oleh: zizi hashim
06 Jan
06Jan

Suatu cerita bermula dengan pertembungan antara doa yang disimpan rapi dan rahsia yang lama terperam. Doa Yang Terlindung hadir sebagai naskhah baharu yang berani menggoncang ruang emosi penonton, mula menemui khalayak pada 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Barisan pelakon terdiri dari Fasha Sandha, Firdaus Karim, Sharifah Rose, Nafiz Muaz, Meor Hashim serta tenaga pendukung lain menghidupkan drama yang menelusuri perjalanan seorang wanita yang digoncang ujian bertubi-tubi, seolah seluruh semesta menguji ketabahan yang tinggal senipis benang.

Diarahkan Idora Abdul Rahman dan ditulis Nieza Nahar, karya 28 episod ini menyelongkar sisi kelam yang terselindung di balik wajah agama yang sering dipuja. Penonton dibawa meneliti bagaimana pengaruh dan kedudukan mampu menutupi kebenaran, seakan sehelai tirai nipis yang membiarkan semua orang melihat hanya gambaran yang mahu dipertontonkan.

Ustaz Irfan lakonan Firdaus Karim adalah figura pendakwah popular, ikon agama di media sosial, dan tenaga pengajar utama Baitul Khadijah, tampak sempurna pada pandangan luar. Namun ketenangannya mula tergugat dengan kemunculan Anisah (Sharifah Rose), pelajar baharu yang mengusung keberanian dalam diam. Kehadirannya ke institusi itu bukan berasal daripada kehendak diri, tetapi keinginan ibu bapa, walaupun impiannya menjulang ke arah dunia fesyen Muslimah.

Anisah tidak sahaja berhadapan peraturan tegas dan pengawasan senior, tetapi juga pandangan takjub terhadap imej ustaz yang diagungkan. Di sebuah tempat yang lebih mengutamakan persepsi daripada kebenaran, gadis ini terpaksa mencari ruang bernafas sambil menepis cemuhan serta fitnah yang cuba merapuhkan keyakinannya. Nasibnya berubah sedikit demi sedikit apabila Aiman (Nafiz Muaz), tenaga pengajar baharu yang berhati lapang, menawarkan sokongan yang membina harapan kecil di tengah kegelisahan.

Pergolakan yang tercetus antara karakter-karakter ini membuka jejak rahsia lama, menguji prinsip, iman dan keberanian mereka untuk melihat realiti apa adanya. Rabiyatul (Fasha Sandha) dan Tuan Haji Mohsin (Meor Hashim) mula menangkap tanda-tanda ganjil yang tersisip di celah aturan institusi itu namun ruang untuk membongkar kebenaran masih samar. Adakah semuanya akan terdedah, atau terus terkubur oleh mereka yang memegang kuasa?

Sharifah Rose mengakui, “Anisah melalui perjalanan yang sangat berat, penuh luka yang dipendam dan keberanian yang dikumpul perlahan-lahan. Watak ini mengajar saya tentang kekuatan seorang wanita yang bangkit walaupun suaranya cuba dipadamkan. Saya berharap penonton dapat menyelami emosi Anisah dan mengikuti perjalanan Doa Yang Terlindung hingga noktah terakhirnya.”

Penonton dijemput mengikuti kisah penuh liku ini mulai 7 Januari 2026 di slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam. Episod baharu turut boleh ditonton secara eksklusif di iQIYI, satu jam selepas siaran TV3, melalui laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.

Comments
* The email will not be published on the website.