oleh: zizi hashim
21 Nov
21Nov

Suatu getaran halus berputar di ruang antara hati dan kata-kata, ketika DUKES menghadirkan “Melangkahi Aku”, sebuah karya yang memancarkan kejujuran lelaki yang sering tertindas dalam hubungan yang pincang. Lagu baharu ini tidak hanya mengusik telinga, ia meresap perlahan, seperti pengakuan yang lama dipendam, akhirnya menemukan pintu untuk keluar.

Setelah enam single terdahulu bersama Alternate, DUKES memilih untuk melangkah ke wilayah yang lebih raw, lebih terus terang. Syed Rayyan Razzaq menulis lirik yang seolah lahir daripada sebuah ruang yang rapuh, sementara AG Coco mencorakkan produksi yang menggabungkan energi indie, tekstur garang dan aura muda yang bergelora. Sentuhan AG tidak menghilangkan identiti DUKES, sebaliknya memperkukuhnya dan memberi cahaya baharu kepada sisi yang selama ini belum terbit sepenuhnya.

Getaran muziknya mengingatkan pada rasa urban The Strokes yang lebur bersama kejujuran malar Hujan, ritma yang tidak memaksa, tetapi memijar. Pada setiap bait, DUKES menolak tirai yang menyembunyikan wajah ketakutan lelaki yang dicengkam manipulasi. Setiap kali bersuara, pasangannya memutar persepsi, meletakkannya di kerusi tertuduh. Setiap kali cuba menjelaskan, dirinya dipatahkan. Dan setiap kali cuba bernafas, ada bayang yang melangkahi harga dirinya.

Korus “Aku takut dengan cara dia yang melangkahi aku” bukan wahyu yang ingin berduka lara, ia lebih seperti letupan kecil dalam dada, ketika seseorang akhirnya memutuskan untuk memilih dirinya sendiri. Lirik-liriknya bergelar saksi kepada mereka yang pernah terkunci dalam hubungan yang tidak seimbang, di mana kasih menjadi pedang dan kepercayaan menjadi jerat.

DUKES sendiri mengakui bahawa “Melangkahi Aku” dilahirkan daripada ruang yang sangat peribadi. Dan ruang itu diterjemahkan dengan produksi yang teliti. AG Coco memastikan setiap elemen sonik membawa fungsi: gitar yang menghunus, dram yang mengiringi debar, serta vokal yang menggambarkan keberanian yang baru tumbuh.

Keseluruhan naskhah ini menjadi semacam pengisytiharan bahawa lelaki juga berhak bersuara tanpa dipersenda. Bahawa luka mereka juga wujud, walau sering ditenggelamkan ego, budaya, ataupun tanggapan bahawa lelaki harus kuat setiap masa. DUKES memecahkan stereotaip itu dengan keberanian yang elegan.

Momentum perjalanan mereka kini lebih matang, dan “Melangkahi Aku” menjadi titik yang menandakan peralihan penting, dari rasa ragu ke ruang yang lebih jujur dan emosional. Lagu ini bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk dirasai oleh sesiapa yang pernah mencari jalan keluar daripada hubungan yang memudaratkan jiwa.

Dengan produksi bertenaga, naratif yang dekat dengan realiti semasa dan keberanian meminjam suara mereka yang terperangkap, “Melangkahi Aku” berpotensi menjadi antara karya DUKES yang paling signifikan setakat ini. Single ini kini boleh didengarkan di seluruh platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify dan barangkali, bagi sebahagian pendengar, ia akan menjadi cermin yang menuntut keberanian yang sama.

Comments
* The email will not be published on the website.