oleh: zizi hashim
16 Jul
16Jul

Petang yang damai tanggal 13 Julai 2025 yang lalu, menghamparkan karpet jingga buat seorang wanita yang membawa harum Borneo dalam setiap nafas seninya. Di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur, ruang seni RXP di REXKL berubah menjadi tanah kelahiran yang jauh tetapi dekat di jiwa dan menjadi saksi kepada sebuah keramaian jiwa, sebuah pertemuan batin antara seni, tradisi dan suara anak Borneo yang mula berdendang ke seantero dunia.

'Misompuru: Borneo Album Listening Session' bukan sekadar perhimpunan, tetapi sebuah ritual penyatuan, menyulam semula akar dengan identiti, budaya dengan melodi, dan jiwa dengan tanah asal yang sentiasa dirindui. Marsha Milan, figura bersuara lunak yang pernah menggegarkan pentas AJL39, kini tampil dengan penuh khidmat mempersembah album penuh kasih: Misompuru, yang dalam bahasa Dusun bermakna "keramaian" atau "gathering".

Album ini dibina tidak sekadar untuk didengari, tetapi untuk dirasai. Ia adalah surat cinta Marsha kepada Borneo, rumah yang memahat jati dirinya sebagai seorang seniman. Terinspirasi dari selut adat Sabah dan Sarawak, Misompuru menggenggam elemen nostalgia, ketabahan, dan kerinduan, digarap halus dalam 5 buah lagu yang masing-masing membawa roh tersendiri.

Sebuah Pementasan Jiwa

Acara petang itu hadir dalam bentuk sebuah pengalaman penuh kehangatan. Lima lagu daripada album dipersembah secara langsung, ditemani rakan duet asal, termasuk legenda Borneo, Datuk Francis Landong. Suasana menjadi hidup dengan persembahan Magunatip dan Sumazau yang bukan sekadar tarian, tetapi doa yang digerakkan tubuh. Bau harum makanan tradisional seperti hinava dan ambuyat berlegar, memeluk para tetamu dengan nostalgia yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Segalanya tersusun rapi untuk menepati naratif besar album ini sekaligus mengangkat suara Borneo ke pentas global tanpa kehilangan akar, tanpa perlu menukar wajah hanya untuk diterima.

Selepas menjulang trofi Juara di AJL39, Marsha tidak berdiam diri. Beliau membawa Misompuru ke ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025, memperkenalkan genre Borneo Pop ke hadapan khalayak antarabangsa. Wajahnya menghiasi papan iklan digital Times Square, New York sebagai Ikon EQUAL Spotify April lalu, menjadi satu simbol bahawa suara dari Borneo tidak lagi terpinggir di persada dunia. Namun, kejayaan itu bukan tanpa beban. 

Gelaran "Ratu Borneo" yang diberikan peminat menjadi pancang tanggungjawab besar buat Marsha. Baginya, Borneo adalah lebih daripada geografi. Ia adalah identiti, darah yang mengalir dalam setiap bait lagu, dalam setiap denting gong yang mengiringi nyanyiannya. “Misompuru ialah permulaan. Ia satu langkah berani untuk memperkenalkan sisi saya yang sebenar. Ini bukan noktah, tetapi permulaan sebuah perjuangan seni yang lebih besar.” kata Marsha, penuh makna.

Teknik vokal yang digunakan Marsha dalam album ini bukanlah sembarangan. Ia tidak hanya memerlukan kawalan suara, tetapi pemahaman mendalam terhadap lenggok tradisi dan kehalusan budaya. “Saya tak mahu hanya menyanyi, saya mahu menyampaikan,” jelasnya. Unsur alat muzik tradisional digarap bersama susunan moden, menjadikan Misompuru bukan sahaja relevan, tetapi berani, tanpa meninggalkan akar tempat ia bermula.

"Pelangi Pasti", lagu yang cukup menyentuh Marsha secara peribadi, barangkali adalah refleksi seluruh perjalanan album ini. Dalam hujan yang panjang, dalam pencarian arah dan suara, Misompuru hadir sebagai pelangi, tanda bahawa setelah badai, akan selalu ada sinar cahaya.

Petang itu di REXKL, lebih daripada sekadar pelancaran album. Ia adalah upacara kembali ke pangkuan warisan, sebuah janji kepada tanah tumpah darah bahawa suaranya akan terus didendangkan, tidak kira sejauh mana langkah kaki pergi. Misompuru telah membuka jendela baru buat muzik Malaysia. Kini, suara Borneo bukan lagi gema yang hanya bergema di pergunungan dan lembahnya. Ia telah sampai, dan ia akan terus hidup, selagi ada yang mahu mendengar dan merasakannya.

Comments
* The email will not be published on the website.