Seakan sebuah babak baharu dalam kehidupan sebenar, Nad Zainal kembali dengan mata yang kini lebih tenang, namun sarat cerita. Sejak September lalu, namanya kembali menghiasi media sosial, setiap foto dari lokasi penggambaran menjadi tanda kecil bahawa lembaran baharu sedang dibuka dengan keyakinan, keberanian, dan cinta yang tidak lagi sama.
Nad memilih Bahagia Yang Tertangguh bukan kerana ingin sekadar kembali bekerja, tetapi kerana ia menyentuh sesuatu yang lebih dalam iaitu sisi kemanusiaan yang sering disembunyikan. Drama ini, adaptasi daripada novel popular, mengangkat isu ‘ipar toksik’, satu topik yang jarang dibicarakan dalam dunia drama Melayu, namun sangat dekat dengan realiti.


“Bila saya baca novelnya, saya terus tertarik dengan jalan cerita. Isu ini berlaku di sekeliling kita, dan saya rasa sudah tiba masanya ia dibawa ke layar,” ujar Nad perlahan, dalam nada yang mencerminkan rasa tanggungjawab seorang pelakon terhadap naskhahnya.
Wataknya, Nurin Hana, seorang ibu tunggal yang hidup dalam kepungan stigma, menjadi ruang bagi Nad untuk bereksperimen dengan kejujuran. Nurin bukan wanita sempurna. Dia rapuh, sering dilanda serangan panik, namun tetap berjuang untuk anak kecilnya, Raiqal. Untuk menghidupkan karektor ini, Nad menjalani kajian intensif dengan menonton dokumentari, membaca artikel tentang kecemasan emosi, dan berlatih pernafasan agar setiap serangan panik di layar terasa nyata, bukan lakonan semata.
“Watak ini mengajar saya untuk memahami bahawa setiap orang punya cara sendiri melawan sunyi. Ada yang diam, ada yang berdoa, ada yang hanya mampu menangis,” katanya.


Keintiman antara Nurin dan anaknya menjadi nadi kepada keseluruhan cerita. Nad sendiri mengakui bahawa membina keserasian dengan pelakon cilik Mateen bukan hal mudah, namun dari hari pertama penggambaran, hubungan mereka tumbuh secara organik. “Mateen luar biasa. Dia membantu saya untuk benar-benar menjadi seorang ibu di layar, bukan pelakon yang berpura-pura.”
Bahagia Yang Tertangguh turut mempertemukan Nad dengan barisan pelakon ternama terdiri dari Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida dan Adrean Mateen, mencipta gabungan pengalaman dan tenaga baharu yang menjanjikan keutuhan emosi di setiap babak. Setiap karektor membawa beban dan rahsia, setiap konflik menjalin persoalan tentang makna bahagia itu sendiri. Apakah bahagia itu milik mereka yang sempurna, atau milik mereka yang masih berani mencintai meski luka belum sembuh sepenuhnya?

Slot Megadrama Astro Ria pernah menjadi rumah bagi pelbagai karya yang meninggalkan bekas di hati penonton. Kini, giliran Bahagia Yang Tertangguh untuk mengisi ruang itu, bukan hanya dengan air mata, tetapi juga dengan harapan. Kembalinya Nad kali ini terasa seperti perjalanan spiritual yang perlahan tapi pasti. Selepas segala ujian dan kesakitan yang pernah menghentikan langkahnya, dia muncul semula dengan keheningan yang lebih bererti.
Apabila layar kelak menayangkan wajahnya yang sendu namun tabah, penonton bukan sahaja akan melihat seorang pelakon yang kembali bekerja tetapi seorang wanita yang kembali hidup. Kerana mungkin, bahagia itu memang selalu tertangguh, tapi tak pernah hilang arah pulangnya.