oleh: zizi hashim
08 Sep
08Sep

Getar sebuah kisah kadangkala lahir dari tempat yang paling sunyi. Hello Bam Bam, drama TikTok CSR terbaharu, muncul sebagai karya yang bukan hanya memaparkan hiburan, tetapi menjunjung misi lebih besar: menyuarakan luka batin, memberi ruang pada trauma, dan merawat jiwa-jiwa yang sering terpinggir.

Diterbitkan oleh Amy Mazurah bersama MFI Group, naskhah ini dirangka sebagai inisiatif seni untuk menyentuh akar kesedaran masyarakat. Ia menggali isu kesihatan mental, depresi, krisis identiti, penderaan kanak-kanak, hingga kezaliman sosial yang kerap disapu di bawah karpet. Dengan slogan lantang “Hidup Itu Struggle… Tapi Kami Tak Give Up!”, Hello Bam Bam berdiri sebagai peringatan bahawa kasih sayang boleh menjadi benteng paling ampuh melawan keputusasaan.

Lebih unik, penonton diberi kuasa memilih pengakhiran cerita—apakah ia berakhir dengan senyum atau tangisan. Interactive ending ini menjadikan setiap tontonan terasa lebih peribadi, seakan penonton turut menulis takdir watak-wataknya.

Kisahnya mengangkat Awin (Syafie Naswip), seorang khunsa sensitif yang pernah dipukul trauma masa kecil hingga melarikan diri dari asrama anak yatim. Hidupnya berubah apabila dipertemukan dengan Deddy (Diva AA), pendandan rambut flamboyan yang mengajarinya bahawa luka tidak selamanya menjadi penamat. Pertemuan Awin dengan Jojo (Hello Angah), tomboy berlidah lantang tetapi menyimpan duka, melengkapkan segitiga persahabatan ini.

Takdir kemudian menghadirkan Bam Bam (Bang Aji), kanak-kanak terbiar yang hampir terjerumus ke sindiket jalanan oleh ayahnya sendiri (Sofi Jikan). Dari situ, Awin dan Jojo nekad menjadi “ibu” dan “ayah” kepada anak kecil itu, meskipun kehidupan mereka sendiri penuh kesempitan. “Kasih sayang tak perlu sempurna, asalkan jujur,” begitu mesej yang mereka pegang.

Namun hidup tidak pernah mudah. Black (Kodi Rasheed), bekas majikan Jojo yang menyimpan dendam, menjadi duri dalam daging. Cik Wawa (Maria Farida), tuan rumah berhati batu, menambah beban dengan kerakusan dan ugutan. Walau begitu, Awin dan Jojo memilih untuk melawan. Awin membuka perniagaan makanan melalui TikTok Live, manakala Jojo bangkit dengan pekerjaan baru di bengkel Kak Sha (Sharina Richie).

Penerbit Amy Mazurah menyifatkan Hello Bam Bam sebagai naskhah yang membawa denyut realiti. “Drama ini adalah suara bagi mereka yang sunyi. Kita mahu masyarakat lebih peka, lebih berempati, dan lebih berani membuka bicara tentang kesihatan mental,” katanya.

Projek ini turut mendapat sokongan Tourism Johor, serta penaja seperti Win Win Food Industries, Presgo Gateways, Tiger Base Camp, Berjaya Waterfront Hotel, Santai Travel dan Restoran KOPIHUT. Lebih istimewa, seniman legenda 90-an, Ady Wow, menyumbangkan lagu baharu berjudul “Luahan” sebagai OST rasmi, menambah lapisan emosi pada karya ini.

Hello Bam Bam adalah drama tentang kasih sayang yang enggan mati, meskipun dikepung trauma dan kemiskinan. Ia mengingatkan bahawa setiap insan, meski cacat, hina atau terpinggir, punya hak untuk dicintai dan diselamatkan. Seperti Bam Bam, selalu ada harapan yang perlu dijaga.

Comments
* The email will not be published on the website.