oleh: zizi hashim
08 Sep
08Sep

Sebuah naskhah baharu hadir menghiasi malam khalayak, membawa judul yang sarat dengan metafora: Rumah Tanpa Luka. Terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios ini sudah menemui penonton di Astro Ria sejak 1 September lalu, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam, dan turut boleh distrim melalui Astro One serta Sooka. Di bawah arahan Nur Ain Sharif, drama ini menyingkap luka yang disembunyikan di sebalik tembok keluarga, sambil mengangkat kisah anak istimewa yang kerap disisihkan.

Di pusat ceritanya berdiri Rose Ameena, gadis kecil dengan sindrom Down lakonan Naura Arissa, yang kelahirannya dianggap sial oleh ibu bapa sendiri. Walau sering dibuli di sekolah dan hanya ditemani seorang sahabat setia bernama Dewi, Rose tetap memancarkan jiwa besar yang menawan hati sesiapa sahaja yang menyaksikan perjalanannya. Keberanian mengangkat isu ini menjadikan drama ini berbeza kerana tidak takut menunjukkan sisi masyarakat yang lebih kelam, tetapi penuh kebenaran.

Kehadiran Qiuzi, seorang mekanik sederhana tetapi sebenarnya pemilik 5 bengkel kereta, mewarnai perjalanan Kalsum, gadis tabah yang rela menjaga Rose biarpun dibuang keluarga. Watak Qiuzi dilakonkan Shukri Yahya, yang kali ini menjelmakan sisi lelaki dambaan, seorang green flag yang humble, setia, dan jujur. “Qiuzi ini meredakan suasana, orang yang mudah didekati tetapi tidak pandai bercinta. Dia lelaki yang entah ada entah tidak di dunia nyata,” ujar Shukri, seakan memberi nyawa pada sosok yang jarang ditemui di kaca televisyen.

Namun drama ini tidak akan lengkap tanpa bayangan gelap Hayden Hayyan, lakonan Nadhir Nasar. Digelar red flag, Hayden ialah sosok penuh paradoks, bertanggungjawab, anak mak yang setia, namun emosinya berombak bak gelora. “Cabaran besar ialah mengawal seni marah dan tidak marahnya Hayden. Kadang tinggi, kadang rendah, sukar diteka,” aku Nadhir. Watak ini memberi ruang padanya untuk bermain dengan emosi yang kompleks, memaksa penonton terus tertanya-tanya ke mana arah akhirnya.

Yang paling menyentuh, kedua-dua pelakon lelaki ini mengakui pengalaman bekerja bersama Naura Arissa sebagai sebuah keberkatan. Shukri kagum dengan keberanian dan kejujuran Naura di set, sementara Nadhir pula menganggap dia cepat belajar, tahu membezakan bila masa berlakon dan bila masa berehat. “Senang bekerja dengan anak istimewa. Bukan cabaran, tetapi satu rahmat,” ujar Nadhir.

Dibarisi pelakon berbakat besar, drama ini menampilkan Erysha Emyra sebagai Kalsum, Shukri Yahya sebagai Qiuzi, Nadhir Nasar sebagai Hayden Hayyan, Naura Arissa sebagai Rose Ameena, Hajjar sebagai Dahlia, Kismah Johar sebagai Nek Rogayah, Ziela Jalil sebagai Datin Normala, Syean Mokhtar sebagai Dato Zaidi, Hafreez Adam sebagai Amril, Yuna Rahim sebagai Naira, Hanan Adraa sebagai Dewi, Zaefrul Nordin sebagai En. Ibrahim, Aziz M. Osman sebagai Pak Yasir, Rasya Dean sebagai Syakira, dan Raja Azmi sebagai Hajah Kamilah.

Dengan jalan cerita yang berlapis antara pengorbanan Kalsum, kehadiran Qiuzi yang membawa sinar, dan kemunculan Hayden yang mengocak kembali ketenangan, Rumah Tanpa Luka membentangkan sebuah roller coaster emosi yang akan meruntun jiwa penonton. Setiap karakter, setiap dialog, dan setiap titisan air mata dalam drama ini seakan menyeret kita menyelami hakikat: tiada rumah yang benar-benar bebas daripada luka, namun ada yang memilih untuk menutupinya, ada yang berani menanggungnya, dan ada yang mencari cahaya untuk menyembuhinya.

Comments
* The email will not be published on the website.