oleh: zizi hashim
10 Dec
10Dec

Jejak masa depan sering membawa kita ke persimpangan sunyi, ruang antara harapan dan ketakutan dan MERCY mencipta dunia yang memerangkap jiwa di tengah-tengah kedua-duanya. Karya terbaru arahan Timur Bekmambetov ini hadir sebagai naskhah sci-fi penuh ketegangan yang bakal menggegarkan pawagam Malaysia mulai 29 Januari 2026, dibawakan oleh Amazon MGM Studios dalam produksi kolaboratif Atlas Entertainment dan Bazelevs.

Tumpuan cerita terarah kepada seorang detektif, lakonan Chris Pratt, yang terperangkap dalam dilema maha dahsyat: dituduh membunuh isterinya, dan hanya mempunyai 90 minit untuk membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah. Ironinya, takdir hidupnya kini terletak di tangan sebuah A.I. Tribunal yang pernah dia perjuangkan, kini menjadi 'hakim' tanpa rasa belas, dijelmakan dengan ketepatan dingin oleh Rebecca Ferguson.

Ruang interogasi futuristik itu bukan sekadar medan perbicaraan; ia adalah cermin yang menayangkan sisi paling rapuh manusia. Sepanjang masa berlalu, setiap minit terasa seperti nadi terakhir yang memisahkan hidup dan kemusnahan. Bekmambetov mengadun suspens dan drama dengan keindahan visual yang tegang, memastikan penonton tenggelam dalam paranoia yang membiak semakin jauh.

Filem ini dibarisi pelakon mantap seperti Kali Reis, Annabelle Wallis, Chris Sullivan dan Kylie Rogers. Setiap karakter menyumbang serpihan misteri yang membentuk gambaran lebih kelam tentang dunia masa depan, di mana teknologi mampu menyelamatkan, namun dalam masa sama melumpuhkan manusia dari dalam. MERCY mengangkat persoalan yang jarang disentuh dalam filem sci-fi arus perdana: apa yang tinggal untuk manusia apabila keadilan diputuskan oleh algoritma? Dan sampai sejauh mana seseorang sanggup melawan sistem yang pernah dipercayainya?

Disajikan dengan gerakan kamera dinamik, ritma yang menghimpit rongga dada, dan latar skor yang mendebarkan, MERCY dijangka menjadi salah satu filem paling berpengaruh pada awal tahun 2026, mengadun aksi, saspens dan drama psikologi dalam satu pengalaman sinematik yang mendera emosi dan minda secara serentak.

Malaysia bakal menyambut tayangan luas filem ini bermula 1 Januari 2026 (US wide) dan seterusnya 29 Januari 2026 untuk tayangan setempat yang dioptimumkan untuk IMAX, menawarkan pengalaman visual yang lebih imersif. Dengan tema kebenaran, kebebasan dan perjuangan melawan masa, MERCY berdiri sebagai peringatan bahawa keadilan di tangan teknologi belum tentu memberi belas kepada manusia.

Comments
* The email will not be published on the website.