oleh: zizi hashim
15 Oct
15Oct

Kabut yang menyelubungi wajah pagi sering menyembunyikan sesuatu, sama ada rahsia, atau dosa yang masih bernafas. Begitu juga halnya dengan Mutiara Dalam Debuan Kabus, drama arahan Harris Fadzillah terbitan SR One Sdn. Bhd. dan penerbit prolifik Siti Rosmizah, yang sedang hangat menghiasi slot MegaDRAMA Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam. Kisahnya tidak sekadar menyapa dengan konflik cinta dan dendam, tetapi mengajak kita menelusuri kabus emosi dua jiwa yang sama-sama tersesat: Uzzam Zulkarnaen dan Aslin.

Dua nama ini dilakonkan dengan penuh intensiti oleh Zahiril Adzim dan Emma Maembong, menjadi nadi kepada drama 24 episod yang diadaptasi daripada novel terkenal Mutiara Dalam Debuan Kabus, kesinambungan kepada Dedaun Hijau di Angin Lalu. Ia kisah cinta yang kehilangan arah, kisah manusia yang terperangkap antara dendam dan keinginan untuk menebus dosa lama.

Zahiril memegang watak Uzzam, lelaki yang digambarkan berhati dingin, keras dan penuh amarah. Pada permukaan, dia kelihatan sebagai suami yang kejam, seorang lelaki “red flags” yang sinis, kasar dan mudah meledak. Namun semakin episod berjalan, kita belajar bahawa marahnya Uzzam adalah benteng daripada luka yang lebih dalam. “Dia nampak macam lelaki red flags, tapi sebenarnya dia bertindak begitu kerana dikhianati,” ujar Zahiril, menjelaskan sisi psikologi wataknya. “Dia bangkit dan melawan. Kadang-kadang orang hanya lihat amarah, bukan sebab di sebaliknya.”

Watak ini jauh berbeza dengan keperibadian sebenar Zahiril yang tenang dan introspektif. “Saya jarang marah, malah bila diberitahu orang macam saya jangan marah, saya ikut. Sebab kalau meletup, saya tahu akibatnya pada diri saya sendiri,” katanya. Namun dalam Mutiara Dalam Debuan Kabus, dia terpaksa menjadi lelaki yang selalu tinggi suara, menyalakan api setiap kali Aslin muncul di ruang mata dan itu sendiri satu cabaran besar bagi pelakon sehalus Zahiril.

Sementara itu, Aslin, lakonan Emma Maembong, membawa lapisan emosi yang lebih kabur dan mengelirukan. Seorang wanita yang ditemui parah akibat kemalangan, hilang ingatan, dan kemudian menyedari dirinya bukan seperti yang disangka. Antara menjadi Aslin yang penuh tipu daya dan Airina yang polos mencari kebenaran, Emma menavigasi dua dunia batin, seorang isteri yang kehilangan cinta, dan seorang wanita yang kehilangan dirinya sendiri.

Cerita ini berputar dalam rumah tangga yang diikat oleh dendam dan rahsia. Uzzam menikahi Aslin selepas diperangkap, namun Aslin pula hidup dengan niat untuk membalas dendam dan mendapatkan harta. Konflik mereka bukanlah sekadar suami isteri yang bergaduh, tetapi simbol kepada manusia yang berperang dengan takdir. Setiap pertelingkahan, setiap dialog panjang yang perlu dihafal Zahiril (kadangkala tiga hingga empat muka surat sehari), terasa seperti pertempuran antara ego dan penyesalan.

Visual drama ini dibiarkan berkabut, seolah-olah penonton juga diajak berjalan dalam dunia di mana kebenaran selalu samar. Aslin atau Airina mencari jawapan tentang siapa dirinya, sementara Uzzam cuba menahan segala yang masih tersisa dalam jiwanya daripada hancur. Ada kekeliruan yang indah di situ, satu bentuk keindahan yang hanya lahir dari kesakitan.

Mutiara Dalam Debuan Kabus mengingatkan bahawa dalam setiap hubungan, ada bahagian yang tidak pernah benar-benar kita fahami tentang diri sendiri. Ia juga menyorot sisi gelap perkahwinan di mana cinta boleh berubah menjadi kutukan, dan kejujuran menjadi senjata paling tajam. Namun di balik semua itu, masih ada ruang kecil untuk keinsafan dan cinta yang ingin diperbaiki.

Dengan sokongan pelakon hebat seperti Watie Elite, Jasmin Hamid, Safura Ya’akob, Khaty Azian, dan Manan Sulaiman, drama ini tidak hanya menjual konflik, tetapi membentangkan refleksi tentang manusia yang ingin memulihkan luka lama. Barangkali itulah makna sebenar mutiara dalam kabus, sesuatu yang tetap berharga meski dibalut debu dan kesalahan.

Dan di sebalik layar, Zahiril membuktikan bahawa dia masih pelakon yang mampu menyalakan kejujuran meski dalam peranan watak yang gelap. Aslin pula, sama ada Aslin atau Airina, menjadi lambang wanita yang menanggung takdirnya dengan kepala tegak, meski dunia sedang menghukum. Mutiara Dalam Debuan Kabus bukan hanya kisah tentang cinta yang retak, ia adalah puisi tentang manusia yang sedang belajar memaafkan, baik terhadap orang lain mahupun dirinya sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.