oleh: zizi hashim
20 Jan
20Jan

Selepas menggegar panggung Gegar Vaganza 2026, Nubhan melangkah dengan penuh keyakinan ke dunia muzik sekali lagi melalui single terbaharu “Andai Derita”. Lagu ini bukan sekadar alunan suara, tetapi sebuah naskhah emosi yang menggambarkan seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaannya dikhianati. Nubhan menegaskan, “Setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini saya hadirkan sebagai teman untuk mereka yang memujuk hati dalam diam. Ada masanya, derita itu tidak perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda.”

Berasal dari Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Nubhan memulakan perjalanan seni sebagai pelajar Akademi Fantasia Musim ke-6, mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz, Toi, dan Nadia, dan akhirnya menamatkan musim dengan tempat ketiga pada 24 Mei 2008. Karier seni Nubhan menelusuri pelbagai genre pop dan balada Melayu moden dengan lagu-lagu hit seperti Oh Juwita, Seadanya Aku, Aku Atau Dia, serta duet bersama Siti Nordiana Sekali Lagi (2021). Album sulungnya, Langkah Nubhan (2010), juga menampilkan sebuah lagu Mandarin berjudul Ai Mei Chuo.

Selain seni suara, Nubhan membuktikan dirinya sebagai seorang pelakon, usahawan, influencer, dan content creator. Dunia perniagaannya dibentuk dari pengalaman keluarga; ibu bapanya memiliki kedai makan di Juasseh. Kini, Puan Badariah Omar (Mak Jenny) menjadi ikon produk masakan Negeri Sembilan Ready to Eat di bawah jenama MAK JENNY, sementara Nubhan berjaya memasarkan pelbagai perniagaan termasuk kosmetik, skincare, dan makanan. Prestasinya di bidang keusahawanan diiktiraf dengan pelbagai anugerah termasuk Celebrity Entrepreneur of the Year 2023, Top Performing Celebrity di TikTok Shop, dan 100 Top Young CEO 2021.

Bakat Nubhan juga terserlah dalam dunia content creation, di mana gelagatnya bersama Mak Jenny mencipta fenomena di YouTube, TikTok, dan Facebook, dengan jutaan tontonan. Projek content mereka bukan sekadar hiburan, tetapi menjadikan Mak Jenny nama yang sinonim dengan media sosial Malaysia, dan menegaskan Nubhan sebagai kreator yang serba boleh.

Selain muzik, pencapaian Nubhan meliputi bidang lakonan dengan penampilan dalam drama khas Hari Raya (Ada Cinta Hari Raya, 2008), filem (Lagenda Budak Setan, 2010; Ibu Mee Segera, cameo), dan pengacaraan (In-Trend, RTM TV2, 2011). Keupayaan beliau menyeimbangkan dunia seni, usahawan, dan content creator menjadikannya figura serba boleh dalam industri hiburan Malaysia.

Single terbaru, “Andai Derita”, meneruskan identiti muzik Nubhan: balada Melayu yang sarat emosi. Melodinya lembut, senikata penuh makna, termasuk bait seperti: “Demi bahagiamu, biarku pergi sayang”, mengajak pendengar menerima luka dengan tenang. Sekali lagi, Nubhan menekankan bahawa lagu ini menjadi teman bagi mereka yang sedang menghadapi derita, “Kadang-kadang, derita itu tidak perlu dilawan. Cukup diterima dengan reda.”

Lagu ini kini tersedia di Spotify, Apple Music, dan video muzik rasmi akan dimuat naik di YouTube Luncai Emas tidak lama lagi. Label rakaman Luncai Emas memberikan platform strategik untuk Nubhan meneruskan kerjaya seni secara konsisten, dan diharapkan peminat serta media memberi sokongan padu untuk karya ini.

Comments
* The email will not be published on the website.