oleh: zizi hashim
29 May
29May

Kuasa sering dilihat sebagai lambang kejayaan. Ia membuka pintu yang tertutup, mengangkat seseorang ke kedudukan yang dihormati dan menjadikan namanya disanjung ramai. Namun dalam perjalanan menuju puncak, tidak semua manusia mampu mempertahankan nurani yang pernah membimbing langkah mereka. Daripada premis yang penuh kegelisahan itulah lahirnya Jiwa Seorang Pentaksub, drama terbaharu slot Samarinda TV3 yang mengajak penonton menyelami dunia seorang lelaki yang sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi memenuhi nafsu terhadap kuasa, pengaruh dan keinginan peribadi.

Naskhah 25 episod arahan Nur Ain Sharif dan terbitan Suhan Movies ini mempertaruhkan Datuk Rosyam Nor sebagai Firzan, seorang tokoh politik berpengaruh yang pada zahirnya tampak sempurna dan dihormati masyarakat. Namun di sebalik imej yang dibina selama bertahun-tahun, tersembunyi sisi gelap yang perlahan-lahan mula meruntuhkan segala yang dimilikinya.

Turut memperkuatkan jalan cerita ialah barisan pelakon seperti Sophia Albarakbah, Rita Rudaini, Shahz Jaszle, Ady Mohammad dan Ariff Idrus, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam konflik yang semakin rumit dari episod ke episod. Drama ini mula menemui penonton pada 1 Jun 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Samarinda TV3. Perjalanan Firzan bermula jauh sebelum dia menjadi figura yang disanjung rakyat.

Bermula sebagai pemandu peribadi kepada seorang ahli politik berpengaruh, dia cepat memahami bahawa kuasa mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada wang atau kedudukan semata-mata. Sedikit demi sedikit, Firzan memanfaatkan peluang yang hadir sehingga berjaya membina empayar politiknya sendiri.Namun semakin tinggi dia mendaki, semakin jauh dia meninggalkan nilai kemanusiaan yang pernah menjadi pegangan. Dalam dunia Firzan, segala-galanya boleh dimiliki dan dimanipulasi, termasuk orang yang paling dekat dengannya.

Konflik mula memuncak apabila kehadiran Diana lakonan Sophia Albarakbah, seorang pempengaruh media sosial terkenal dan kekasih kepada anaknya sendiri, Aiman lakonan Ady Mohammad, mengubah keseimbangan hidup keluarga tersebut. Terpesona dengan Diana, Firzan mula mengatur pelbagai strategi demi memiliki wanita itu untuk dirinya sendiri, tanpa mempedulikan kesan terhadap anak dan keluarganya. Dalam masa sama, seorang lagi anaknya, Aidil lakonan Shahz Jaszle, masih bergelut dengan luka lama dan kebencian yang dipendam terhadap bapanya. 

Hubungan mereka yang retak menjadi salah satu lapisan emosi paling penting dalam drama ini, memperlihatkan bagaimana tindakan seorang ayah mampu meninggalkan parut yang sukar dipadamkan. Di tengah kekacauan tersebut berdiri Suri lakonan Rita Rudaini, wanita yang sentiasa setia di sisi Firzan dan menjadi saksi kepada terlalu banyak rahsia yang selama ini disembunyikan. Namun apabila kebenaran mula muncul satu demi satu, persoalan besar mula timbul: siapakah sebenarnya yang sedang mengawal permainan ini, dan siapakah yang sedang dimanipulasi?

Menurut Datuk Rosyam Nor, Firzan merupakan antara watak paling kompleks yang pernah dibawanya kerana lelaki itu tidak pernah melihat dirinya sebagai seorang penjahat. Sebaliknya, Firzan percaya setiap tindakannya adalah betul dan sentiasa mempunyai alasan untuk mempertahankan keputusan yang dibuat. “Firzan fikir dia sentiasa betul. Dia tidak nampak dirinya sebagai penjahat dan sangat bijak bermain dengan persepsi supaya orang mempercayainya. Saya rasa penonton akan geram dengan sikapnya yang tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki,” ujar Rosyam.

Kekuatan Jiwa Seorang Pentaksub terletak pada keberaniannya memaparkan realiti bahawa kerosakan paling besar tidak semestinya datang daripada musuh yang jelas kelihatan. Kadangkala, ia hadir daripada individu yang dihormati, dipercayai dan dianggap sebagai contoh terbaik oleh masyarakat.

Lebih daripada sekadar drama keluarga atau politik, naskhah ini menjadi cerminan tentang bagaimana obsesi terhadap kuasa mampu mengaburkan batas antara kebenaran dan ketamakan. Ia mengajak penonton melihat bahawa topeng kesempurnaan yang dipakai seseorang mungkin menyembunyikan sisi yang jauh lebih menakutkan. Kerana apabila manusia terlalu taksub dengan kuasa, mereka bukan sahaja kehilangan orang di sekelilingnya, mereka akhirnya kehilangan diri sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.