Barangkali setiap di antara kita menyimpan satu lagu Spider yang terlekat rapi dalam lipatan jiwa. Ada yang masih mengulang kelunakan Relaku Pujuk saat hujan mencurah tanpa sebab. Ada yang memutar Kasih Latifah untuk mengenang seseorang yang pernah memberi harapan. Dan ada pula yang menjadikan magis melankolia Nazraku sebagai doa yang tidak selesai. Lagu-lagu itu, seolah-olah tak pernah benar-benar hilang, hanya menunggu masa untuk diseru semula.
Kugiran rock berperisa ska dari era '90-an yang terus hidup dalam ingatan bakal menghubungkan kita dengan nostalgia paling jujur tentang cinta, kehilangan, dan kebangkitan. Sejujurnya, saya sendiri tumbuh dalam lorong-lorong suara yang mereka lukiskan. Memilih Mungkinkah Terjadi sebagai lagu favorite kerana pernah ditujukan khas oleh suami, cukup sentimental di hati. Setiap bait lirik dan setiap nada adalah serpihan memori yang masih menempel erat pada jiwa.
Maka, apabila berita tentang 'Spider Unplugged' diumumkan, hati saya melonjak kerana akhirnya kita diberi peluang menyelami semula karya-karya ini dalam wajahnya yang paling raw dan paling tulus: tanpa jerjak elektrik. Hanya dari jiwa bertemu jiwa. Bayangkan, lagu-lagu itu tanpa hingar, tanpa distorsi, cuma suara, nada, dan rasa? Itulah yang dijanjikan 'Spider Unplugged', sebuah malam yang menjanjikan keintiman dan penghayatan sebenar dalam setiap dengung akustik-nya.
25 Oktober 2025, di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Spider akan melangkah ke panggung dengan versi yang belum pernah diperlihatkan sebelumnya, tanpa kabel bersimpul, tanpa distorsi berlebihan. Cuma bunyi-bunyian akustik yang menyingkap kedalaman sebenar karya mereka. Sebuah konsert unplugged yang bukan hanya intim, tapi juga jujur dan dewasa, seperti peminat setia yang tidak pernah jemu menyambut karya-karya Spider bertahun lamanya.
Dari saat kemunculan pertama mereka pada 1996, Spider tidak pernah menulis muzik untuk mengejar musim. Mereka bukan hasil kilang hiburan cepat laku. Sebaliknya, mereka datang sebagai seniman yang tidak gentar dihanyutkan arus, malah mencipta gelombang sendiri. Meski pada awalnya terumbang-ambing di lautan industri, namun dengan bimbingan sifu agung, Dato’ M Nasir, Spider membuktikan bahawa keberanian bereksperimen dan kejujuran berkarya bisa mencipta sejarah. Bertahun-tahun berlalu, mereka mengumpul pujian, anugerah, dan lebih utama adalah kesetiaan pendengar. Aladin dan Cinta Dewa Dewi jadi bukti betapa Spider menulis bukan untuk populariti semata, tetapi untuk menyentuh ruang paling halus dalam benak manusia.
Kini setelah hampir 3 dekad, Spider masih berdiri. Meski zaman berubah, trend datang dan pergi, mereka tetap konsisten. Lagu terbaharu mereka, Keluar Sarang (2024), adalah bukti mereka belum habis menyengat. Dan kini, mereka ingin berkongsi sesuatu yang lebih peribadi, lebih eksklusif. Memilih untuk merungkai semula semua itu melalui konsert 'Spider Unplugged' yang dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment. Konsert ini membuka semula sarang emosi yang telah lama tertutup.
“Kolaborasi ini bukan datang dari euforia semata-mata, sebaliknya dari rasa cinta yang mendalam terhadap seni Spider. Nama Spider sendiri sudah cukup untuk membuat kami rasa takzim,” ujar Fandy Alias mewakili pihak penganjur. “Jadi ketika mereka menerima lamaran kami untuk mengadakan konsert dalam format unplugged, kami tahu ini bukan momen sebarangan. Ia akan menjadi malam yang mewah dalam kesederhanaannya, dan eksklusif dalam kemesraannya.”
Kugiran ini, yang kini terdiri daripada Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar), sepakat bahawa jika mereka ingin melangkah ke panggung semula, biarlah ia dibuat dengan prinsip dan semangat yang sama seperti mereka menulis lagu, penuh nilai dan teliti. “Kami tidak mahu sekadar berdiri, main dua tiga lagu, dan pulang. Kami akan pastikan pentas itu pecah dengan jiwa, bukan hanya bunyi. Biar ianya menjadi pengalaman yang akan kekal selamanya dalam ingatan penonton.” jelas Tam penuh pengharapan ketika ditemui pada sidang media petang 19 Jun 2025 di Hotel Ideas baru-baru ini.
'Spider Unplugged' akan menekankan aspek teknikal, kualiti bunyi dan kesediaan fizikal serta mental anggota band sebelum segala yang lain. Hanya dengan persiapan yang sempurna, mereka percaya pentas itu akan ‘meledak’ bukan dengan kekuatan decibel, tetapi dengan gema emosi. Dan itulah yang akan menjadi nadi kepada 'Spider Unplugged', sebuah malam di mana kita akan duduk, diam dan biarkan setiap lagu menyusup perlahan-lahan ke dasar hati. Sebuah pengalaman yang mendewasakan dan mempertemukan kita kembali dengan versi paling murni Spider.
Untuk para peminat yang sudah lama menanti detik ini, jangan berlengah lagi. Tiket telah mula dijual pada 25 April 2025, jam 3 petang, dan seperti konsert mereka yang lalu, usah terlalu santai. Tiket Spider tak pernah ‘diam’ lama di pasaran. Empat kategori tersedia untuk dipilih, setiap satu membawa nama lagu yang sudah jadi legenda:
Boleh didapatkan menerusi www.ilassotickets.com/spiderunplugged.
Sebahagian momen dalam hidup tidak perlu dirakam dengan kamera. Cukup disimpan dalam jiwa dan ini adalah salah satu daripadanya. Barangkali dalam lambakan konsert yang tak henti-henti menghujani kita saban minggu, ada satu malam yang akan kekal abadi. Malam ketika Spider memetik senar hati kita dalam sunyi yang berbunyi. Jangan lepaskan peluang ini! Sebuah malam, sebuah panggung, satu kumpulan, dan berjuta kenangan yang tak pernah mati. Spider menanti, dan barangkali ini kali terakhir kita dapat menyaksikan mereka seperti ini. Tanpa jerjak, tanpa pelitup. Hanya suara dan hati, bersahutan.