Lahirnya sebuah idea yang tidak sekadar menjual konsert, tetapi menawarkan pengalaman. Ruang Nyaman Fest hadir sebagai festival muzik indoor premium dan eksklusif pertama di Malaysia, membawa penonton menikmati muzik dalam suasana yang lebih intim, selesa dan penuh makna. Dijadual berlangsung pada 14 November 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, festival yang diasaskan oleh Haqimi Zamri dan dianjurkan oleh Thrive Events ini tampil dengan konsep yang jarang disaksikan di negara ini. Enam artis dipilih berdasarkan kekuatan karya dan identiti masing-masing, tanpa sebarang persembahan pembukaan atau fillers. Bermakna, setiap detik sepanjang festival diisi sepenuhnya dengan persembahan utama yang telah lama dinantikan peminat.
Menghimpunkan lima nama besar dari Indonesia iaitu Cakra Khan, Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J dan Pusakata, festival ini turut memberi ruang kepada penyanyi Malaysia, Najmi Niery, untuk berkongsi pentas bersama barisan pemuzik yang menjadi antara nama paling berpengaruh dalam muzik Nusantara hari ini. Cakra Khan akan membawa vokal seraknya menerusi lagu-lagu seperti Harus Terpisah, Kekasih Bayangan dan Mencari Cinta Sejati, manakala Sammy Simorangkir bukan sahaja mempersembahkan karya solonya seperti Kesedihanku, Tak Mampu Pergi dan Dia, malah menghidupkan semula nostalgia menerusi lagu-lagu ikonik Kerispatih seperti Tapi Bukan Aku, Mengenangmu dan Bila Rasaku Ini Rasamu.

Generasi baharu muzik Indonesia pula diwakili Idgitaf dengan karya Sedia Aku Sebelum Hujan, Satu-Satu, Takut dan Mengudara, sementara Kaleb J membawa lagu-lagu popular seperti It's Only Me, Kebutuhan Hati dan Now I Know. Melengkapkan barisan tersebut ialah Pusakata, projek muzik yang diterajui Mohammad Istiqamah Djamad (Is), bekas vokalis Payung Teduh yang terkenal dengan penulisan lirik puitis. Penonton turut berpeluang menikmati karya seperti Ruang Tunggu, Kehabisan Kata, Taifun, selain lagu-lagu malar segar seperti Akad, Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan dan Di Atas Meja.
Bagi melengkapkan pengalaman Nusantara itu, Najmi Niery dipilih sebagai wakil Malaysia. Penyanyi yang dikenali menerusi single Dekati dengan lebih lima juta penstriman di Spotify itu melihat peluang berkongsi pentas bersama lima nama besar Indonesia sebagai satu langkah penting untuk memperkenalkan identiti muziknya kepada khalayak yang lebih luas.
Menurut Haqimi Zamri, Ruang Nyaman Fest diwujudkan sebagai sebuah ruang untuk orang ramai berhenti seketika daripada kesibukan hidup dan menikmati muzik yang dekat dengan jiwa. Konsep tanpa persembahan pembukaan dipilih bagi memastikan penonton menerima pengalaman yang padat, premium dan berkualiti dari awal hingga penghujung acara. Ketua Pegawai Eksekutif Thrive Events, Hamka Mohd Taufik, pula menjelaskan festival ini menawarkan nilai yang lebih baik apabila peminat dapat menikmati enam persembahan utama dengan hanya satu tiket pada harga yang lebih mesra berbanding menghadiri beberapa konsert solo secara berasingan.

Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah keputusan Cakra Khan untuk kembali membuat persembahan di Malaysia selepas sebelum ini mengumumkan hasrat berehat daripada menerima undangan di negara ini. Baginya, konsep Ruang Nyaman Fest, gabungan barisan artis serta peluang berkongsi pentas bersama rakan-rakan pemuzik yang dihormatinya terlalu istimewa untuk ditolak. Malah, beliau menyifatkan pengalaman berhimpun bersama Sammy Simorangkir, Idgitaf, Kaleb J, Pusakata dan Najmi Niery dalam satu malam sebagai satu kesempatan yang sukar diulang.
Selain menawarkan suasana yang lebih eksklusif dan bebas daripada gangguan cuaca, festival ini menyediakan pelbagai kategori tiket bermula RM249 sehingga RM1,699 untuk kategori pasangan. Tiket boleh didapati menerusi MyTicketEmpire, dengan Ruang Nyaman Fest menjanjikan sebuah malam yang dipenuhi muzik, nostalgia dan emosi yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Bukan semua festival dicipta untuk meraikan kemeriahan semata-mata. Ada yang diwujudkan agar setiap lagu kembali menemukan pendengarnya dengan kenangan yang pernah mereka simpan. Barangkali, itulah makna sebenar sebuah Ruang Nyaman.