Suara yang datang dari jauh selalunya membawa kisah. Ada rindu yang tidak sempat diungkap, ada doa yang masih tergantung di udara. Hanya Doa, karya ciptaan Awang BPR, komposer legenda yang melahirkan lagu-lagu seperti Segalanya Ku Terima (Illusi), Hanya Padamu (Qiara) dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) kini kembali berkumandang dalam versi baharu yang dilantunkan oleh penyanyi berbakat dari Aceh, Mohderzam.
Bagi Mohderzam, peluang ini adalah anugerah yang datang dengan rasa syukur. “Suatu kebanggaan besar buat saya kerana diberi kepercayaan menyanyikan lagu Hanya Doa, karya yang punya makna begitu dalam,” katanya dengan nada rendah hati. “Apalagi ia hasil sentuhan tangan Awang BPR, nama besar dalam muzik Malaysia.”
Lagu yang pernah dinyanyikan Achik Ukays pada tahun 2021 ini mencuri perhatian produser Suryadi, yang merasakan karya tersebut punya roh istimewa, cukup untuk dihidupkan semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan sesuai dengan selera pendengar masa kini yang gemar pada melodi galau dan lirikal yang menyentuh.


Mohderzam, penyanyi yang lahir di Suak Raya, Aceh, mula menapak di dunia muzik selepas lagu Hanle Merindu menjadi siulan ramai pada tahun 2022. Namanya semakin kukuh setelah beliau membawakan semula lagu legendaris Payong Hitam dengan gaya moden yang menjadi fenomena di media sosial. Dengan suara yang syahdu dan karisma yang sederhana, Mohderzam membawa Hanya Doa dengan kesungguhan jiwa, antara rindu, penyesalan, dan keikhlasan yang berselindung di sebalik lirikan lembutnya.
Bagi Awang BPR, kolaborasi ini bukan sekadar pertembungan generasi, tetapi penyambung nafas karya yang bernyawa. “Irama dan lagu tidak pernah terpisah,” ujarnya. “Kekuatan lagu terletak pada penyanyi yang menyatu dengan melodi. Saya percaya Mohderzam punya keikhlasan itu.” Penulis lirik I.Kay turut menitipkan harapan, “Dendangkanlah Hanya Doa dengan jiwa yang tulus. Biarkan ia tinggal di sanubari pendengar. Lagu yang bernyawa bukan hanya rangkaian perkataan, ia adalah doa yang berbisik antara manusia dan Tuhan.”

Menariknya, versi baharu ini dirakam sepenuhnya di Aceh, Indonesia, dengan video muziknya mengambil latar Gampong Atong, Aceh Besar. Destinasi wisata sawah bertingkat yang terkenal dengan panorama hijau dan jalan berliku yang sering tular di media sosial. Di tengah pemandangan itu, Mohderzam menyanyi dengan wajah tenang dan mata yang menyimpan sejuta cerita seolah-olah seluruh angin sawah turut menjadi saksi kepada doanya.
Kolaborasi antara Luncai Emas (Malaysia) dan Haba Music (Aceh) memperlihatkan bagaimana muzik mampu menyeberang sempadan tanpa pasport, tanpa jarak. Menurut Muhammad Cut Adek, Pengarah Urusan Haba Music, “Kehadiran Mohderzam di Malaysia adalah batu loncatan yang mengingatkan kita kepada sejarah seniman Aceh terdahulu seperti P. Ramlee dan Bob Rizal.” Melalui kerjasama dua tanah seni ini, Hanya Doa diharap akan diterima dengan cinta di kedua-dua negara, seperti karya besar komposer Malaysia yang lain (M. Nasir, Saari Amri, Pak Ngah dan LY) yang pernah menyalakan lentera muzik di rantau ini.
Kini, Hanya Doa versi Mohderzam telah dirilis di semua platform penstriman digital sejak 10 Oktober, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas. Dalam hembusan suaranya, ada getar yang mendamaikan, seperti doa yang akhirnya pulang kepada langit yang menunggu. Kerana setiap lagu yang lahir dari hati, akan menemui hatinya yang lain. Dan Hanya Doa adalah antara yang terindah itu.