oleh: zizi hashim
08 Jul
08Jul

Setiap suara punya niat, setiap nada punya wajah. Dalam dunia muzik yang sering dihanyutkan oleh kisah cinta berputar-putar antara dua hati, muncul satu karya yang mengetuk dari sisi yang berbeza, lebih peribadi, lebih tulus, lebih mendalam. “Sumpah Setia”, nyanyian terbaharu Bob Yusof, bukan melagukan cinta asmara, tetapi membingkai rasa syukur dan pengorbanan seorang anak kepada ibu bapanya. Sebuah pengakuan dalam bentuk balada, yang tidak hanya mengangkat vokal Bob ke puncak emosi, tetapi turut membuka sisi sentimental yang jarang terlihat.

Lagu ini bukan sekadar kemunculan semula; ia hadir sebagai runtunan jiwa, yang menyentuh tanpa perlu dijeritkan. Diterbitkan oleh Alternate Records, karya ini turut dipilih sebagai lagu runut bunyi untuk drama Akasia TV3, “Pasca Kau Pergi”, yang kini sedang meraih perhatian tinggi. Dibalut dalam gubahan melodi yang syahdu dan lirik menyentuh, “Sumpah Setia” menjelma sebagai suara latar kepada perjalanan watak-watak yang berdepan kehilangan dan kasih yang tidak terbalas.

Di sebalik keindahan ini, berdiri tiga nama muda yang membawa semangat baru kepada muzik tanah air iaitu Emeer Bak, Amsyar Razqa dan Yunus Zawawi. Merekalah arkitek emosi yang membina lagu ini dari cebisan ilham kepada naskhah penuh jiwa. Menurut mereka, idea asalnya lahir dari pengalaman dan rasa yang dekat. Kasih seorang anak terhadap orang tua yang tak ternilai oleh dunia. Liriknya kemudian diolah dan disesuaikan untuk memberi gema yang sepadan dengan nadi cerita dalam drama.

“Melodi ini memang agak mencabar pada awalnya,” akui Bob dalam nada rendah hati. “Tapi dengan bimbingan komposer, saya belajar menyelami makna setiap rangkap. Ia bukan sekadar tentang menyanyi dengan suara, tapi dengan seluruh perasaan.”

Sebagai seorang guru vokal berpengalaman, Bob tidak berlindung di balik statusnya. Malah, beliau membuka ruang kepada para komposer muda itu untuk membentuknya semula, satu proses kolaborasi yang jujur dan berlapang dada. Rakaman awal yang belum cukup memuaskan hati Bob sendiri telah dirakam semula atas permintaannya, hanya kerana beliau percaya bahawa lagu ini perlu sampai ke pendengar dengan ketulusan paling murni. Hasilnya, versi “Sumpah Setia” yang kini boleh distrim di semua platform digital, Spotify, Apple Music dan YouTube, merupakan cerminan kerja seni yang tidak tergesa, dan tidak dipandang remeh.

Bob Yusof membawakan nyanyian ini dengan kematangan baharu. Setiap bait seperti doa, setiap lenggok seperti rindu yang belum sempat terucap. Lagu ini menjadi bukti bahawa cinta yang paling agung bukanlah yang memabukkan, tetapi yang membesarkan jiwa. Kasih ibu bapa yang sering diam-diam memberi, namun tidak pernah menuntut balas.

“Dengarkan lagu ini,” kata Bob penuh harap. “Kerana ia membawa nafas yang berbeza, susunan muzik yang segar, dan semangat anak-anak muda yang sedang bangkit menulis sejarah dalam muzik tempatan. Saya hanya suara, tetapi karya ini, adalah isi hati kami semua.” Dalam suasana dunia yang semakin gersang dengan empati, “Sumpah Setia” hadir seperti titisan embun. Ia tidak menjerit, tetapi mendalam. Tidak memaksa, tetapi menyentuh. Lagu ini bukan hanya pantulan kasih, tetapi juga penzahiran penghormatan. Seperti janji senyap seorang anak kepada dua insan yang pertama kali mengajarnya tentang makna cinta, ayah dan ibu.

Comments
* The email will not be published on the website.