Setiap hasrat besar sering menuntut bayaran tersembunyi. Santau Perempuan Terlarang hadir sebagai cermin retak yang memantulkan sisi paling kelam dunia hiburan, obsesi terhadap populariti, keinginan untuk diangkat, dan pilihan-pilihan sunyi yang dibuat ketika harapan semakin menipis. Menutup tirai tahun ini, Tonton mempertaruhkan sebuah siri seram thriller yang berani menyelongkar wilayah psikologi dan mistik tanpa belas kasihan.
Siri ini bakal menemui penonton bermula 18 Disember 2025, bersiaran setiap Isnin dan Khamis dengan episod berdurasi satu jam, eksklusif di Tonton. Diterajui barisan pelakon mantap seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela, karya ini mengajak penonton menyaksikan sejauh mana prinsip dan maruah boleh tergadai demi sebuah nama di puncak carta populariti.

Cerita berputar sekitar Iqbal lakonan Nabil Aqil, seorang pelakon yang sudah lama bergelut mencari tempat dalam industri. Bertahun mencuba, berpuluh uji bakat ditempuhi, namun hasilnya tetap sama. Dia tetap terpinggir dan dipandang sepi. Ironinya, setiap peluang besar yang diidamkan sering jatuh ke tangan Ako Danial (Fadlan Hazim), figura sensasi yang sentiasa menjadi pilihan penerbit.
Tekanan kerjaya itu merembes ke kehidupan peribadinya. Hubungan Iqbal dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), mula renggang, dihimpit ketidakpastian masa depan dan kegagalan yang berulang. Pada saat keyakinan semakin rapuh, rakan karibnya Maman (Amin Iman) memperkenalkan satu jalan pintas. Bertemu Sapora, seorang wanita yang dikatakan mampu “membersihkan aura” melalui rawatan tradisional.
Sapora, lakonan Emma Maembong, digambarkan sebagai figura yang menenangkan; lembut tutur katanya, raut wajahnya memikat, dan kehadirannya sering disambut pujian mereka yang pernah mendapatkan bantuannya. Namun di sebalik lapisan keayuan itu, tersimpan rahsia yang perlahan-lahan mengikat jiwa sesiapa sahaja yang datang dengan niat terdesak.


Sejak pertemuan dengan Sapora, hidup Iqbal berubah secara mendadak. Tawaran datang bertubi-tubi, perhatian kembali berpihak kepadanya, dan impian yang lama terkubur seakan-akan terbentang di hadapan mata. Persoalan yang menghantui, apakah harga sebenar kepada perubahan itu? Dan sedarkah Iqbal bahawa dirinya sedang terperangkap dalam satu perjanjian yang tidak pernah diucapkan secara lisan?
Emma Maembong mengakui watak Sapora membuka ruang eksplorasi yang jarang diterokainya. Setelah sekian lama meninggalkan genre mistik, peranan ini menuntut kawalan emosi yang halus, memadukan unsur sensual, trauma dan kuasa psikologi. Sapora bukan hanya wanita misteri, tetapi manifestasi obsesi manusia terhadap kejayaan, sekaligus bayangan gelap yang lahir daripada keinginan melampau.

Santau Perempuan Terlarang bergerak sebagai kisah yang perlahan tetapi menghimpit, menelusuri rahsia demi rahsia dan membiarkan penonton terperangkap dalam ketidakselesaan yang disengajakan. Ia bukan sekadar soal mistik, tetapi renungan tentang pilihan hidup, kerakusan impian dan akibat yang sering datang tanpa amaran.
Saksikan Santau Perempuan Terlarang bermula 18 Disember 2025, setiap Isnin dan Khamis, eksklusif di Tonton. Sebuah perjalanan ke wilayah gelap yang jarang berani diteroka.