oleh: zizi hashim
29 Nov
29Nov

Satu petang yang berhembus lembut di Tumbalong Park menjadi saksi bagaimana seorang insan seni mampu menghubungkan dua tanah yang berjauhan hanya dengan kekuatan suara. Marsha Milan melangkah ke pentas Malaysia Fest 2025 dengan aura yang memantul jauh melampaui cahaya lampu seakan membawa bersama pancaran Borneo dan rindu kampung halaman yang merayap dalam jiwa perantau Malaysia di Sydney.

Sorakan lebih 20,000 pengunjung menandakan kerinduan yang lama terpendam. Sewaktu alunan Hening Rindu bergema, ramai yang terdiam seolah-olah lagu itu mencuit ruang hati yang ingin pulang. Disusuli Cinta, pentas berubah menjadi jambatan antara memori dan masa kini; antara mereka yang pernah meninggalkan Malaysia dan mereka yang masih mencari jejak identiti di perantauan.

Namun saat lagu-lagu berteras budaya seperti Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan dilantunkanpentas terasa seakan mengembang menjadi ruang perayaan jiwa. Ada wajah yang tiba-tiba berseri, ada yang menari kecil, ada yang menahan sebak. Persembahan itu bukan sekadar hiburan; ia membawa pulang sedikit rasa tanah air kepada setiap yang hadir.

Marsha melakar keterujaannya dengan rendah hati. “Saya bangga membawa nama Malaysia ke Sydney. Melalui album Misompuru, Cinta dan Hening Rindu, saya ingin berkongsi keindahan bahasa, melodi dan budaya kita kepada dunia,” katanya. Rasa itu tumbuh daripada persiapan rapi bersama pasukannya, penari Wandie Space Art Performance dan sentuhan gaya oleh Saerah yang menggabungkan unsur kontemporari dengan tradisi.

Momentum pentas dijaga dengan teliti, namun energi yang terbit daripadanya tampak sangat organik. Ketika ribuan penonton mula menyanyi serentak, Marsha sendiri mengakui itu sebagai detik paling berkesan, sebuah bukti bahawa muzik mampu merapatkan jurang antara tanah air dan tanah asing.

Menurut CEO MFest, Syahmi Ismail, kemunculan Marsha selaras dengan misi festival tahun ini: mengetengahkan ikon seni Malaysia sebagai suara yang membawa kempen Visit Malaysia 2026 ke pentas antarabangsa. Pemilihan artis dilakukan dengan teliti kerana setiap persembahan adalah pantulan wajah negara.

Malaysia Fest terus membesar sebagai wadah diaspora untuk merayakan warisan seni, makanan, muzik dan budaya Malaysia. Kehadiran komuniti dari Sabah, Sarawak dan seluruh Semenanjung menjadikan edisi kali ini perayaan penuh warna, suatu cerminan bahawa identiti Malaysia tetap bersinar meskipun berada ribuan kilometer dari tanah kelahiran.

Sebagaimana pentas itu ditutup dengan sorakan gemuruh, satu perkara menjadi jelas: Marsha bukan sahaja membawa suara, tetapi membawa rasa, rasa yang mengikat kita sebagai sebuah bangsa, meskipun di tanah asing.

Comments
* The email will not be published on the website.