oleh: zizi hashim
01 Oct
01Oct

Janji yang pernah terucap di Bogor pada penghujung Mei lalu kini menemukan takdirnya di Kuala Lumpur. Lima nama yang merajut melodi Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf akan berdiri dalam satu panggung besar di Idea Live Arena, 5 Disember 2025, tepat jam 7.30 malam.

Tour yang sebelumnya menyalakan euforia di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor itu akhirnya tiba ke Malaysia, menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi ke-5 dalam perjalanan kolaborasi yang dianggap paling epik tahun ini. Penganjur bersama Expoindo, Thrive, dan Tiga Dua Satu menyebutnya sebagai impian yang kini menjelma nyata: sebuah persembahan lintas rasa yang sukar ditandingi.

Tulus sendiri pernah berbisik kepada peminat, “Kita bakal pergi ke Malaysia.” Kini janji itu ditunaikan, bersama format unik yang jarang sekali wujud di pentas mana pun. Penonton bakal menyaksikan transformasi dari solo, duet, trio, hingga kuintet, bukan sekadar membawakan karya masing-masing, tetapi juga bertukar lagu dan mencipta susunan baharu yang hanya akan lahir di pentas SAMA SAMA.

Sal Priadi menegaskan, “Kami tidak sabar berkongsi format kolaborasi ini, sesuatu yang hanya boleh dinikmati di tour ini.” Sementara itu, pihak penganjur mengingatkan peminat agar tidak ketinggalan, kerana peluang untuk menyaksikan pertemuan 5 bintang besar ini ibarat menangkap cahaya jatuh di genggaman: sekali hadir, sukar terulang.

Tiket telah mula dipasarkan sejak 29 September 2025, bermula pada harga RM228 dengan 11 kategori berbeza, dari Bronze, Silver, Gold, hingga Group Suite. Kesemuanya boleh diperoleh melalui BBO Events dan samasamatur.com.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, SAMA SAMA Tour Kuala Lumpur ialah sebuah pertemuan jiwa di mana suara, melodi, dan emosi berpadu dalam denyut sama, menyingkap betapa muzik mampu meruntuhkan sempadan dan membangun kebersamaan.

Comments
* The email will not be published on the website.