sabah mahupun di Semenanjung Malaysia. Antara karyanya terdahulu termasuk kolaborasi “Aku Shot” yang menjadi OST filem Adiwira terbitan Ajai di bawah Wake The Baby Records. Rentetan pengalaman itu menjadikan rapnya kini lebih matang, dengan kejujuran yang menggugah. Keseluruhan perjalanan “Redam” disempurnakan dengan kehadiran video muzik yang kini telah dilancarkan di YouTube Luncai Emas. Visualnya digarap penuh simbolik, melukiskan figura seseorang yang berjalan di lorong-lorong silam, cuba keluar daripada bayangan trauma dan kehilangan. Ibarat sebuah puisi visual, klip ini mengundang penonton untuk menafsir sendiri perjalanan peribadi yang penuh kiasan.
Kini, “Redam” sudah boleh didengar di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube, menunggu untuk dijadikan teman pada malam sepi atau pelarian di tengah hiruk pikuk hari.“Redam” akhirnya hadir sebagai satu kesaksian: bahawa luka tidak selamanya harus diratap, kerana dalam redamnya, tetap ada sebutir cahaya yang menyala.