oleh: zizi hashim
10 Oct
10Oct

Terkadang, hidup terasa seperti jalan tanpa tanda arah. Apabila kau mula dengan niat mahu berseronok, tetapi berakhir dengan sesuatu yang tak pernah dijangka. Begitulah yang terjadi pada tiga sahabat: Paly, Jany dan Wady, watak utama dalam filem KLEPET, naskhah aksi-komedi terbaharu terbitan Wawa Global Sdn. Bhd., diarahkan oleh sutradara berbakat Indra Putra (Sanji).

Segalanya bermula dengan sekumpulan rakan yang ingin menikmati perjalanan santai menaiki motorhome. Namun, tawa mereka bertukar huru-hara apabila muncul seorang gadis misteri dari Ukraine, Lola (Darina Porhun), yang mengheret mereka ke dalam kancah kekacauan tak bertepi. Apa yang sepatutnya menjadi percutian tenang berubah menjadi siri insiden gila. Hitman muncul tanpa amaran, duit berkepuk jatuh ke tangan, dan persahabatan mereka diuji di tengah kekacauan yang tak masuk akal.

"Klepet menggabungkan gaya komedi pelbagai lapisan, dari komikal, animasi hingga lawak spontan yang lahir mengikut babak,” kata Indra, yang melihat projek pertamanya ini sebagai percubaan berani dalam mempersembahkan hiburan dengan jiwa berbeza.

Filem ini menampilkan tiga nama besar yang sedang mencorak layar perfileman tanah air: Aedy Ashraf, Nadhir Nasar dan Meerqeen. Mereka bukan sekadar pelakon muda yang digilai, tetapi wajah generasi baharu yang mewakili semangat persahabatan yang tulus dan kekal relevan. Kehadiran pelakon hebat seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie, serta pelakon antarabangsa Darina Porhun, menjadikan Klepet karya yang padat dengan warna dan energi.

Sebagai penerbit, Aeril Zafrel melihat Klepet bukan semata-mata komedi kosong. “Kami mahu hiburan yang ada jiwa. Klepet mengangkat nilai persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Ia dekat dengan anak muda, tapi masih sesuai untuk tontonan seisi keluarga,” jelasnya.

Filem ini menjalani penggambaran selama 25 hari di Melaka, dengan kos penerbitan mencecah RM2.6 juta, serta mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS. Menurut Aeril, bantuan tersebut menjadi pemangkin penting dalam menyempurnakan naskhah yang digarap dengan penuh kasih dan dedikasi.

Kekuatan Klepet bukan hanya pada skripnya yang ringan dan menghiburkan, tetapi pada keseimbangan antara humor dan mesej sosial yang dibawa. Ia menyindir sikap manusia yang terlalu taksub mengejar keseronokan tanpa menyedari makna setiakawan dan tanggungjawab.

Dari segi visual, Klepet tampil berani. Sinematografinya bernafas moden, berpadu dengan gaya pengarah muda yang ingin keluar dari acuan lama. Elemen komedi dan aksi dilukis dengan warna yang hidup, sementara watak-wataknya terasa seperti cerminan dunia sebenar. Manusia yang tersilap langkah tetapi masih mencari arah pulang.

Filem ini akan menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 27 November 2025. Sebuah tarikh yang dijangka menjadi detik kelahiran semula genre aksi-komedi tempatan yang lebih matang dan berlapis.

Klepet mungkin bermula dengan tawa, tapi di sebalik setiap kelakar tersembunyi makna tentang keberanian menghadapi kekacauan, tentang setiakawan yang diuji oleh keadaan, dan tentang bagaimana, kadang-kadang, manusia perlu tersesat dahulu untuk benar-benar mengenal dirinya.

Comments
* The email will not be published on the website.