oleh: zizi hashim
26 Jun
26Jun

Kemajuan teknologi sering dikaitkan dengan kecanggihan ciptaan manusia. Namun, di sebalik segala inovasi yang terus berkembang, masih wujud satu persoalan yang tidak pernah benar-benar terjawab: mampukah sebuah kecerdasan buatan memahami kasih sayang, kesunyian dan pengorbanan seperti seorang manusia? Persoalan itulah yang menjadi denyut utama Klara and the Sun, filem terbaharu arahan pemenang Academy Award, Taika Waititi, yang mengangkat sebuah kisah penuh emosi tentang persahabatan, kehilangan dan harapan.

Diadaptasi daripada novel terlaris karya pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, Kazuo Ishiguro, filem ini dijadualkan menemui penonton Malaysia pada 22 Oktober 2026, membawa sebuah perjalanan yang menyentuh hati menerusi perspektif yang cukup luar biasa. Mengemudi naskhah ini ialah Jenna Ortega, yang tampil memegang watak Klara, seorang Artificial Friend (AF) atau teman buatan yang dicipta bagi menemani manusia. Berbeza daripada gambaran robot yang sering dipersembahkan dalam filem sains fiksyen, Klara digambarkan sebagai sosok yang penuh rasa ingin tahu, lembut dan sentiasa percaya kepada kebaikan. Apa yang paling diinginkannya hanyalah sebuah rumah yang boleh dipanggil tempat pulang dan seseorang yang benar-benar memerlukannya.

Harapan itu akhirnya menemukan Klara dengan Josie, lakonan Mia Tharia. Pertemuan pertama mereka segera melahirkan satu ikatan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Walaupun Josie sedang melalui kehidupan yang penuh cabaran dan mempunyai hubungan yang rumit dengan ibunya, lakonan Amy Adams, kehadiran Klara sedikit demi sedikit mula mengubah suasana dalam keluarga tersebut. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta pandangan hidupnya yang polos membuka ruang kepada proses penyembuhan yang selama ini sukar dicapai oleh mereka yang bergelar manusia sendiri.

Di bawah sentuhan kreatif Taika Waititi, yang sebelum ini memenangi Academy Award menerusi Jojo Rabbit, Klara and the Sun dijangka menawarkan pengalaman sinematik yang menggabungkan elemen drama, komedi halus dan renungan mendalam mengenai masa depan hubungan manusia dengan teknologi. Waititi turut menulis lakon layar bersama Dahvi Waller, sambil mengekalkan roh penceritaan asal yang menjadikan novel Kazuo Ishiguro antara karya paling dihargai di dunia moden. Filem ini turut diperkuatkan dengan kehadiran barisan pelakon ternama seperti Aran Murphy, Steve Buscemi dan Natasha Lyonne, yang masing-masing membawa dimensi tersendiri kepada dunia futuristik yang dibina dalam naskhah ini. Penerbitannya pula diterajui oleh David Heyman, penerbit yang terkenal menerusi pelbagai filem berskala antarabangsa, bersama Garrett Basch dan Taika Waititi sendiri.

Apa yang membezakan Klara and the Sun daripada kebanyakan filem bertemakan kecerdasan buatan ialah pendekatannya yang lebih intim. Ia tidak menjadikan teknologi sebagai ancaman kepada manusia. Sebaliknya, filem ini mengajak penonton merenung bagaimana sebuah entiti buatan mampu mempamerkan sifat empati, kesetiaan dan kasih sayang yang kadangkala semakin sukar ditemui dalam dunia sebenar. Melalui mata Klara, penonton diajak melihat kehidupan dengan rasa kagum yang sederhana tetapi tulus.

Setiap detik yang dilalui bersama Josie menjadi bukti bahawa kekuatan sesebuah hubungan tidak semestinya bergantung kepada asal-usul atau biologi, sebaliknya lahir daripada keikhlasan untuk sentiasa berada di sisi insan yang memerlukan. Lebih daripada sebuah filem sains fiksyen, Klara and the Sun ialah sebuah refleksi tentang erti menjadi manusia. Tentang kehilangan yang membentuk diri, harapan yang tidak pernah padam dan kasih sayang yang mampu menyembuhkan luka paling dalam.

Apabila tirai pawagam dibuka pada 22 Oktober 2026, penonton bukan sekadar bakal menyaksikan perjalanan seorang robot. Mereka bakal menemukan sebuah cerita yang mungkin membuatkan kita bertanya kembali… Adakah hati benar-benar memerlukan denyutan untuk mampu mencintai?

Comments
* The email will not be published on the website.