oleh: zizi hashim
06 Jan
06Jan

Getar emosi hadir tanpa perlu ditinggikan nada. Mariam Saim kembali menyapa pendengar dengan Cinta Gila, sebuah balada moden yang lahir daripada ruang paling peribadi dalam hidupnya. Single ini menandakan fasa penting perjalanan seninya. Karya pertama yang ditulis, digubah dan disempurnakan sepenuhnya oleh Mariam sendiri sekaligus menjadi runut bunyi rasmi drama Perempuan Tidak Ternikah di slot Akasia, TV3.

Selepas menempatkan diri dalam kelompok Top 5 rancangan realiti One In A Million, Mariam memilih untuk tidak berselindung di sebalik formula selamat. Cinta Gila bergerak sebagai pengakuan jujur tentang hubungan yang sarat tanda tanya antara rasa yang pernah mengajar dan luka yang enggan pulih. Naratifnya sederhana, namun berlapik dengan kejujuran yang sukar ditiru: usaha melepaskan, tetapi masih terikat oleh memori yang enggan pergi.

Susunan muzik minimalis dengan sentuhan strings memberi ruang kepada vokal Mariam untuk berbicara tanpa gangguan. Nuansa Indo-pop balada yang galau membingkai emosi lagu ini dengan kemas dan tenang di permukaan tetapi bergelora di bawahnya. Setiap baris lirik seakan ditulis untuk dibaca perlahan, bukan dilaungkan. Pendekatan ini mengangkat Cinta Gila sebagai pengalaman mendengar yang intim, bukan sekadar hiburan latar.

Proses penciptaan lagu mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu, tempoh yang digunakan Mariam untuk menulis, memadam dan menulis semula sehingga aliran emosinya terasa jujur dan tidak dibuat-buat. Rakaman vokal pula diselesaikan dalam kira-kira dua jam, namun momen paling menentukan hadir ketika sesi korus, ketika kenangan yang menginspirasikan lagu ini kembali menjengah, menghasilkan rakaman terakhir yang dipilih kerana keikhlasannya tertangkap jelas.

“Ramai pernah berada dalam hubungan yang menggantung perasaan. Cinta Gila mungkin mewakili rasa yang sukar dilafazkan,” kongsi Mariam, mengakui cabaran terbesar adalah mengekalkan kejujuran tanpa terjerumus ke wilayah melodrama. Kesederhanaan susunan menjadi kekuatan utama: tidak sarat bunyi, tetapi padat jiwa.

Sebagai OST Perempuan Tidak Ternikah, lagu ini mengalir selari dengan tema drama yang mengangkat kompleksiti emosi wanita dan pilihan hidup yang tidak selalu dipahami. Di bawah naungan Alternate Records & Talents, Cinta Gila berdiri sebagai pernyataan matang seorang penyanyi-penulis lagu yang berani membuka luka untuk dirasai bersama. Cinta Gila kini tersedia di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify, menunggu untuk didengari perlahan, lalu dirasakan dalam diam.

Comments
* The email will not be published on the website.