oleh: zizi hashim
18 Jun
18Jun

Empat tahun telah berlalu sejak peristiwa yang mengubah kehidupan Peter. Demi melindungi insan yang disayanginya, beliau memilih untuk memadamkan dirinya daripada ingatan dunia. Keputusan itu mungkin menyelamatkan ramai orang, namun pada masa sama meragut segala hubungan yang pernah memberi makna kepada hidupnya. Kini Peter hidup sepenuhnya bersendirian. Tiada lagi sahabat yang mengenalinya, tiada lagi kehidupan biasa yang pernah dimiliki. Yang tinggal hanyalah tanggungjawab sebagai Spider-Man dan komitmen tanpa henti untuk melindungi New York daripada ancaman yang tidak pernah berakhir.

Menerusi trailer baharu yang baru dilancarkan oleh Columbia Pictures, Spider-Man: Brand New Day membawa penonton menyelami fasa paling berbeza dalam perjalanan hidup Peter Parker. Filem yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 Julai 2026 ini membuka lembaran baharu selepas kejayaan luar biasa Spider-Man: No Way Home, yang mencatat kejayaan besar di seluruh dunia dan meninggalkan kesan mendalam kepada peminat Marvel.

Trailer baharu memberi gambaran bahawa tekanan hidup sebagai Spider-Man sepenuh masa mula mencetuskan sesuatu yang tidak dijangka. Beban yang dipikul Peter bukan sahaja menguji kekuatan mental dan emosinya, malah membawa kepada satu evolusi fizikal yang berpotensi mengancam kewujudannya sendiri.

Jika sebelum ini Peter sering berdepan musuh yang jelas identitinya, Brand New Day memperkenalkan konflik yang lebih psikologi dan misteri, menjadikan pertarungan kali ini bukan sekadar tentang kekuatan fizikal tetapi juga ketahanan emosi.Kemunculan semula Tom Holland sebagai Peter Parker menjadi antara tarikan utama filem ini. Selepas berjaya membina salah satu versi Spider-Man paling popular dalam sejarah moden Marvel, Holland kini kembali membawa watak tersebut ke tahap yang lebih matang. Watak Peter tidak lagi digambarkan sebagai remaja yang sedang belajar menjadi wira, sebaliknya seorang lelaki dewasa yang terpaksa memikul tanggungjawab dalam keadaan paling sunyi.

Turut membintangi filem ini ialah Zendaya, Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo, sekali gus menjadikan Spider-Man: Brand New Day antara filem blockbuster paling dinantikan tahun hadapan. Naskhah ini diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, dengan skrip hasil tulisan Chris McKenna, Erik Sommers dan Justin Kuritzkes, berdasarkan karakter ikonik ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko. Penerbitan pula diterajui nama-nama besar Marvel termasuk Kevin Feige, Amy Pascal, Avi Arad dan Rachel O'Connor.

Apa yang menjadikan Spider-Man: Brand New Day begitu menarik bukan hanya kerana aksi dan skala pengembaraannya. Di sebalik kostum merah biru yang menjadi simbol harapan, tersimpan kisah seorang manusia yang terpaksa menerima hakikat bahawa dunia mungkin telah melupakannya. Namun seperti yang diingatkan trailer tersebut, dunia mungkin telah melupakan Peter Parker, tetapi Peter Parker tidak pernah melupakan mereka. Dan mungkin itulah sebab sebenar Spider-Man terus menjadi wira yang dicintai ramai.

Comments
* The email will not be published on the website.