oleh: zizi hashim
28 Jul
28Jul

Secarik sinar yang kecil adakalanya lebih berharga daripada cahaya yang menyilaukan. Ketika hati dibelenggu luka dan langkah terasa semakin berat, harapan sering hadir dalam bentuk yang paling sederhana. Falsafah itulah yang menjadi nadi kepada "Sedikit Cahaya", karya terbaharu daripada penyanyi dan komposer Mariam Saim, sebuah lagu yang mengangkat kekuatan untuk terus bertahan meskipun hidup dipenuhi kegelapan.

Selepas meninggalkan kesan menerusi lagu-lagu seperti "Bulan", "Puaskah" dan "Cinta Gila", Mariam kembali membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya dengan mempertaruhkan "Sedikit Cahaya". Diterbitkan di bawah Alternate Records & Talents, karya tersebut turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama Tonton OriginalsNeraka Yang Terhijab, sekaligus memperkukuhkan lagi identitinya sebagai penyanyi yang dekat dengan karya-karya beremosi. 

Lagu hasil ciptaan John Jeeves bersama Firdaus Rahmat itu membawa pendengar menyusuri kisah seorang wanita yang dikhianati, terluka dan hilang arah, namun masih menggenggam harapan untuk meneruskan kehidupan. Walaupun lahir sebagai sebahagian daripada naratif drama, mesej yang dibawa bersifat sejagat, menyentuh sesiapa sahaja yang pernah melalui kehilangan, kegagalan atau fasa paling gelap dalam hidup mereka.

Menurut Mariam, ketika menghayati lagu tersebut beliau membayangkan dirinya berada dalam jiwa watak utama yang bergelut dengan pelbagai ujian kehidupan. Baginya, manusia tidak semestinya memerlukan cahaya yang terlalu terang untuk bangkit semula. Kadangkala, sedikit sinar sahaja sudah cukup menjadi kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang terasa begitu panjang. Lebih daripada sebuah lagu tema drama, "Sedikit Cahaya" turut menjadi refleksi terhadap perjalanan seni Mariam sendiri.

Mengimbau pengalaman melangkah ke peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 menerusi lagu "Puaskah", beliau mengakui pengalaman itu mengajarnya untuk terus percaya bahawa setiap perjalanan mempunyai hikmah dan setiap penantian hadir bersama waktunya yang tersendiri. Ketika sesi rakaman berlangsung, beliau bukan sekadar menyampaikan lirik sebagai penyanyi atau watak dalam drama, sebaliknya menuangkan pengalaman hidup dan harapan yang pernah dirasainya sendiri. Sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan produksi, pihak media serta peminat menjadi "sedikit cahaya" yang terus menguatkan langkahnya hingga ke hari ini.

Kerjasama bersama John Jeeves dan Firdaus Rahmat turut membuka ruang kepada Mariam untuk memperlihatkan evolusi vokalnya. Kali ini, beliau tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan teknik nyanyian, sebaliknya memberi penekanan kepada penceritaan dan kejujuran emosi agar setiap bait lirik mampu menyentuh hati pendengar daripada pelbagai latar kehidupan. Perjalanan emosi lagu ini diteruskan menerusi muzik video arahan Boboy Jehori, yang memilih pendekatan visual minimalis tetapi sarat simbolik. Menggunakan tona gelap teal bagi melambangkan kesunyian sebelum berubah kepada cahaya kekuningan sebagai metafora harapan dan peluang kedua, keseluruhan visual dibina bagi membawa penonton melalui transformasi emosi yang perlahan tetapi mendalam. 

Keistimewaan muzik video tersebut terletak pada penggunaan teknik one continuous shot, iaitu rakaman tanpa henti dari awal hingga akhir. Pendekatan ini memerlukan tahap fokus, stamina dan komitmen yang tinggi daripada Mariam serta seluruh pasukan produksi kerana sebarang kesilapan memerlukan penggambaran diulang semula dari permulaan. Menurut Boboy, teknik itu dipilih supaya penonton dapat merasakan seolah-olah mereka sedang berjalan bersama Mariam dalam pencarian "sedikit cahaya", bukan sekadar menikmati visual yang indah tetapi turut membawa pulang keberanian untuk bangkit daripada kegelapan.

Kini, "Sedikit Cahaya" boleh dinikmati di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Lebih daripada sekadar sebuah karya baharu, lagu ini mengingatkan bahawa dalam kehidupan yang sering menguji, harapan tidak semestinya hadir sebagai cahaya yang besar. Ada waktunya, secarik sinar yang kecil sudah cukup untuk mengubah seluruh arah perjalanan seseorang.

Comments
* The email will not be published on the website.