Segalanya bermula bukan dengan dentuman dram atau kilauan lampu pentas, tetapi dengan rindu yang tidak pernah padam terhadap zaman di mana lirik menyentuh, vokal menikam, dan gitar mengaum sebagai suara jiwa. Rasa itu akan dicerna kembali dalam Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an, yang bakal menggegar Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada malam 27 September 2025.
Satu dekad yang dulu tampak jauh kini dibawa kembali dengan cara yang lebih megah. Sepuluh figura rock tanah air yang pernah menjadi ikon budaya pop 90-an terdiri dari Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success) akan kembali menyapa peminat, namun kali ini dalam balutan konsep “Rockestra”: sebuah hibrid sonik antara tenaga liar rock dan disiplin megah orkestra.
Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an adalah jemputan untuk kembali ke era di mana muzik menjadi bahasa utama antara jiwa dan zaman. Gabungan ini bukan sekadar eksperimen muzik. Ia sebuah pengakuan artistik, bahawa walau zaman telah beralih dan tren silih berganti, kematangan nada lama masih menyimpan pukau yang tak mudah padam.
“Ini bukan nostalgia kosong, tapi sebuah penghormatan buat warisan seni kita,” ujar penerbit Intan Madura, penerbit yang juga tekad membawa suara lama ke ruang moden. Bukan sekadar ‘throwback’ biasa, ia dirancang rapi sejak berbulan lamanya dan akan dibawa ke lokasi-lokasi lain sebagai siri jelajah. Shah Alam dipilih sebagai titik mula, bukan hanya kerana kapasitinya menampung 1,200 jiwa, tetapi kerana auranya sebagai nadi budaya bandar.
Yang tidak dapat hadir secara fizikal masih mampu menikmati konsert secara strim langsung, bukti bahawa teknologi kini menjadi jambatan untuk merapatkan jurang zaman. Harga tiket pula disusun mengikut akses: Bronze (RM188), Silver (RM288), Gold (RM388), Platinum (RM488) dan VIP (RM1888), dengan siaran langsung boleh ditonton dengan hanya RM20. Semua ini boleh diperoleh melalui laman rasmi www.211eventempire.com.
Menurut Afee (Utopia), “Ini bukan projek sembrono. Belum pernah ada konsert 90-an dibina seintim dan sebesar ini.” Sementara itu, hos malam itu, Isma Halil, mengajak peminat untuk datang dengan hati yang terbuka. “Lagu-lagu ini tak cuma jadi siulan zaman muda. Ia membentuk siapa kita hari ini.” Isma Halil akan mengendalikan pentas sebagai hos, memberikan sentuhan naratif sepanjang malam.
Renggo (Arrow) menyifatkan konsert ini bukan semata pertunjukan, tetapi medan untuk menyatukan jiwa, bukan hanya antara artis dan peminat, tetapi juga sesama rakan seperjuangan. “Kalau mereka tak minat saya, mungkin mereka cinta vokal Isa Graviti atau kenal riff Aan Ways. Semua ada tempat.”
Uniknya, sasaran konsert ini tak berhenti pada mereka yang pernah lalui dekad itu. Gen Z kini juga menjadi tumpuan, kerana ironi zaman menyaksikan lagu-lagu 90-an kini kembali hidup melalui TikTok, YouTube Shorts dan Reels. Intan percaya, “Anak muda bukan sekadar dengar, kali ini mereka dapat lihat sendiri siapa di sebalik suara yang jadi latar viral mereka.”
Lalu, Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an adalah perayaan rasa dan sejarah; sebentuk ziarah sonik yang menghubungkan zaman, semangat dan sempadan. Apabila pentas menyala, dan nota pertama berkumandang, bukan sahaja telinga yang mendengar tetapi hati yang lama menunggu akan bergema semula. Ini bukan kebangkitan sementara. Ini pemulihan harga diri para legenda. Malam itu nanti, bila pentas menyala dan orkestra mula mengalun, semangat rock Malaysia yang pernah menjulang tinggi, akan kembali menggegarkan… lebih lantang dari sebelumnya.