oleh: zizi hashim
07 Jul
07Jul

Tatkala dunia berselimut bising, di tengah gema lagu cinta yang terlalu sering didendang tanpa isi, muncul satu suara gempita. Keras namun jujur, lunak namun menyentuh. "Layar Boneka", kolaborasi terbaru antara Halim dan Kmy Kmo, bukan hanya sebuah lagu, tetapi laungan untuk jiwa-jiwa yang terlalu lama diam dipijak persepsi. Kmy Kmo, pelontar kata yang selalu menggali jauh ke dasar realiti, menyulam lirik seperti luka yang sudah bertahun menganga. 

Di sisi lain, Halim, penyanyi yang tidak gentar menyelusur lorong genre, hadir dengan suara yang jernih, matang, dan sedikit misteri. Perjumpaan mereka di set penggambaran program “Manhajj Mutawiff” terbitan Astro Oasis telah menyalakan percikan yang akhirnya menyala menjadi karya. Lagu yang penuh denyut perasaan, penuh geram yang dibungkus dalam estetika puitis.

“Saya sudah lama meminati karya Kmy, dan apabila melihat kesungguhan serta elemen muzik nusantara dalam rap beliau, saya tahu ini saatnya,” ujar Halim yang turut aktif dalam dunia keusahawanan dan seni ekspresi bebas. Baginya, hip hop bukan genre yang harus dipandang sinis, ia adalah medium untuk bernafas, untuk meluah, untuk berdiri semula saat dunia melempar batu.

"Layar Boneka" merupakan karya ciptaan Kmy Kmo dan HMstatenine, yang turut bertindak sebagai penyusun muzik. Menggabungkan pop moden, balada kontemporari dan akar hip hop Melayu, lagu ini menggambarkan naratif tentang harga diri yang terlepas dari genggaman, tentang bangkitnya manusia dari kehinaan dan fitnah yang membunuh perlahan-lahan. “Lagu ini bukan sekadar untuk didengar, ia untuk dirasakan dengan segenap duka dan keberanian,” ujar Halim dalam nada tenang yang sarat makna.

Kmy, yang sejak awal menyedari potensi unik dalam suara Halim, tidak hanya melihatnya sebagai kolaborator, tetapi sebagai rakan seperjuangan. “Dia ada nada yang mampu mengingatkan kita pada era rock kapak. Tapi yang lebih penting, dia berani. Berani belajar, berani melawan ketakutan diri sendiri,” katanya penuh yakin.

“Layar Boneka” mewakili wajah baharu pasaran muzik Malaysia, di mana kata-kata punya kuasa, dan suara bukan sekadar bunyi, tetapi peluru yang menusuk kesedaran. Lagu ini untuk mereka yang sering menjadi boneka dalam naratif orang lain. Untuk mereka yang diam, yang pernah jatuh, yang mahu bangkit dengan jiwa penuh bara.

Dengan pengedaran digital oleh Luncai Emas, lagu dan video muzik "Layar Boneka" kini tersedia di semua platform penstriman digital dan saluran YouTube rasmi mereka. Semoga karya ini menjadi gema yang berpanjangan, dan bukan hanya angin lalu di corong radio. Kerana setiap manusia pernah menjadi layar dan setiap layar, akhirnya mahu merobek tali bonekanya.

Comments
* The email will not be published on the website.