Kemasyhuran hari ini boleh hadir dalam sekelip mata. Satu video tular mampu mengubah orang biasa menjadi sensasi internet, manakala satu siaran langsung boleh mengumpulkan jutaan tontonan hanya dalam beberapa jam. Namun bagaimana jika populariti itu lahir daripada jenayah yang dilakukan secara terbuka di hadapan dunia?
Persoalan tersebut menjadi asas kepada How To Rob A Bank, filem aksi rompakan terbaharu daripada Amazon MGM Studios yang tampil dengan pendekatan moden, pantas dan penuh adrenalin. Menggabungkan elemen aksi, teknologi dan budaya media sosial yang semakin mendominasi kehidupan masa kini, naskhah ini membawa penonton menyelami dunia sekumpulan perompak yang memilih untuk menjadikan jenayah sebagai sebuah tontonan umum.
Menerusi trailer dan poster rasmi yang baru dilancarkan, How To Rob A Bank memperlihatkan sebuah kisah yang jauh berbeza daripada filem rompakan konvensional. Dalam dunia mereka, kejayaan bukan sekadar diukur melalui jumlah wang yang berjaya dicuri, tetapi juga jumlah tontonan, pengikut dan perhatian yang diperoleh daripada khalayak internet.

How To Rob A Bank mengikuti kisah sekumpulan perompak bank yang menjadi sensasi media sosial selepas menyiarkan setiap rompakan mereka secara langsung. Namun ketika populariti mereka memuncak, seorang ejen FBI dan jurutera perisian mula menjejaki kumpulan tersebut. Sarat dengan aksi dan ketegangan, filem ini mengupas obsesi manusia terhadap kemasyhuran dalam era digital.
Mengemudi projek ini ialah David Leitch, pengarah yang cukup dikenali menerusi sentuhan aksinya yang dinamik dan penuh tenaga. Dengan reputasi membawakan filem-filem aksi berskala besar, Leitch sekali lagi tampil menjanjikan pengalaman sinematik yang sarat dengan aksi mendebarkan, visual bergaya dan ketegangan yang tidak pernah reda.
Barisan pelakon yang menghiasi filem ini turut menguatkan lagi tarikan naskhah tersebut. Ia dibintangi Nicholas Hoult, Zoë Kravitz, Anna Sawai, Rhenzy Feliz, Christian Slater sebagai Walton, selain kemunculan Pete Davidson dan John C. Reilly yang menambah warna kepada penceritaan. Gabungan pelakon daripada latar belakang berbeza ini dijangka memberikan dinamik yang menarik sepanjang filem berlangsung.
Diterbitkan oleh pasukan kreatif di sebalik beberapa karya Hollywood terkenal, How To Rob A Bank bukan sekadar sebuah filem aksi rompakan. Ia merupakan cerminan kepada dunia moden yang semakin obses terhadap perhatian, pengaruh dan kemasyhuran digital. Dalam dunia yang sentiasa mengejar tontonan, persoalannya bukan lagi bagaimana untuk merompak sebuah bank.
Sebaliknya, sejauh mana seseorang sanggup mempertaruhkan hidup demi memastikan seluruh dunia sedang menonton. How To Rob A Bank bakal menemui penonton Malaysia di pawagam bermula 3 September 2026.