oleh: zizi hashim
22 Jul
22Jul

Sesebuah kisah yang baik tidak semestinya bermula dengan pertemuan dua insan. Ada kalanya, ia lahir daripada sesuatu yang kelihatan remeh, namun cukup untuk mengubah kehidupan ramai. Dalam Mojoku Hilang!, benih cerita itu bermula daripada kehilangan seekor lembu bernama Mojo. Seekor lembu viral yang tanpa diduga menyatukan cinta, komuniti dan harapan dalam sebuah kampung kecil di Perlis.

Di sebalik premis yang mencuit hati itu, tersimpan sebuah naskhah romantik komedi yang lebih besar maknanya. Diarahkan oleh sutradara Min Lim, Mojoku Hilang! menggabungkan elemen cinta, pengorbanan dan kekuatan komuniti yang saling bergantung antara satu sama lain. Filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai 2026. 

Kisahnya mengikuti perjalanan Adi, seorang pemuda dari bandar yang dihantar ke sebuah kampung bagi mencari Mojo. Namun misi sebenarnya jauh lebih rumit, dia perlu menyamar untuk meraih kepercayaan penduduk sebelum membantu syarikatnya mengambil alih tanah mereka. Dalam usaha menjalankan tugas itu, Adi tanpa sedar jatuh cinta kepada Ayu, gadis kampung yang paling lantang mempertahankan tanah warisan penduduk daripada dirampas pihak korporat.  Bagi pengarah Min Lim, Mojoku Hilang! tidak pernah diniatkan sebagai sebuah komedi romantik biasa.

"Ramai yang tertanya mengapa kami memilih seekor lembu sebagai subjek dalam filem ini. Sebenarnya, lembu adalah sebuah metafora yang mempertemukan semua watak menarik ini. Kami ingin membawa mesej tentang manusia, komuniti dan usaha untuk menemui semula perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa harapan, maka kami telah berjaya menyampaikan tujuan kami," katanya.

Filem ini turut menemukan buat pertama kali Mimi Lana dan pelakon terkenal Indonesia Adipati Dolken dalam sebuah produksi Malaysia. Menariknya, Mojoku Hilang! juga menjadi filem romantik komedi pertama yang diterajui Mimi, sekaligus memperlihatkan sisi lakonan yang berbeza daripada karya-karya terdahulunya seperti Polong, Mencari Ramlee dan The Experts

Bagi Adipati pula, inilah penampilan sulungnya dalam filem Malaysia. Demi menjayakan watak Adi, beliau mempelajari Bahasa Malaysia setiap hari dan meluangkan masa membina hubungan dengan Mojo sebelum penggambaran bermula, termasuk memberi makan, memandikan dan membelai lembu tersebut supaya keserasian mereka di layar tampak semula jadi. Keunikan filem ini bukan hanya terletak pada jalan ceritanya, malah turut terserlah di sebalik proses pembikinan.

 Produksi mengambil masa berbulan-bulan mencari lembu yang sesuai sebelum akhirnya menemui Mojo, selain menggunakan kira-kira 20 ekor lembu sepanjang penggambaran. Malah, Mojo sendiri menerima layanan seperti seorang bintang filem. Mojo dimandikan dua kali sehari, dibawa berjalan setiap pagi dan mempunyai kegemaran menikmati pisang di lokasi penggambaran.

Satu lagi keistimewaan Mojoku Hilang! ialah pemilihan Perlis sebagai latar utama. Hampir 90 peratus babak dirakamkan di negeri itu, menjadikannya antara filem Malaysia pertama yang benar-benar mengangkat keindahan landskap Perlis sebagai identiti visual utama. Lokasi seperti Timah Tasoh dan Kampung Wai dipilih bagi menyerlahkan sisi negeri yang selama ini jarang diterokai di layar perak.

Filem ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato' A. Tamimi Siregar, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah, Haeriyanto Hassan, Seha Monica dan Ayu Azlina, selain kemunculan istimewa Atilia Haron serta Alif Satar & The Locos.

Dari sudut muzik pula, Mojoku Hilang! menyuntik elemen nostalgia menerusi lagu "Inikah Cinta" nyanyian Alif Satar & The Locos yang digubah semula khas untuk filem ini. Lebih mencuri perhatian, Mimi Lana turut menyanyi buat pertama kali di layar perak, membawakan olahan baharu beberapa lagu ikonik yang memperkayakan emosi setiap babak.

Pada akhirnya, Mojoku Hilang! bukan sekadar kisah tentang kehilangan seekor lembu. Ia adalah cerita tentang manusia yang sering mengejar sesuatu yang jauh, sedangkan perkara paling berharga sebenarnya telah lama berada di depan mata: kasih sayang, kejujuran dan sebuah komuniti yang sentiasa sanggup berdiri bersama ketika segalanya terasa hampir hilang.

Comments
* The email will not be published on the website.