oleh: zizi hashim
16 Oct
16Oct

Tidak semua luka datang untuk menghancurkan, ada yang hadir untuk menyedarkan. Begitulah rasa pertama ketika mendengar Selingkuh, single baharu daripada Jimi yang terasa seperti letusan jujur dari dada yang lama menyimpan bara. Lagu ini bukan dicipta untuk memujuk atau menenangkan, tetapi untuk menelanjangkan perasaan yang sering disembunyikan di sebalik senyum.

Selepas lebih dua dekad terlibat dalam dunia muzik, Jimi tampak berani menyingkap sisi dirinya yang lebih raw, lebih agresif, lebih manusia. Selingkuh, ciptaan Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, ialah kisah tentang pengkhianatan dan keberanian untuk melepaskan. Ia bercerita tentang seseorang yang akhirnya memilih maruah daripada cinta yang menipu, keputusan yang tampak mudah di bibir, namun dalam realiti, penuh luka yang menuntut kekuatan jiwa.

“Lagu ini bukan hanya tentang kecurangan,” kata Jimi, tenang namun dalam nadanya ada gema kejujuran. “Ia tentang keberanian untuk jujur dengan diri sendiri tentang menyedari bila tiba masanya berhenti bertahan.” Rakaman vokalnya selesai dalam masa 4 hingga 5 jam, tetapi Jimi mengakui beberapa bahagian menuntut tenaga emosional yang tinggi. “Cabaran terbesar lagu ini ialah untuk mengekalkan semangat rock tanpa kehilangan identiti saya. Saya perlu lebih agresif, tapi tetap menjaga emosi dalam setiap notanya,” jelasnya.

Keberanian itu nyata terasa. Selingkuh bukan sahaja mengangkat jiwa rock yang lama dirindukan, tetapi menambah lapisan tekstur elektronik yang menjadikan lagu ini berdenyut dalam ritma moden. Ada kekasaran yang disengajakan, ada kemarahan yang terjaga, menjadikan bunyi yang terhasil bukan hanya kuat, tetapi hidup. Liriknya pula tajam, datang terus dari ruang hati yang masih berdarah. Frasa seperti “duit habis kau sapu” dan “hanya dengan selamba” menampar kesedaran kita tentang kejujuran dalam marah. Ia bukan kiasan, bukan puisi indah, ia realiti dan itulah yang menjadikan lagu ini begitu dekat dengan kehidupan sebenar.

Menariknya, Selingkuh lahir dalam suasana perayaan. Ditulis sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina, di mana para penulisnya hanya berkomunikasi melalui WhatsApp. Dari jarak dan kesibukan, lahirlah sebuah lagu yang kini menyatu sebagai karya jujur dan organik. Jimi sendiri menyifatkan lagu ini sebagai bentuk pembebasan diri. “Saya mahu pendengar rasakan keberanian dalam lagu ni. Bukan hanya marah, tapi juga kelegaan bila kita akhirnya lepaskan sesuatu yang menyakitkan.”

Dari perspektif pendengar, Selingkuh terasa seperti ruang katarsis, tempat untuk melepaskan amarah yang lama terbuku. Ia bukan lagu untuk didengar semata, tetapi untuk dirasai, terutama ketika jiwa sendiri sedang mencari kekuatan untuk bangkit. Dari segi produksi, Selingkuh memperlihatkan keserasian antara tenaga vokal Jimi dan susunan muzik yang padat. Elemen elektronik disulam dengan riff gitar yang berat, menghasilkan gabungan rock futuristik yang memukau. Ia mengingatkan kita bahawa muzik rock masih punya ruang untuk berevolusi tanpa kehilangan roh asalnya.

Dalam dunia muzik yang sering bermain aman, keberanian Jimi terasa seperti cahaya kecil yang menerobos kabut. Ia mungkin tidak menenangkan, tetapi memberi tenaga baru, sebuah peringatan bahawa kejujuran masih punya tempat dalam seni.Kelainan yang saya nak tonjolkan ialah keberanian keluar dari zon selesa,” ujar Jimi lagi. “Saya mahu orang tahu sisi saya yang lebih garang, penuh semangat dan sarat tenaga pentas.”

Dan ya, keberanian itu jelas. Selingkuh menandakan babak baharu perjalanan seninya, pertembungan antara luka dan pembebasan, marah dan redha, cinta dan kehilangan. Apabila lagu ini berakhir, yang tertinggal bukan sekadar gema bunyi gitar atau ketukan dram, tetapi gema kejujuran yang sukar ditemui dalam dunia hari ini.

Untuk sesetengah orang, Selingkuh mungkin sekadar lagu perpisahan. Namun bagi mereka yang pernah kehilangan, ia adalah cermin yang memantulkan semula wajah diri yang pernah runtuh, lalu perlahan-lahan bangkit. Mungkin itulah keindahan sebenar karya ini: keberaniannya untuk tidak berpura-pura.

Comments
* The email will not be published on the website.