oleh: zizi hashim
14 Oct
14Oct

Langit senja sering menjadi saksi bagaimana cinta yang tulus pun mampu membawa luka. Begitulah getar yang lahir dari naskhah Jika Itu Salahku, sebuah kisah yang tidak hanya berbicara tentang cinta dua manusia, tetapi juga tentang pencarian 'Nur' dalam gelap kehidupan.

Asyiqeen, gadis yang tumbuh tanpa teduhan kasih dan bimbingan agama, membawa luka yang tidak kelihatan. Hidupnya diselaputi tanggungjawab dan air mata, menjaga adik kesayangan yang menghidap sindrom Down di bawah jagaan seorang nenek yang keras hati.

Namun di sebalik derita itu, Tuhan mempertemukannya dengan Ivan, seorang lelaki kacukan yang hidup bebas, terperangkap dalam kekosongan rohani. Dua jiwa yang berbeza, namun seakan bernafas dari keresahan yang sama iaitu mencari arah pulang kepada diri dan Pencipta. 

Gandingan Sophia Albarakbah dan Alvin Chong menjelmakan keindahan yang rapuh antara cinta dan iman. Sophia, dengan mata yang sarat makna, menghidupkan Asyiqeen sebagai wanita yang lembut namun tabah, manakala Alvin membawa sisi Ivan yang sedang belajar mencintai dengan pengertian yang lebih dalam daripada sekadar rasa. Interaksi mereka bukan hanya menyalakan kimia, tetapi juga menyentuh jiwa seolah-olah cinta itu sendiri sedang bertaubat.

Arahan Riza Baharuddin memberi warna sinematografi yang lembut dan penuh emosi. Setiap bingkai seakan mengundang renungan; bagaimana cinta boleh menjadi doa, dan doa itu sendiri kadang berwajah duka. Latar muziknya menambah keindahan yang syahdu, mempertemukan rasa cinta duniawi dengan cahaya ketuhanan yang semakin mendekat.

Bagi Alvin Chong, watak Ivan bukan hanya cabaran lakonan, tetapi juga perjalanan spiritual. “Watak ini membuka ruang untuk saya memahami erti pencarian diri. Cinta dalam cerita ini tidak terhenti pada perasaan, tetapi melangkaui batas agama dan perbezaan, sebuah pencarian terhadap makna keberadaan,” ujarnya tenang.

Jika Itu Salahku juga menonjolkan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Ziela Jalil, Fadilah Mansor, Shamsul Ghau Ghau dan Steve Yap, masing-masing memperkukuh naratif dengan lapisan emosi yang mendalam. Adaptasi daripada karya Liza Nur ini membawa aura klasik yang sarat nilai moral dan kemanusiaan.

Lebih daripada sekadar kisah cinta, drama ini mengetuk sisi batin penonton untuk bertanya, sampai di mana kita mampu mencintai tanpa melanggar batas takdir? Adakah cinta itu kesalahan, atau sebenarnya cara Tuhan mendidik hati manusia agar mengenal erti kehilangan dan pasrah?

Jika Itu Salahku akan menemui penonton mulai 17 Oktober 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Bagi yang ingin menyelami kisahnya lebih awal, episod baharu boleh distrim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my. Kerana setiap jiwa pernah berdosa, dan setiap cinta, meski salah, mungkin cara Tuhan memanggil kita pulang.

Comments
* The email will not be published on the website.